Artikel

Bahasa Sikap

oleh Helmi pada 19 Jul 2004

YANG manakah yang lebih dapat kita percayai: Apa yang diucapkan oleh mulut orang itu ataupun apa yang diucapkan oleh badannya? Jawabnya, apa yang diucapkan oleh badan adalah lebih boleh dipercayai. Oleh yang demikian, kita hendaklah menyemak apa yang diucapkan oleh seseorang dengan membandingkan apa yang diucapkannya itu dengan bahasa badannya. Adakah bahasa badannya mengesahkan apa yang mulutnya katakannya ataupun sebaliknya. Dalam erti kata yang lain, jika mulutnya berkata, “Saya tidak bohong.” Cuba pastikan adakah badannya juga menunjukkan dia berkata benar?

Mula-mula memang sukar berlatih membaca bahasa badan seseorang secara objektif. Ia memerlukan latihan tiap-tiap hari. Caranya ialah dengan berlatih membaca unsur-unsur bahasa badan dalam bentuk gugusan. Kemudian berlatih pula membaca keselarian antara bahasa lisan dengan bahasa badan. Sebagai contoh, apabila kita duduk dan berbual-bual dengan seseorang, perhatikan kedudukan tubuh badannya.

Perhatikan kedudukan tangannya, kakinya, gerak-geri kepalanya dan jarak antara dia dan kita. Perhatikan cara dia duduk sewaktu kita mula-mula bercakap dengannya dan perubahan yang berlaku selanjutnya. Perhatikan juga senyumannya. Sebagai contoh, perhatikan adakah dia melindungi mulut dengan tangannya sewaktu bercakap.

Pakar-pakar bidang ini bersetuju perbuatan melindungi mulut dengan tangan menunjukkan orang itu tidak meyakini apa yang sedang dipercakapkannya. Dia mungkin berdusta, memutarbelitkan perkara, ragu, atau tidak percaya kepada apa yang dia sendiri katakan. Satu lagi contoh ialah unsur berpeluk tubuh. Jika kita melihat orang yang kita layan bercakap memeluk tubuhnya, dia cenderung tidak akan menerima apa-apa yang kita perkatakan. Ini kerana, berpeluk tubuh menandakan dia bersikap defensif terhadap apa yang kita perkatakan. Adalah sukar menyembunyikan apa yang ada dalam hati dan fikiran kita.

Perbuatan berpeluk tubuh adalah perbuatan yang kerap dapat kita lihat. Unsur ini paling mudah dilihat dan difahami. Perbuatan begini juga mudah menjangkit kepada orang lain. Jikalau kita berpeluk tubuh, orang yang kita layan bercakap mudah terpengaruh dan ikut berpeluk tubuh seperti kita. Apabila orang yang sedang bercakap berpeluk tubuh, dia tidak akan mengubah pendapatnya. Sebaik-baik sahaja kita melihat dia memeluk tubuhnya, kita perlu memikirkan semula kesesuaian perkara yang kita perkatakan dan cara kita bercakap. Kita memeluk tubuh apabila orang yang kita layan bercakap melakukan perkara-perkara berikut pada masa yang tidak sesuai; memaksa kita, meminta sesuatu yang tidak kita setujui ataupun mengemukakan cadangan yang tidak dapat kita terima.

1. Defensif
Apabila semasa kita sedang bercakap, rakan bual kita bersandar ke belakang seolah-olah cuba menjauhkan dirinya daripada kita, maka bahasa badannya memberi maklumat negatif kepada kita. Dia mungkin bosan, menyampah, ragu ataupun dia mungkin memandang rendah kepada diri kita dan isi percakapan kita. Bagi mengetahui apa emosi yang dirasai ialah dengan membaca ciri-ciri lain pada bahasa badannya. Sebagai contoh, cuba lihat adakah dia mengerengkan badannya, sebentar ke kiri dan sebentar ke kanan, kalau ya, itu mungkin menandakan dia berasa ragu dan terancam oleh cara-cara kita bercakap.

Jikalau badannya banyak bergerak-gerak, percakapan kita mungkin membuat dia berasa resah. Kalau dia diam kaku, kita mungkin membuat dia berasa tegang. Jikalau matanya tidak mahu langsung menyentuh mata kita, dia mungkin sedang berusaha menyembunyikan apa-apa yang ada dalam fikiran dan dalam hatinya. Dia akan memandang orang-orang dan benda-benda yang ada di sekitarnya. Dia juga menggaru-garu telinganya. Makin kuat dia menggaru-garu ataupun menarik cuping telinganya, maka semakin kuat emosi negatifnya terhadap kita.

Orang yang berasa tegang atau marah akan menunjukkan rupa yang tegang. Kulit muka pada bahagian pipi, rahang dan leher mereka menjadi tegang. Orang yang berminat mendengar perkara-perkara yang kita ucapkan akan mendengar kita dengan kepala yang teleng sedikit, dengan kaki dan tangan terbuka dan kedua-dua tapak kaki terletak elok di lantai.

Pergerakan tangan ialah antara bahasa badan yang paling mudah dilihat dan dibaca. Ada beribu-ribu pola pergerakan tangan. Lihat sahaja di mana orang yang kita layan bercakap meletakkan tangannya. Jikalau dia meletakkan lengannya ke belakang, seperti kalau kita bercekak pinggang, dia mungkin hendak mengundurkan dirinya daripada kita, ataupun akan bertindak secara defensif. Jikalau dia bercakap secara jujur dan dari lubuk hatinya, dia akan menggunakan pergerakan tangan yang banyak. Pergerakan tangan yang relak dan terbuka adalah petunjuk positif. Tangan yang meraba-raba tubuh badan sendiri seperti dagu, telinga, hidung, lengan dan pakaian menunjukkan rasa tegang. Jari-jari yang tertutup pula adalah petunjuk negatif.

Banyak orang berasa lega apabila dapat menyilangkan kaki. Mereka berasa lega kerana perbuatan menyilangkan kaki adalah selaras dengan apa yang sedang difikirkan dan dirasakan. Kaki yang bersilang menunjukkan ada sesuatu yang dia tidak dapat terima dalam percakapan yang didengarnya.

Apabila seseorang tidak dapat menerima apa yang kita kemukakan, dia akan memeluk tubuhnya meskipun mulutnya tidak berkata apa-apa. Selagi dia masih memeluk tubuh selagi itu sukar baginya untuk mengalah, bersetuju atau bekerjasama dengan kita. Berpeluk tubuh menunjukkan dia berasa seperti berikut; berbeza pendapat, serba salah dan tidak puas hati.

Berpeluk tubuh mempunyai fungsi yang serupa dengan bersilang kaki. Kedua-duanya adalah bahasa badan yang negatif. Jikalau seseorang melakukan kedua-duanya sekali, itu menunjukkan dia lebih defensif terhadap kita. Apabila konflik antara kita semakin besar, kita semakin kuat memeluk tubuh, dan silang kaki kita menjadi lebih rapat. Begitu juga jari-jari kita semakin tegang dan tertutup. Ini ditambah lagi kalau badan kita condong daripadanya.

2. Menolak
Orang-orang yang tidak setuju, benci dan tidak yakin dengan cakap-cakap kita akan melakukan ciri-ciri bahasa badan berikut; membuka cermin mata, menggeleng-gelengkan kepala, menuding, bibir berkertap, mengecilkan mata, dagu ke depan, kaki bersilang, peluk tubuh, dahi berkerut, jari-jarinya memegang sesuatu dengan kuat, badan condong menjauhkan daripada kita dan meraba-raba kolar baju. Ciri-ciri ini hendaklah kita hindari apabila bercakap dengan sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Walaupun mulut kita tidak berkata benci, tetapi bahasa badan kita berkata benci dengan kuatnya.

3. Siap sedia
Salah satu sikap hidup ialah siap sedia. Ada orang yang menyamakan antara sikap siap sedia dengan sikap agresif. Kedua-duanya adalah berbeza. Sikap siap sedia dimiliki oleh orang-orang yang mempunyai objektif dan cita-cita jelas. Sikap agresif pula dimiliki oleh orang-orang yang tidak takut pada konflik. Orang-orang yang bersikap siap sedia sibuk mengutip bermacam-macam pengetahuan dan maklumat. Tujuan mereka adalah untuk melaksanakan dan mencapai rancangan-rancangan mereka. Dia memiliki nafsu hidup yang tinggi dan didorong oleh hasrat kejayaan.

Ciri-ciri bahasa badan sikap siap sedia ialah cekak pinggang. Memang benar, cekak pinggang juga digunakan oleh orang yang bersikap agresif. Bezanya ialah, orang yang bersikap siap sedia akan bercekak pinggang dalam keadaan tidak sabar untuk melaksanakan sesuatu tujuan tugas.

Orang yang agresif bercekak pinggang dalam keadaan konflik. Orang yang bersiap sedia tidak hanya bercekak pinggang. Dia juga akan menarik seluarnya ke atas. Kakinya terbuka luas. Jikalau dia duduk, dia akan meletakkan tangan di pahanya dan badan condong ke depan, seolah-olah tidak sabar untuk bangun dan melakukan sesuatu. Orang yang selalu bercekak pinggang ialah orang yang terangsang oleh persaingan. Para usahawan adalah termasuk antara mereka yang suka bercekak pinggang. Begitu juga ahli-ahli sukan dan ahli-ahli politik.

Orang yang tidak sabar untuk melakukan sesuatu akan duduk di hujung kerusi. Jikalau kita berbincang dengannya, apabila dia duduk di hujung kerusi dia sudah bersedia untuk mengalah, bekerjasama, bersefahaman, menamatkan perbualan, menolak atau menerima cadangan kita. Duduk di tepi kerusi juga membayangkan sikap bekerjasama dan bertolak ansur. Bahasa badan ini biasanya disertai oleh ciri-ciri bahasa badan positif lain seperti kaki dan tangan terbuka dan badan yang condong ke depan.

4. Ragu
Dalam hatinya orang ini mungkin meragui kata-kata kita kerana dia syak kita berdusta. Atau, sebaliknya juga benar, dia yang berdusta pada kita. Apabila seseorang berasa serba tidak pasti, takut membuat keputusan dan hendak menunda sesuatu, dia akan menunjukkan ciri-ciri bahasa badan seperti berikut; memicit hidung sambil menutup mata, menarik seluar atau bajunya waktu duduk, mundar-mandir, menggeleng kepala, jari menyentuh bibir, mengelap cermin mata, menggigit bibir, menggaru kepala, anak mata lari ke kiri ke kanan, menarik leher, lidah menggosok-gosok pipi di dalam mulut, mata memandang ke bawah dan matanya terkebil-kebil. Dalam keadaan begini, dia memerlukan lebih banyak waktu untuk terus berfikir. Jangan tekan dia supaya membuat keputusan.

5. Minat
Periksa bahasa badan kita. Adakah bahasa badan kita menunjukkan kita berminat kepada orang itu, atau sebaliknya. Perkara pertama yang dia perasan mengenai kita ialah senyuman kita. Orang dapat melihat dengan jelas antara senyuman yang jujur dan senyuman yang palsu. Senyuman yang jujur merekah berkali-kali dan tepat pada masanya. Senyuman yang palsu sama ada meleret panjang, atau cepat hilang. Kita gunakan senyuman palsu bagi menutup rasa marah, benci atau resah.

Ciri utama senyuman palsu ialah bibir kita tidak terbuka dan gigi kita tersorok. Semak apakah mata kita mengatakan kita bersikap positif, konfiden, berminat, berani, bosan, menyampah, benci atau tidak senang. Apakah muka kita berkerut, ter-senyum, masam atau pahit. Muka ialah harta kita yang paling berharga dalam perhubungan. Muka kita biasanya tidak pandai berdusta. Orang boleh membaca apa yang ada dalam fikiran kita hanya dengan membaca muka kita. Suara kita juga tidak berdusta. Nada suara memberitahu apa yang hendak kita sembunyikan. Kita dapat menyusun kata-kata supaya berdusta, tetapi mata, air muka dan suara kita tidak mahu berdusta.

6. Menimbang
Orang yang sedang membuat pertimbangan akan berbuat seperti berikut; tangannya menyentuh dagu, kepalanya teleng sedikit, telunjuknya menyentuh hujung alis, mengangguk-angguk, matanya terkebil sedikit, mengurut dagu, mengangkat alis, telunjuk menyentuh mulut, dia menyepetkan matanya, mengetap bibir atas, menghalakan telinganya kepada kita dan dia mungkin menggigit pen atau tangkai cermin matanya. Perbuatan itu adalah tandanya dia sedang membuat perhitungan sama ada bersetuju dengan cadangan kita atau menolaknya. Kalau kita hendak membuktikan kita berminat dengan apa-apa yang dicakapkannya, lakukan perbuatan-perbuatan di atas.

7. Bosan
Seseorang yang bosan, jemu dan tidak berminat kepada apa yang kita cakapkan, dia akan menunjukkan perbuatan-perbuatan berikut; di mana tangannya sibuk memegang itu ini, dia enggan bertentang mata, dia sibuk memandang pintu, jam, dinding dan luar tingkap, tangannya bermain-main dengan sesuatu, mengetuk meja, kakinya bergoyang-goyang, mukanya bersandar di tangan dan matanya kosong. Ramai orang yang bosan kepada kita tetapi tidak mahu berterus-terang kerana menjaga budi bahasa. Kalau kita yang berasa jemu dan bosan, jangan lakukan perkara-perkara di atas.

8. Menyembunyikan sesuatu
Apabila seseorang itu menyembunyikan sesuatu dan dia tidak jujur kepada kita, mereka akan melakukan perkara-perkara berikut; hidungnya gatal oleh itu dia akan menggaru hidungnya, dia menarik anak telinganya, atau dia menggaru-garu belakang telinga, menutup mulut dengan jari, enggan bertentang mata, badannya condong menjauhi kita, memandang kita dengan sudut matanya, kakinya bersilang, berpeluk tubuh, menyembunyikan tangan dalam saku, menyembunyikan tangan di belakang badannya, menyepetkan matanya dan jari kedua-dua belah tangannya bersilang.

9. Kuasa
Seseorang yang berasa dirinya lebih dominan, statusnya lebih tinggi dan dia lebih berkuasa daripada kita akan bercakap sambil diiringi oleh ciri-ciri bahasa badan seperti berikut; dia tidak cepat menjawab, bercekak pinggang, ada kalanya kedua-dua belah jari tangannya bersilang di depan mukanya, apabila kita duduk dia mungkin berdiri, berkata “Mm…..... mm….....” sebagai jawapan. Apabila bercakap dengan orang yang menunjukkan sikap begini, jangan lakukan bahasa badan yang serupa. Dia akan menganggap kita cuba menyaingi kuasa dan kedudukannya.

10. Mengalah
Seseorang yang berasa lemah, bimbang dan resah apabila bercakap dengan kita akan menunjukkan ciri-ciri bahasa badan seperti berikut; dia meramas-ramas tangan, jari-jarinya terlipat, sekali-sekala dia menyentuh mukanya, tunduk, matanya tidak mahu menyentuh mata kita, meraba-raba tengkuk, matanya tidak berkelip-kelip, tekaknya terasa macam tersekat dan jari-jarinya tidak boleh diam. Apabila bercakap dengan orang yang berasa begini, jangan lakukan bahasa badan yang serupa dan jangan lakukan apa-apa yang boleh membuat dia berasa lebih kecil, lemah dan resah.

11. Yakin
Seseorang yang berasa konfiden, jujur dan memberi sokongan kepada kita menunjukkan ciri-ciri berikut; mendedahkan pergelangan tangannya, badan condong kepada kita, bertentangan mata, kaki terbuka, tidak berpeluk tubuh, membuka butang jaket atau kotnya, tangan menyentuh dadanya, pergerakan lengan dan tangan yang spontan, kakinya terletak di lantai, mata terkebil sedikit sahaja, badan condong ke depan ke belakang dan senyum. Ciri-ciri itu menunjukkan dia seronok dan berasa relak di samping kita. Dia juga seronok dengan bahan-bahan perbualan kita. Dia bersikap mesra dan terbuka. Bagi diri kita sendiri, walau dalam apa keadaan pun, gunakan ciri-ciri di atas apabila berbual-bual dengan orang itu.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024