Artikel

Memperkasa Bahasa Melayu dalam SAKTI

oleh Helmi pada 19 Jul 2004

PEMERKASAAN BAHASA MELAYU DALAM PENDIDIKAN SAINS DAN MATEMATIK

Tarikh 13 Mei memang sejarah hitam kita. Kali ini 13 Mei 2002 apabila media massa perdana menyiarkan keputusan kerajaan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pengajaran Sains dan Matematik sekolah mulai 2003 kononnya bagi menggantikan kehendak awal rakyat untuk menukar aliran pendidikan kebangsaan kepada aliran Inggeris seluruhnya, kononnya “demi kemajuan bangsa”. Perbincangan atau perbahasan selepas itu, pro dan anti-nya hanya kata perumpamaan Inggeris, “latihan ilmiah” sahaja.

Bahasa Melayu kini (mulai pertengahan 2003) sudahpun disingkirkan dan tersingkir tempatnya dengan mendadaknya di dalam pendidikan “Sains dan Matematik Sekolah”. Bahasa Melayu di peringkat pasca-sekolah dan IPTA sudah mula disingkirkan jauh lebih awal lagi, walaupun secara perlahan-lahan, iaitu sejak perisytiharan Y.A.B Dato’ Sri Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia tentang bolehnya bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran sains dan teknologi di IPTA pada akhir tahun 1993, dan diikuti dengan kelulusan Akta Pendidikan IPTS 1995. Dengan sekelip mata kita menyaksikan ratusan kolej/universiti swasta dalam bahasa Inggeris sahaja sehingga menggerhanakan IPTA yang masih menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dominannya sekurang-kurangnya hingga setahun-dua yang lepas. Kini, ekoran dasar bahasa di sekolah itu, maka semua IPTA (termasuk UKM) sedang melaksanakan/menstrategi pengInggerisannya dengan hebatnya. Masing-masing telah pun bertekad akan mengInggeris sepenuhnya menjelang 2005 ini, setengahnya bukan dalam pendidikan “sains dan matematik” sahaja atau lebih am lagi sains, kesihatan, kejuteraan dan teknologi (SAKTI), tetapi sehingga kepada beberapa kursus dalam pengajian Melayu sekalipun. Sebabnya diremehkan sahaja: semua pelajar aliran sains di sekolah adalah pelajar aliran Inggeris mulai 2005, dan yang lainnya demi teknologi maklumat (TM), globalisasi dan semua itu.

Tujuan makalah ini ialah dua perkara.

Untuk memaparkan sebab-sebabnya bahasa Melayu perlu dikekalkan sebagai bahasa pengantar dominan dalam pendidikan sekolah dan pasca-sekolah di Malaysia.
(2) Untuk mengesyorkan beberapa langkah strategi dan/atau kaedah pengembalian status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sektor pendidikan.


I. Sebab-Sebab perlunya bahasa pengantar pendidikan dan pembangunan SAKTI di Malaysia dalam bahasa Melayu

1. Kerajaan secara sedar atau tidaknya menjadikan 70% subjek pelajar aliran sains sekolah dalam bahasa Inggeris, lebih daripada 60% pelajar sekolah dan pasca-sekolah awam berada dalam aliran Inggeris, dan peratusan ini dijangka segera akan meningkat kepada aliran Inggeris sepenuhnya. “Apa salahnya?”

1.1. Kerajaan sentiasa menegaskan yang bahasa Melayu tetap dipertahankan walaupun bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar sains dan matematik mulai 2003 ini, kononnya “demi statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan identiti kita”. Memanglah ini sebenarnya kata-kata manis sahaja, lain di mulut lain di hati, dan pepat di luar runcing di dalam. Apa tidaknya!?

1.1.1. Mata pelajaran utama (mata pelajaran Wajib) Sekolah Rendah kini semuanya dalam bahasa Inggeris kecuali bahasa Melayu, dan agama Islam atau Pengajian Moral sahaja. Ini sama dengan sekolah aliran Inggeris dahulu.

1.1.2. Mata pelajaran Wajib SPM aliran sains atau vokasional semuanya dalam bahasa Inggeris kecuali bahasa Melayu dan Pengajian Islam sahaja. Inipun sama dengan sekolah aliran Inggeris dahulu.

Malah pelajar aliran sains sekolah mengambil 6 mata pelajaran dalam bahasa Inggeris (Matematik Moden, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi,  dan Inggeris); manakala 3 mata pelajaran sahaja (Bahasa Melayu, Sejarah dan Pengetahuan Islam (bagi Muslim) sahaja) dalam bahasa Melayu. Ini bermakna pelajar sekolah aliran sains adalah dominan (iaitu 2/3, atau kira-kira 70%) berada dalam aliran Inggeris. Peratusan ini meningkat lagi bagi pelajar yang mengambil mata pelajaran tambahan pilihannya seperti Teknologi Maklumat dan Lukisan Kejuruteraan. Sementara itu, mata pelajaran sekolah lain lagi yang dianggap sebagai sebahagian drp sains (oleh itu bahasa pengantarnya bahasa Inggeris) ialah mata-mata pelajaran teknis/kejuruteraan (di sekolah biasa, teknik atau vokasional), perakaunan, perdagangan, dan kemahiran hidup. Malah banyak sekolah kini memastikan Pendidikan Jasmani dalam bahasa Inggeris dan sekurang-kurangnya sehari seminggu dijadikan Hari Bahasa Inggeris sepenuhnya atas alasan menambah pendedahan suasana berbahasa Inggeris di kalangan pelajar.

1.1.3. Aliran sains peringkat STPM atau Matrikulasi adalah aliran Inggeris kerana hanya Kertas Am sahaja dalam bahasa Melayu.

1.1.4. Yang masih dominan dalam bahasa Melayu hanyalah peringkat PMR dan Sekolah Menegah aliran sastera sahaja (sekitar 40% pelajarsekolah), tetapi besar kemungkinannya buat sementara waktu sahaja.

1.2. Ini bermakna sebahagian besar pelajar sekolah (lebih daripada 60%)  memang akan berada dalam aliran Inggeris kerana dasar kerajaan juga hendak memastikan 60% pelajar pasca-SPM (atau IPT) berada di aliran sains.
1.3. Jika dasar IPTA terhadap seluruh kursus SAKTI-nya diubah kepada aliran Inggeris menjelang 2005 dilaksanakan kelak, maka lengkaplah sistem pendidikan kita kembali kepada aliran Inggeris sepenuhnya . Pada masa yang sama bidang bukan SAKTI pun tentunya tidak mahu “ketinggalan” seperti yang telah pun berlaku di IPTA dan dipercayai akan mempengaruhi pendidikan aliran sastera sekolah. Jika demikian tiada lagi tempatnya bahasa Melayu di arena pendidikan sekalipun. Jika sekarang pun, dalam sistem pendidikan kita beraliran Melayu hampir sepenuhnya, kita masih menghadapi masalah peminggiran bahasa Melayu tetapi pengagum Inggeris dan begitu inferior jiwanya, maka apatah lagi kelak. Tentunya, ramai pula yang mengatakan “apa salahnya? Jika bahasa kitalah yang melemahkan kita, tidak salah kita mengabaikannya dahulu” dan “maju bangsa majulah bahasa”. Pandangan ini dibahaskan secara langsung dan tidak langsungnya di bawah ini. 


2. Identiti bangsa. “Pendidikan aliran Inggeris tidak akan menukar sesiapa pun kepada Inggeris”; “Bentuk apa pun kita akan jadi, itu pun identiti kita juga”

2.1. Mengikut cerapan Munsyi Abdullah, (pada zamannya, zaman Inggeris sudah bertapak di Alam Melayu) bangsa Melayulah satu-satunya bangsa yang tidak suka kepada bahasanya sendiri. Sekarang terbukti lebih hebat lagi! Ini menjadi satu daripada punca ketiadaan identiti kita selama ini. Tentu ada pihak yang mengatakan apa salahnya? Ada yang mengatakan “Apa pentingnya identiti atau jati diri kita selama ini sedangkan identiti bukannya statik dan identiti kita selama ini mungkin yang menyebabkan kita mundur?” Ini isu penting yang dibicarakan berasingan dalam makalah ini.

2.2. Sementara itu ada pihak yang menegakkan teori bahawa kononnya pendidikan dalam aliran Inggeris sepenuhnya pun tidak akan menjejaskan identiti, kepatriotan dan kebudayaan, khususnya bahasa,  bangsa apa pun di Malaysia. Katanya lagi pejuang kemerdekaan dan pejuang bahasa Melayu selama ini pun adalah mereka yang berpendidikan Inggeris.

Sebenarnya mereka ini “keras pedal” sahaja kerana sengaja tidak mahu mengiktiraf betapa bahasa itu jiwa bangsa, bahasa mempengaruhi keperibadian, tingkah laku, nilai dan cara hidup (kebudayaan) seseorang. Pencerap sosial manakah yang sanggup menyatakan (pada amnya) China di Amerika sama dengan China di Benua China, atau China di Malaysia sekalipun! Pencerap sosial manakah yang sanggup memejamkan matanya untuk menegaskan bahawa (pada amnya) Melayu yang mendapat pendidikan dalam aliran Inggeris dahulu sama dengan Melayu yang mendapat pendidikan dalam aliran bahasa Melayu pasca-Merdeka, atau Melayu yang mendapat pendidikan dalam aliran bahasa Arab?  Memang!, Melayu mana yang Melayu 100% adalah masalah perbezaan nilai yang berbeza latar belakang pendidikan juga! Tetapi jika mengikut perlembagaan Malaysia sekali pun, orang yang tidak menggunakan bahasa Melayu di dalam sebahagaian besar kehidupannya (termasuk di rumah) tidak dianggap Melayu! Malah, adalah sukar dipertahankan bahawa orang yang tidak kesah kepada bahasa Melayu akan terpinggir, tidak menjadi bahasa pembangunan, atau yang membuat dasar yang tidak kesah kepada nasib bahasanya adalah juga orang Melayu! Bagaimana kita boleh menjamin sebahagian besar daripada orang Malayu yang mendapat pendidikan hampir sepenuhnya dalam bahasa Inggeris (seperti yang telah dijelaskan di atas) akan sebahagian besarnya menghayati bahasa Melayu dalam kehidupan hariannya? Dalam keadaan dasar pendidikan kita hampir 100% bahasa Melayu selama hampir 20 tahun, jika dikira sejak 1983 apabila semua sekolah kerajaan dalam aliran Melayu, status penghayatan bahasa Inggeris sekarang pun nampaknya masih mampu menjadi bahasa Melayu terpinggir, apatah lagi kelak dengan dasar bahasa baru ini?

Sebagai contohnya, mengikut kajian sosial mutakhirnya (ucapan Timbalan Perdana Mentri singapura 1999 dalam internet, “singapore education system” yang disiarkan dalam internet), setelah kira-kira 20 tahun Singapura menjalankan dasar pendidikan ekabahasa (bahasa Inggeris sahaja), kira-kira 40% China Singapura menghayati bahasa Inggeris dalam kehidupannya (bahasa Inggeris menjadi bahasa ibundanya dan mereka ini tidak boleh bercakap dalam bahasa China lagi) kerana sistem pendidikannya beraliran Inggeris sepenuhnya sekurang-kurangnya sejak pasca-sekolah rendah. Yang 60% itu lagi tentunya majoritinya beridolakan budaya Inggeris juga. Ya, tiada siapapun mengatakan mereka ini menjadi orang Inggeris yang sama dengan orang Inggeris di England, walaupun pengkaji sosial mendapati mereka benar-benar pengagum Inggeris sehingga mahu menjadi Inggeris dan menyukai kehidupan keInggerisan termasuklah keinginan tinggi untuk beristerikan/bersuamikan orang Inggeris. Tetapi bukan sahaja pencerap sosial Singapura, malah pemerintah Singapura juga mendapati (dan tidak senang) dengan tahap keChinaan (nilai-nilai murni China) para pencita Inggeris ini! Ini bermakna 40% China Singapura sudah bukan China yang diingini (bukan China 100%?) oleh bangsa China Singapura! Oleh itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini dasar ekabahasa sudah diubah sedikit kepada dasar dwibahasa (Inggeris dan Mandarin) kepada sekitar 20% penduduk Singapura dengan menubuhkan beberapa buah sekolah khas dwibahasa ini.Universiti Singapura kini menawarkan beberapa kursus Sarjana dalam bahasa Mandarin.

2.3. Berkenaan dengan kononnya pejuang kemerdekaan kita dan pejuang bahasa Melayu selama ini adalah mereka yang berpendidikan Inggeris adalah satu fitnah sahaja. Gerakan kemerdekaan wujud sebelum UMNO ditubuhkan lagi dan mereka itu kebanyakannya bukan berpendidikan aliran Inggeris. Selepas UMNO ditubuhkan hinggalah sekarang pun lebih ramai pejuang kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan itu (dalam UMNO atau tidak) yang bukan berpendidikan Inggeris dan oleh itu berprinsip kemerdekaan yang berbeza kerana latar belakang pendidikan yang berbeza (kebanyakannya bukan aliran Inggeris). Golongan inilah juga yang menekan pemimpin berkuasa yang berpendidikan Inggeris dalam kerajaan mendaulatkan bahasa Melayu: Pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi dan pendidikan memang dilaksanakan atas desakan rakyat, dengan demonstrasi demi demonstrasi jalanan, bukannya kehendak pemimpin yang berpendidikan Inggeris itu. Kini pun pemimpin Melayu yang tidak mahu bahasa Melayu dalam pendidikan ialah pemimpin yang berpendidikan aliran Inggeris, atau pak turut pemimpin itu.

2.4. Anehnya, pihak yang gembira dengan dasar pen-Inggeris-an pendidikan kita begitu tidak senang dengan pihak yang dikatakannya merosakkan identiti Melayu dengan meng-‘Arab-kan Melayu (berjubah, beketayap/berserban atau menutup kepala/bertelekung/dsbnya, berana-anta dan memperkenalkan perkataan Arab yang tidak perlu). Pihak inilah juga pada masa yang sama, dengan pelbagai alasan yang palsu dengan bangganya meng-Inggeriskan pendidikan dan membiarkan segala macam kebudayaan Barat berleluasa. Ini jelas perbezaan sistem nilai kerana perbezaan laluan pendidikan dan yang tinggal hanya siapa yang lebih “hitam” sahaja? 


3. Sejarah tamadun/kemajuan bangsa merata dunia. Kononnya “Dulu lain sekarang lain. Kita boleh!”.

3.1. Setiap negara di Eropah sebelum mencapai taraf maju yang kita kenali kini, pernah mengalami beberapa kali perubahan dasar bahasa dalam pemindahan ilmu dan pendidikan dalam usaha mengejar kemajuan. Mula-mulanya, mereka memang tertarik dengan bahasa Arab kerana bahasa Arablah bahasa ilmu dan lambang kemajuan sekurang-kurangnya dalam abad ke-9M hingga ke-14M itu. Tentunya, hujah-hujah yang sama kedengaran sekarang ada pada masa itu seperti mustahilnya penterjemahan semua ilmu ke dalam bahasa sendiri (kerana kelemahan bahasa sendiri, lambatnya dan menanggung bermacam-macam kosnya yang merugikan), dan demi komunikasi antarabangsa. Umpamanya, Jerman pernah menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan dalam pendidikan anak bangsanya pada zaman Raja Frederick II-nya, sebelum mendokongi Latin dan Perancis hingga pada abad ke-18M. Ternyata Jerman hanya melonjak kemajuannya apabila bangsa itu mendengar hujah-hujah cendekiawannya yang dipelopori oleh Leibniz (Jerman di Perancis yang berkarya dalam bahasa Perancis), agar menggunakan bahasa sendiri, bahasa Jerman. Sesungguhnya, setiap negara di Eropah sebelum mencapai taraf majunya,  melalui zaman kesilapan dalam pembangunan ilmunya seperti Jerman itu, iaitu tidak menggunakan bahasanya sendiri berkurun-kurun lamanya pada masa Tamadun Islam, Tamadun Kristiannya, dan sehingga kurun ke-18. Mulanya mereka menyedari keadaan ini lalu memilih bahasa yang paling dekat dengan agamanya, iaitu Latin sehingga muncullah Zaman Pe-Latin-an ilmu di Eropah dengan penubuhan pusat-pusat penterjemahannya yang besar di Italia, di Sepanyol, di Turki, dan di Sisilia. Mereka berjaya sehingga mula berkarya sendiri dalam bahasa Latin hingga ke abad ke-17. Tetapi kemudian Perancis membangunkan ilmu umatnya menerusi bahasanya sendiri dan begitu berjaya sehingga hampir seluruh Eropah menjadi bahasa Perancis sebagai bahasa pembangunan ilmunya sebelum masing-masing menukar kepada bahasa mereka sendiri mulai abad ke-19.

3.2. Inggeris paling lambat menyedari perlunya mereka maju bersama bahasanya, kerana pemimpinnya terpesona dengan kemajuan negara lain dalam bahasa lain, iaitu Latin, Grik/Yunani dan Perancis. Inggeris sebenarnya ketinggalan dalam SAKTI berbanding dengan negara-negara lain di Eropah terutamanya Perancis dan Jerman sehingga mereka sebenarnya menterjemah ilmu daripada dua bahasa ini hingga awal abad ke-20. Hal ini dibicarakan lebih lanjut lagi kemudian. Kita merasakan semua ilmu daripada bahasa Inggeris semata-mata kerana kita terjajah olehnya dan kejayaan Inggeris memeribumikan (meng-Inggeriskan) ilmu daripada kebudayaan lain (terutamanyanya Perancis dan Jerman itu) dengan hebatnya dalam masa kira-kira seabad mulai awal abad ke-19 kalau dikira sekolah dan universitinya mula ada menawarkan mata pelajaran sains (Lihat Barnard 1968, “A History of English Education”) dan pada pertengahan abad ke-19 Latin dan Grik/Yunani masih menjadi bahasa wajib di universitinya yang diangapnya sama seperti pemimpin kita sekarang meletakkan status bahasa Inggeris.
3.3. Kini puluhan bahasa di Eropah itu menjadi bahasa ilmu termasuk bahasa yang negara-bangsanya berpenduduk kurang daripada Malaysia. Jelaslah perjuangan memajukan bangsa-bangsa di Eropah bukannya menerusi kata-kata hikmat atau diktum “maju bangsa majulah bahasa” tetapi maju bersama bahasanya masing-masing sehingga bahasa masing-masing menjadi jiwa ilmu dan jiwa bangsa itu.

3.4. Pendeknya, negara-negara maju di Eropah kini memang pernah melahirkan pemimpinnya (sebelum abad ke-14M) yang percaya kemajuannya hanya boleh tercapai menerusi bahasa ilmu semasa sahaja sebelum mereka bertekad memeribumikan ilmu semasa dan seterusnya berkarya menerusi bahasa sendiri masing-masing itu, lalu bahasanya menjiwai ilmunya.

3.5. Jepun juga pernah memilih bahasa China, dan Rusia sebagai bahasa pendidikan/pembangunan sebelum terbukti gagal dan bertekad menggantikannya dengan bahasa sendiri semata-mata kerana pemimpinnya terdahulu bermiopia melihat China dan Rusia jauh lebih maju daripadanya.

3.6. Tamadun Islam muncul ketika kemajuan berada dalam bahasa-bahasa lain seperti Yunani, Latin/Rom, Parsi, dan India dan China tetapi menerusi ajaran Islamlah mereka terus berkuantum memilih bahasa Arab sebagai bahasa pembangunan ilmu dan begitu pantas berjayanya.

3.7. Pendeknya, belum ada negara-bangsa yang maju dengan bahasa asing, walaupun sepanjang masa memang ada individu bangsa A yang menjadi ilmuwan atau rekawan terkenal dalam bahasa asingnya B kerana pendidikannya sejak kecil lagi dalam bahasa asing tersebut. Tetapi bangsa apakah seseorang itu jika bahasanya sendiri tidak digunakannya/diketahuinya?

4. Tabii daya pengaryaan

4.1. Hasil-hasil penyelidikan tentang daya pengaryaan, seperti oleh Vygotsky, Ravetz dan de Bono semuanya sejak tahun 1970-an dahulu (sekadar menyebut beberapa orang sarjana abad ini yang banyak memberi sumbangan besar dalam bidang pengaryaan ilmu, dan ketiganya tidak berpendidikan aliran Inggeris), menegaskan bahawa sarjana atau pereka cipta daripada berkebudayaan A mampu mencetus karya/ciptaan/rekaan yang berbeza dan bitara berbanding dengan sarjana atau pereka cipta yang berkebudayaan B. Edward de Bono malah berani pula mengatakan dalam bukunya “I am Right, You are Wrong” (1991), bahasa Inggeris bukan bahasa yang unggul untuk berkarya! Beliau tentunya menyatakan fakta yang termanifestasi dalam keadaan sains dan teknologi abad ini, yang menyaksikan karya-karya asli SAKTI daripada bangsa yang bahasa ibundanya atau yang melalui sistem pendidikan bukan dalam bahasa Inggeris sahaja.

4.2. Pendeknya, teori daya pengaryaan menegaskan bahawa sesuatu umat yang cuba menjadikan cara hidupnya menerusi pendidikan yang terserkap dengan bahasa dan pemikiran umat lain yang mempesonakan pemimpinnya itu, tidak mungkin menjadi umat yang lebih berdaya karya daripada umat yang mempesonakannya itu.  Tidak hairanlah Ismail al-Faruqi merujuk mereka ini hanya sebagai karikatur daripada karikatur sahaja, dan sarjana yang lain lagi menamakannya sebagai komparador, atau sebagai kreol sahaja.

4.3. Kelainan penghayatan bahasa dan sekaligus kebudayaan itulah yang mampu melahirkan kelainan persoalan, karya, idea, prinsip dan sebagainya.  Kita perlu ramai sarjana, cendekiawan yang menghayati bahasa dan budayanya secara bersahaja ini, dan hanya pendidikan ilmu dalam bahasa kita sendiri sahaja yang mampu merealisasikan perkara ini. Mungkin beberapa contoh daripada Negara kita sendiri di bawah (perkara 4.4 dan 5) boleh membantu memahami dan seterusnya menginsafi teori ini

4.4. Beberapa orang pelajar Sarjana dan Dr. Fal. dalam bidang sains komputer di UKM memperoleh kemajuan bertaraf dunia dalam alkhwarizmi yang berhubung dengan leksikografi muncul semata-mata kerana penyelianya dipengaruhi oleh nahu bahasa Melayu yang lain daripada lain itu dan ingin mewarnai dan menjiwai ilmu menerusi bahasa Melayu. Pelajar penulis kertas kerja ini pula berjaya mencetuskan konsep optimum yang baru yang berbeza daripada optimum dalam matematik dunia selama ini, dan pelajarnya yang lain mendapat model matematik pengurusan kewangan yang baru sejak beberapa tahun ini memberi satu lagi bukti yang nyata betapanya kepercayaan yang kuat kepada sesuatu sistem nilai daripada cara hidup yang berbeza mampu memberi ilmu yang baru yang boleh bersaing dengan ilmu semasa. 

5. Tidak neutralnya SAKTI: Bukan aspek penggunaanya, penerapan atau aplikasinya sahaja

5.1. Tidak neutralnya, atau sarat nilainya, ilmu bukan SAKTI (seperti sejarah, sosiologi, ekonomi dan pengurusan) mungkin mudah diterima umum, walaupun itu pun tidak begitu dizahirkan atau diamalkan dalam sistem pendidikan kita. Lain sekali persepsepsi umum dan para pemimpin kita terhadap bidang SAKTI atau lebih rendah lagi “Sains dan Matematik” sekolah itu. Penyedaran terhadap kebergantungan kosmologi (kebudayaan atau nilai) sesuatu bangsa dalam SAKTI baru berjaya dilakukan dengan bergayanya dan lebih berdaya sains hujahnya oleh sarjana Barat dan Muslim mulai 1960-an sahaja. Penyumbang terkenalnya ialah Thomas Kuhn dengan istilah paradigma-nya, Popper, Lakatos dan Feyerabend (tiga orang ahli falsafah sains Barat yang terkenal pada abad ini, dan semuanya tidak berpendidikan dalam aliran Inggeris!) yang meruntuhkan falsafah sains tradisi yang berkisar pada keneutralan sains, dan seyyed Hossein Nasr, Ismail al-Faruqi dan Muhammad Naquib al-Attas (tiga orang ahli falsafah sains Islam, dua yang terawal itu tidak terdidik dalam aliran Inggeris, dan yang ketiga itu berpendidikan awal sekolah agama rakyat aliran Melayu).

5.2. Mereka ini memberi bukti tentang tidak neutralnya pemilihan atau pengecaman persoalan, matalamat penyelesaian sesuatu persoalan, pembinaan model kepada persolan itu, penilaian kepada model itu, dan akhirnya cara pelaksanaan atau amalan ilmu yang diperoleh itu.

5.3. Para pemimpin kita memang sering “sedap mulut” bercakap tentang perlunya kita maju dalam acuan sendiri (terutamanya selepas “Wawasan 2020”) tetapi sehingga kini tiada langkah yang jelas dan berani dilakukan untuk mencapai wawasan itu. Langkah meng-Inggeris pendidikan Sains dan Mematik sekolah dan SAKTI di IPTA tentunya langkah regresi yang tinggi pekali korelasinya dengan ketidak-pedulian atau kejahilan kita terhadap tabii perkembangan SAKTI selama ini.

5.4. Seperti kajian ahli-ahli sosiologi ilmu pengetahuan yang diwakili oleh Ravetz (bukan berpendidikan dalam aliran Inggeris) tahun 1970-an lagi itu, bahasa sesuatu kaum itu memang berperanan positif bagi memajukan kaum tersebut bukan sebaliknya. Bahasa seseorang itu, jika digunakan sebagai bahasa pengantarnya, bukan sahaja memudahkan lagi dia menguasai ilmu yang sedia ada, tetapi memberi fahaman baru kepadanya, menghayatinya, dan mencetuskan inovasi atau idea baru sama sekali terhadap ilmu itu lalu mejiwai ilmu itu dengan kebudayaannya dan akhirnya terantarabangsalah kebudayaan itu menerusi ilmu itu.  Kuhn (dalam buku agungnya, “Struktur Revolusi Sains” 1962/1992) banyak memberi contoh berlakunya perkara sebegini dalam fizik dan kimia yang menggemparkan dunia ilmuwan dan kecendekiawanan sejak 1962 itu. Sumbangan sarjana sains komputer UKM dan pelajarnya dalam alkhwarismi baru leksikografi serta sumbangan penulis dan pelajar penulis ini dalam konsep optimum dan model pengurusan kewangan yang baru yang telah disebut di atas memberi contoh di halaman rumah sendiri akan ketidak-neutralan “sains dan matematik” itu. Jahillah dan angkuhlah, jika sesorang berkata “belajar sains dalam bahasa dan/atau dari bangsa apa pun sama sahaja. Yang pentingnya kita dapat menguasinya”, kononnya “tiada pilihan lagi melainkan belajar menerusi bahasa pengantar Inggeris” dan kononnya “dengan tidak melupakan bahasa kita, bahasa kebangsaan kita”. Ini setinggi-tingginya pemikiran lamunan sahaja atau mimpi di siang hari sahaja.

6. Kejayaan dalam pemerataan ilmu

6.1. Pendidikan dalam aliran Melayu telah meningkatkan tahap capaian rakyat Malaysia kepada peluang berilmu dengan hebatnya. Kejayaan lebih daripada 5 ribu setahun pelajar Melayu (dan bukan Melayu berganda-ganda lagi) dalam aliran Melayu memperoleh ijazah dalam aliran pelbagai bahasa di seberang laut, terutamanya dalam bahasa yang kerajaan begitu perihatin dan sangsi kebolehan anak Melayu, iaitu bahasa Inggeris, menyangkal tohmahan yang kononnya pendidikan dalam bahasa Melayu semakin melemahkan Melayu (atau rakyat Malaysia amnya), tidak berdaya saing dan sebagainya itu.

6.2. Pencapaian anak-anak Melayu berbanding dengan bukan Melayu di semua peringkat sebenarnya jauh meningkat berbanding dengan zaman pendidikan bukan dalam aliran Melayu dahulu, walaupun jurangnya masih luas. Sudah ramai anak Melayu yang malah dapat berada di universiti-universiti terkemuka di dunia, di Amerika Syarikat dan di United Kingdom, di Jepun, dan di Eropah, ramai pula yang beroleh kelas pertama pun. Jika pencapaian ini dicampurkan dengan yang di dalam negara, maka jurang pencapaian Melayu dengan Cina tidaklah seburuk yang digambarkan itu, malah mungkin sekali sama dengan jurang di peringkat SPM itu sahaja (yang perlu diakui masih luas jurangnya).

6.3. Hipotesis yang nampaknya begitu dipercayai oleh pemimpin UMNO bahawa jurang ini dapat disempitkan apabila bahasa pengantar ilmu sains dan matematik dijadikan dalam bahasa Inggeris adalah suatu yang di luar khayalan dan kefahaman orang-orang yang tidak terserkap/terpesona dengan bahasa Inggeris. Malah hampir semua kajian berhubung dengan hal ini yang dilakukan di luar negara memang menunjukkan sebaliknya! Tidak ada sebab seseorang tidak mahu mempercayai kajian ini semata-mata adanya satu dua hasil penyelidikan di Kanada umpamanya yang menunjukkan pelajar berbahasa ibunda Perancis tidak menghadapi masalah belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, malah kononnya ada tanda-tanda mereka ini lebih baik prestasinya berbanding dengan pelajar ekabahasa. Lebih-lebih lagi jika kita menyedari dan menginsafi sebahagian besar negara maju sekarang (apatah lagi dahulu) bukannya negara yang sistem pendidikannya dalam aliran Inggeris! Pendeknya, kejahilan, keangkuhan, keampuan atau kecitaan Inggeris seseorang sahaja jika dia mengatakan pendidikan aliran Melayu selama ini tidak melahirkan ramai anak Melaysia (apatah lagi Melayu) yang boleh dibanggakan. Mereka ini seringlah mengatakan sistem pendidikan kita selama ini berjaya hanya, “segi kuantiti sahaja, bukan kualiti. Kita mahu melahirkan sarjana bertaraf dunia, bukan jaguh kampung”. Isu ini dibicarakan lagi berasingan daripada ini kerana ini fitnah besar sahaja (Lihat 7 di bawah).

6.4. Pada 8 September 2003, seperti yang diduga, menerusi media massa kita menyerantakan hasil penyelidikan Kementerian Pendidikan kita bahawa kita telah berjaya dengan cepatnya membuktikan kehebatan bahasa Inggeris meningkatkan prestasi pelajar sains dan matematik pelajar sekolah kita. Bayangkanlah reaksi orang Inggeris (U.K, A.S., Australia, N. Zealand dan Kanada) dan negara-negara membangun yang telah lama menggunakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikannya (seperti Brunei, Philippina, dan Afrika Selatan) yang selama ini pun memang juga telah lama menghadapi masalah pendidikan sains dan matematik di kalangan anak-anaknya? Tetapi yang lebih penting disedari ialah betapa hasil kajian itu tidak bernilai sama sekali (iaitu “bohongan statistik” sahaja) kerana sekurang-kurangnya tiga sebab. Pertamanya kajian ini tidak objektif langsung kerana pengkaji upahan manakah yang akan memberi hasil kajiannya yang sebaliknya kerana penajanya (kerajaan) telah pun membuat keputusan kebaikan dasar itu dan akan dilaksanakan dengan peruntukan yang besar “walaupun tidak popular, kerana kerajaan yakin inilah yang terbaik untuk negara”. Keduanya, kajian itu bertentangan dengan kaedah sains (kaedah statistik) kerana tiadanya kawalan, iaitu tiadanya sekolah yang menjalankan pendidikan sains dan matematik dalam bahasa Melayu dalam persekitaran yang sama (guru yang sama berkebolehan, alat-alat yang sama dan sebagainya). Ketiganya, jumlah ujikaji atau cubaan yang mencukupi, bukan hanya satu kali ujian/penilaian sahaja.

7. Pendidikan “Sains dan Matematik” dalam bahasa Melayu memang Berjaya

7.1. Bukti kejayaan Dasar Pendidikan Kebangsaan selama ini lagi cukup banyak yang menyangkal dakwaan bahawa kononnya pendidikan dalam bahasa Melayu rendah mutunya, ketinggalan zaman, merugikan Melayu, tidak mampu bersaing, memecah-belahkan rakyat dan sebagainya itu. Sebahagiannya telah disebut dalam isu pemerataan ilmu perkara 6 di atas. Di sini diperturunkan beberapa bukti lain lagi.

7.2. Dalam dunia akademik, selain drpd kelahiran sulung ijazah Sarjana Muda Sains aliran Melayu pada 1974, penganugerahan ijazah Sarjana Sains pertama dalam aliran Melayu ialah pada 1980 dan D. Fal. sains pada 1985 (kedua-duanya di UKM). Malah dalam bidang teknologi maklumat (TM), bidang yang selalu disebut sebagai bidang yang menjadi penghalang besar kepada kesesuaian bahasa Melayu menjadi perantaraannya, ijazah pertama dianugerahkan pada 1979 lagi dan Sarjana ditawarkan di UTM sejak 1983 lagi. Di UKM sahaja, sehingga 1994 seramai 247 orang beroleh ijazah Sarjana (pelbagai bidang S & T)  dan 25 orang D. Fal. (pelbagai bidang S & T), tetapi sejak 1995 hingga kini bilangan ini berganda-ganda lagi sehingga pada konvo 2001 umpamanya UKM melahirkan 230 orang Sarjana S & T dan 30 orang D. Fal. Dalam bidang TM sahaja pada konvo 2001, UKM melahirkan 68 orang Sarjana dan 8 orang D. Fal. Dalam bidang perubatan sejak 10 tahun yang lepas lagi kira 150 orang setahun UKM melahirkan Sarjana kepakaran perubatan yang banyak juga tesisnya dalam bahasa Melayu. Dianggarkan kini sudah ribuan berijazah Sarjana dan hampir ribu orang berijazah D. Fal./(setara dgnnya) dalam bidang SAKTI (sains, kesihatan, kejuruteraan dan teknologi) dalam aliran Melayu.  Hasil-hasil penyelidikan mereka ini bertaraf antarabangsa kerana sudah pun dibentangkan (dalam bahasa Inggeris/Melayu) di forum-forum antarabangsa (seminar dan penerbitan). Tidak syak lagi ada tesis-tesis atau makalah dalam bahasa Melayu itu yang dirujuk oleh para sarjana antarabangsa, sebagaimana adanya sarjana kita yang merujuk tesis/makalah dalam bahasa Inggeris dan bukan Inggeris.

7.3. Kakitangan akademik bidang SAKTI universiti-universiti di Malaysia sekurang-kurangnya sejak 1994 lagi peratusan pemegang ijazah pertamanya dalam aliran bahasa Melayu dari UKM sahaja pun cukup ramai, iaitu melebihi 30% (UKM 44% bidang S & T dan 29% bidang kesihatan, UPM 24% , UTM kira-kira 46%). Kini dianggarkan lebih daripada 50% kaki tangan akademik universiti-universiti kita terdiri daripada mereka yang sekurang-kurangnya berijazah pertamanya dalam aliran Melayu. Mereka ini semuanya sudah membuktikan kehebatan pendidikan dalam aliran bahasa Melayu di antarabangsa pun! Sekaligus data ini menyangkal dakwaan pihak pro-dasar pengInggerisan Sains dan Matematik kononnya ahli sains dan teknologi kita adalah majoritinya mereka yang beraliran Inggeris. Jika ini bukan bertaraf dunia, siswazah bagaimana lagi yang UMNO bayangkan? Mungkin yang hanya bercakap Inggeris sahaja dalam kehidupannya!

7.4. Kejayaan pendidikan aliran Melayu juga dapat dilihat daripada segi kejayaan kita mengimbangi komposisi kaum dalam pelbagai sektor selain daripada sektor akademik. Ilmu lebih berharga daripada harta dan kuasa, demikian intipati sebuah hadith. Maka pengagihan ilmu kepada rakyat dengan cara adil adalah penting dan kita hanya membuktikan hukum yang telah terbukti sepanjang zaman, iaitu penddikan dalam bahasa sendiri sahaja yang mampu melakukannya. Dalam tahun 1999, arkitek Melayu 29% (tahun 1970 hanya 4%), doktor gigi Melayu 35% (tahun 1970 hanya 3%), doktor haiwan 43% (tahun 1970 hanya 4%), doktor perubatan lain 37% (tahun 1970 hanya 4%), juru ukur 45% (tahun 1970 tiada datanya tetapi dipercayai tidak banyak jauhnya daripada 4% itu) dan jurutera 27% (tahun 1970 hanya 7%). Pemimpin-pemimpin persatuan berasaskan SAKTI kini kira-kira 50% orang Melayu (tahun 1970 dahulu datanya tiada, tetapi tentunya tidak lebih daripada angka 4%-7% itu). Dalam dunia akademik dan penyelidikan SAKTI, peratusan Melayu dikira sudah tidak seimbang lagi, iaitu melebihi 80% kecuali kesihatan sekitar 50%, geologi sekitar 60% dan farmasi 70%. Sebenarnya semua pekerja berijazah di sektor awam dan swasta yang kini berumur lebih daripada 40 tahun adalah mereka yang berpendidikan aliran Melayu sekurang-kurangnya sehingga peringkat SPM dan separuh daripadanya sehingga peringkat ijazahnya.

7.5. Ada pihak yang dengan jahilnya dan sombongnya menyatakan bahawa walaupun pendidikan aliran Melayu melahirkan ramai Profesor Melayu dalam pelbagai bidang yang diakuinya tidak pernah kedengaran begitu pada zaman pendidikan kita dalam aliran Inggeris dahulu, tetapi pihak ini menuduh melulu kononnya profesor ini jaguh kampung sahaja.  Data di 7.2 dan 7.3 di atas dan ulasan di bawah ini sepatutnya menempelak mereka ini.

7.6. Satu kejayaan besar pendidikan SAKTI aliran Melayu di peringkat antarabangsa ialah kejayaan kita mewujudkan para sarjana yang berfikir secara nasional walaupun bekerja di antarabangsa sehingga mereka ini mengantarabangsakan bahasa Melayu menerusi istilah bidangnya masing-masing. Dalam bidang zoologi umpamanya kini sudah lebih daripada 300 istilah haiwan dalam bentuk L Y dengan L bahasa Latin dan Y bahasa Melayu daripada warna seperti hijau, jalur, tompok, dan sebagainya (contohnya, Arthrotus hijau), kata sifat seperti ajaib, cantik, lawa, indah dan sebagainya, dan daripada nama tempat di Malaysia seperti pahangi (drp Pahang), dan nama orang Melayu seperti ismaili (drp Ismail). Ini semua berlaku hanya dalam masa kuraqng daripada 15 tahun universiti kita semua dalam aliran Melayu. Sebaliknya untuk selama 30 tahun universiti kita dalam aliran Inggeris sebelumnya prestasi sebegini nol tarafnya.

8. Pencapaian pelajar sains dan matematik (S & M) sekolah dalam bahasa selain daripada bahasa Inggeris juga membanggakan malah lebih daripada 6 buah negara tidak belajar S & M dalam bahasa Inggeris berada dalam 10 negara teratas, itupun hanya satu-dua buah negara sahaja (Singapura dan mungkin India) yang bahasa Inggeris berupa bahasa asingnya (bahasa bekas penjajahnya).

8.1. Kita sering diwarwarkan bahawa pencapaian pelajar kita dalam sains dan matematik akan lebih baik lagi jika pengajaran subjek-subjek itu dilakukan dalam bahasa Inggeris atas berbagai-bagai alasan yang palsu atau tidak berasaskan data empirik seluruh dunia. Malah baru belum sampai setahun dasar pengInggerisan S & M sekolah berlangsung, beberapa laporan dari pihak kerajaan dan ilmuwan upahan atau ampuan telah pun diwarwarkan bahawa kononnya pelajar sekolah kini jauh lebih berminat belajar S & M dan tiada masalahnya malah ada yang lebih baik daripada semasa subjek ini dijalankan dalam bahasa Melayu. Hasil kajian Kementerian Pendidikan kita yang disiarkan dalam media massanya pada 8 september 2003 itu tentunya memberi senjata sakti baru baginya lagi. Tetapi kajian ini sesungguhnya tidak boleh dipercayai kerana ketidak-objektifannya (pengkaji upahan mana yang berani membuat kesimpulan sebaliknya!?) dan tidak mungkin memenuhi norma-norma persampelan dan reka bentuk ujikaji yang piawai.  Tambahan pula keputusan kajian ini seolah-olah menyanggah hasil kajian yang lebih boleh dipercayai sejak puluhan tahun dahulu lagi, iaitu berdasarkan kedudukan pencapaian ujian sains dan matematik ke atas pelajar-pelajar sekolah daripada 32 buah negara pilihan setiap lima tahun (kali ketiga dilakukan 1999), dan olimpiad antarabangsa fizik, kimia, matematik dan teknologi maklumat (TM) setiap tahun. (Kini sudah berusia hampir lebih seabad, kecuali TM).

8.2. Soalan dalam ujian-ujian antarabangsa yang tersebut di atas memang dibuat dalam berbagai-bagai bahasa mengikut permintaan negara berkenaan, iaitu negara-negara maju pastinya dengan bahasa mereka sendiri, dan begitu juga dengan hampir semua negara yang sistem pendidikannya dalam bahasa kebangsaannya sendiri. Keputusan setiap kali ujian ini ialah pelajar sekolah dari negara maju berbangsa/berbahasa Inggeris sekalipun (Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, dsbnya) mendapat kedudukan yang rendah-rendah sahaja (ke bawah daripada ke-10 hingga ke-20-an pun) dan pelajar dari negara yang S & M-nya tidak diajar dalam bahasa asing mendapat kedudukan corot-corot sahaja. Malaysia pertama kali dipilih masuk dalam ujian ini dalam ujian 1999 dan ternyata dapat mengatasi semua negara yang dipilih di ASEAN ini kecuali Singapura, malah mengatasi beberapa buah negara maju bangsa Inggeris/Anglo-Saxon! Pelajar Malaysia itu belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil!

8.3. Keputusan Olimpiad Antarabangsa pun demikian juga, iaitu dalam matematik, fizik, kimia, biologi dan teknologi maklumat,  dalam masa 10 tahun yang lepas ini, daripada 10 negara teratas itu sekurang-kurangnya 8 daripadanya negara yang pendidikan sains dan matematiknya adalah dalam bahasanya sendiri. (Ini boleh disemak dalam internet). Umpamanya, dalam matematik (M), IMO2003 tiada sebuah negara pun daripada 10 negara teratas yang pesertanya belajar matematik dalam bahasa asing,  IMO2002 dan IMO2001 hanya sebuah negara sahaja berada dalam kumpulan 10 atas yang matematiknya mungkin diajar dalam bahasa asing negaranya (iaitu India, itupun masing-masingnya di tempat yang ke-9 dan ke-6 (selepas Kazakhstan dan Korea=Bulgaria). Dalam Biologi, IBO2003 yang menariknya Thailand mendapat tempat pertama dan dalam 10 negara teratas hanya Singapura sahaja (mendapat nombor 5 yang sama dengan Korea Selatan) yang pastinya belajar ilmu berkenaan (Biologi) dalam bahasa asingnya (Inggeris), dan sebuah lagi (India mendaspat nombor 6) mungkin juga dalam bahasa asing. Dalam IBO2001 hanya dua buah negara, iaitu India (itu pun nombor 8, selepas Thailand, Taiwan, Belarus, Iran, Korea, China, dan Krygystan) dan Singapura (itupun nombor 9) yang berada dalam senarai 10 atas dan calonnya belajar Matematik sekolah dalam bahasa asing (Inggeris). Dalam Fizik (F), IPh2003 tiada sebuah negara pun daripada 10 negara teratas yang belajar fizik dalam bahasa asingnya, kecuali mungkin India yang mendapat nombor 4. Dalam IPhO2001 mungkin hanya sebuah negara, iaitu India (itu pun nombor 4, selepas Rusia, Iran dan Belarus) yang berada dalam senarai 10 atas dan calonnya mungkin belajar fizik dalam bahasa Inggeris; dalam Kimia (K), ICO2002, terdapat 2 buah negara, iaitu India (itupun nombor 5 tetapi sama dengan Czek dan Turki), dan Singapura (nombor 6 yang sama dengan Thailand); dan dalam Teknologi Maklumat atau imformatik (I),  IOI2003 hanya sebuah negara sahaja dalam 10 negara teratas yang pelajarnya belajar dalam bahasa asing (iaitu Argentina yang mendapat nombor 9 tetapi itupun bukannya dalam bahasa Inggeris dan besar kemungkinan calonnya bukan peribumi Argentina). Dalam IOI2001, hanya sebuah negara yang berada dalam senarai 10 buah negara atas dan calonnya belajar dalam bahasa asing negaranya, iaitu Afrika Selatan (nombor 6, selepas Rumania, China, Belanda dan Rusia, tetapi ternyata calon dari Afrika selatan itu berketurunan Anglo-Saxon). Data penuh keputusan olimpiad ini untuk 10 tahun yang lepas seperti di bawah ini dan data ini sepatutnya menyedarkan kesalahan anggapan para pendokong dasar bahasa Inggeris selama ini.

9. Mitosnya dan terserkapnya minda dengan kepercayaan kepada kemajuan SAKTI menerusi bahasa Inggeris.

9.0. Pemenang Hadiah Nobel sepatutnya dapat menginsafi pencita Inggeris kerana para pemenang itu terdiri daripada pelbagai bangsa yang belajar sains dan matematik bukan dalam bahasa Inggeris, malah ada yang langsung tidak tahu berbahasa Inggeris semasa berijazah pertama di negaranya sebelum berhijrah ke AS. Umpamanya, sejak Hadiah Nobel diadakan 1900 hingga 2003 seramai 138 ahli fizik dunia menerima hadiah ini dan hanya 59 orang daripadanya secara rasminya dikatakan dari Amerika Syarikat (A.S) dan United Kingdom (UK). Memanglah yang teramainya dari AS, iaitu 40 orang tetapi itupun bukan semuanya bahasa ibundanya Inggeris malah ada yang belajar sains dan matematik dalam bahasanya sendiri setengahnya hingga ke peringkat D.Fal. Pemenang yang kedua teramainya ialah dari Jerman, iaitu 24 orang diikuti oleh UK 20 orang (termasuk seorang dari Pakistan dan seorang dari Hungari),  Russia 9 orang, Perancis 8 orang, Belanda 7 orang, Italia 5 orang, Sweden, Switzerland dan Jepun masing-masingnya 4 orang, China dan Denmark masing-masingnya 3 orang, Austria, India (Prof. Raman satu-satunya pemenang Hadiah Nobel 1922 belajar sains dan matematik dalam bahasa Tamil hingga peringkat yang setara dengan STP), dan Ireland, masing-masingnya 1 orang. Pemilihan pemenang Hadiah Nobel memang terkenal memihak kepada AS dan Yahudi, tetapi kerana kehebatan sarjana bukan Yahudi dan bukan dari AS itu agak luar biasa maka mereka tidak dapatlah diabaikan begitu sahaja sehingga munculnya statistik pemenang Hadiah itu seperti di atas itu. 

9.1. Yang memajukan SAKTI di Amerika Syarikat itu bukannya semuanya individu yang berpendidikan SAKTI dalam bahasa Inggeris tetapi banyaklah individu yang berpendidikan sains dan matematik dalam bahasa-bahasa bukan Inggeris di Eropah, China dan Jepun (dengan penghijrahan beramai-ramai sarjana dari Eropah selepas Perang Dunia II, sarjana Blok timur selepas runtuhnya tembok Berlin dan sarjana-sarjana dari negara-negara ketiga), sekurang-kurangnya hingga di peringkat sekolah. Selain itu segala teknologi terutamanya yang bukan ketenteraan masa kini seperti kereta, mesin, alat komunikasi, dan lain-lain hampir semuanya bukan rekaan bangsa yang berpendidikan SAKTI dalam bahasa Inggeris. Sarjana-sarjana yang disebut dalam makalah ini pun jumhur besarnya tidak berpendidikan dalam aliran Inggeris. Kenapa kita bereya-eya benar mengatakan “kita tiada pilihan untuk maju dalam sains dan matematik melainkan menerusi bahasa Inggeris?”. Ilmu S & M sekolah itu pun hampir semuanya bukan asalnya dalam bahasa Inggeris (lihat perinciannya di bawah). Malangnya, atas kejumudan fikiran ada seorang Timbalan Menteri dan diikuti oleh pengikutnya seperti “Jawatankuasa ad hoc Biro Pendidikan UMNO” yang diketuai oleh seorang “intelektual Melayu yang bertaraf dunia agaknya” dan kini menjadi seorang TNC sebuah universiti awam itu, dan baru-baru ini dilaporkan dalam akhbar-akhbar perdana 7 September 2003 Y.A.B. Perdana Menteri kita sendiri bereya-eya membuta-tulikan rakyat awam seperti dengan katanya “bukankah lebih baik lagi jika kita belajar ilmu (Sains dan Matematik) dalam bahasa asalnya (Inggeris)” , “jika kita terus menterjemah, berfikir dalam dua bahasa, maka kita akan dapati kemampuan kita untuk menyerap ilmu kurang sedikit” (Pelajar sekolah kita yang manakah selama ini yang pernah belajar sains dan matematik sekolahnya dengan cara ini?), “mempelajari (Sains dan Matematik) dalam bahasa Inggeris juga mengurangkan banyak kekeliruan… contohnya ‘potassium’ yang diterjemah ‘kalium’ dalam bahasa Melayu” (Lupakah atau Tak tahukah istilah ‘kalium’ itulah istilah antarabangsa yang mesti diketahui oleh pelajar sains semua bangsa!), “peningkatan pencapaian pelajar itu (dalam Sains dan Matematik) tidak menghairan kerana melalui penggunaan bahasa Inggeris, mereka dapat memberi tumpuan yang lebih kepada pengetahuan dan tidak terganggu dengan masalah untuk menterjemahkan bahasa….(Pelajar Melayu mana selama ini yang buat begini dalam dunia persekolahannya?). Tetapi jika kita menggunakan hanya satu bahasa iaitu bahasa Inggeris dan maklumlah sains pula bukannya mata pelajaran Melayu (Orang yang berpengetahuan mana dalam dunia ini yang sanggup berkata begini terutamanya untuk sains dan matematik peringkat sekolah?), saya tidak terkejut yang pencapaian para penuntut ini menjadi lebih baik”. [Italik itu soalan pengarang ini dan huraiannya dibuat berasingan.]

9.2. Lihat sahaja Negara Ketiga yang telah pun memilih bahasa Inggeris, atau bahasa-bahasa penjajahnya yang tersendiri (Perancis, Pertugis, Sepanyol dan sebagainya) sejak negara-negara ini merdeka lagi, sebahagian besarnya di sekitar tahun kita mendapat kemerdekaan juga, tetapi kita memilih bahasa kita sendiri sebagai bahasa pendidikan sekurang-kurangnya sehingga 2003 ini. Lihat sahaja indeks kemajuan negara anggota ASEAN: selain daripada Singapura, korelasi kemajuannya dengan bahasa pengantar pendidikan begitu jelas. Apakah kelebihannya sains dan teknologinya berbanding dengan kita atau negara-negara ketiga yang lain yang memilih bahasanya sendiri sebagai bahasa pendidikan bangsanya? Lihat juga pelbagai indeks kemajuan negara-negara itu: selain daripada Singapura, korelasi kemajuannya dengan bahasa pengantar pendidikan begitu jelas. Kita juga tidak harus lupa, kedudukan kita dalam indeks-indeks kemajuan itu, yang agak membanggakan kita, disebabkan oleh sistem pendidikan kebangsaan kita yang bertentangan dengan dasar pendidikan S & M kita mulai 2003 itu. 

9.3. Lihat pula negara-negara yang mencapai kemajuan yang luar biasa yang diberi jolokan Negara Industri Baru (NIB), Negara Harimau, dan Negara Naga itu. Bukankah hanya sebuah negara sahaja yang bahasa pengantar S & M dalam sistem pendidikannya dalam bahasa Inggeris, dan yang lainnya semuanya dalam bahasa sendiri?

9.4. Lihatlah juga kajian Amritya Sen seorang pemenang Hadiah Nobel ekonomi 1999 yang memberi analisis dalam bukunya “Freedom as Development” (Kebebasan sebagai Pembangunan) 2002, betapanya dasar ekonomi yang sama diamalkan di India dan di China pada tahun 1980 dahulu tetapi China lebih berjaya daripada India. Beliau berpendapat hal ini berlaku kerana sistem pendidikan elitis di India (bahasa pengantar Inggeris, sekurang-kurangnya pendidikan pasca-sekolahnya) tidak memungkinkan ramai penduduk India mencapai tahap pendidikan yang sepatutnya bagi menjayakan program pembaharuan itu dan sebaliknya berlaku di negeri China. Beliau juga memberi data-data yang meyakinkan betapanya pelbagai tahap jenis kebebasan yang dijadikan sebagai kayu ukur pembangunan itu bergantung kepada sistem pendidikan yang merata, dan kemerataan pendidikan ini jelas diwarnai oleh bahasa pengantar- nya. 

10. Cara termudah dan terbaik untuk mendapat ilmu ialah dengan membaca dan memahami ilmu tersebut dalam bahasa asalnya, iaitu bahasa Inggeris. 

10.1. Katalah benar bahasa asal maklumat/ilmu ialah bahasa Inggeris. Isu membaca dan memahami S & M dalam bahasa Inggeris memang mudah dicakap sahaja. Sebelum mencapai tahap memahami ilmu itulah yang menjadi masalahnya, iaitu sejauh mana meratanya rakyat kita boleh mencapai tahap itu jika ilmu itu diajar dalam bahasa Inggeris ? Adakah orang Melayu akan lebih ramai mencapai tahap memahami ilmu jika mereka diajar dalam bahasa Inggeris daripada dalam bahasanya sendiri? Ini isu yang sudah dikupas di atas.

10.2. Andaian bahawa bahasa asal ilmu ialah bahasa Inggeris adalah andaian yang palsu yang datang dari jiwa-jiwa hamba yang tersekap mindanya dan yang jahil sejarah S & M. Bahasa asal ilmu S & M sekolah ialah bahasa Yunani, Arab, Latin dan Perancis. Inggeris pun belajar S & M dalam bahasa Arab, Latin dan Perancis hingga pertengahan abad ke-18 Di sekolahnya hanya mulai 1870). S & M peringkat universiti sedikit sahaja asalnya dalam bahasa Inggeris. Ambil sahaja asas-asas penting dan asasi fizik universiti: fizik klasik asalnya hampir semuanya dalam bahasa Latin, Perancis atau Jerman. Satu daripada unsur fizik klasik yang besar ialah fizik Newton, sempena nama ahli sains agung Inggeris, itupun asalnya dalam bahasa Latin. Unsur fizik klasik yang asalnya dalam bahasa Inggeris hanyalah fizik elektromagnet klasik kerana jaguhnya Maxwell memang Inggeris yang berkarya dalam bahasa Inggeris kerana sudah abad ke-19. Fizik moden yang terdiri daripada teori kenisbian, dan teori kuantum semuanya berasal daripada bahasa Perancis atau Jerman.  Tokoh yang diagungkan abad ke-20, Einstein, berkarya besarnya hanya dalam bahasa Jerman. Teori-teori besar dalam matematik seperti teori set, teori fungsi, analisis, analisis fungsian, teori pengoperasi, topologi, homotopi, dan topologi, semuanya bukan ciptaan/binaan/karya dalam bahasa Inggeris tetapi Perancis, Jerman, Rusia, Belanda dan Poland. Sebenarnya ilmu S & M sehingga peringkat universiti yang kita cuba kuasai itu semuanya ilmu terjemahan kepada bahasa Inggeris sahaja!

11. Bukti al-Quran terhadap hukum pembangunan ilmu dalam bahasa sendiri

Tiada bangsa atau negara yang mencapai tahap maju dalam bahasa asing seperti yang dihuraikan sebelum ini. Hukum pembangunan atau pemajuan ini sebenarnya juga terkandung dalam al-Quran seperti dalam Surah Ibrahim, Ayat 4, dan Surah Ali ‘Imran, Ayat 164 yang bermaksud “Allah tidak mengutuskan seorang rasul pun melainkan daripada kalangan bangsanya sendiri agar mereka mudah memahami pengajaran ilmu (al-Kitab dan hikmah)”. Oleh itu dasar menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di sekolah dan di pasca-sekolah adalah satu-satunya dasar dan wawasan negara Malaysia yang wajar dipertahan dan diteruskan jika benar-benar kita mahu menjadi bangsa yang maju yang boleh bersaing dengan negara-negara yang sedia maju kini. Jika tidak paling-paling baiknya bangsa kita hanya menjadi karikatur daripada karikatur, komprador atau kreol sahaja!

12. Perbukuan

Tahap perindustrian buku dalam bahasa sendiri memang patut dijadiklan indeks negara maju yang perlu dikejar untuk menyaami nilainya dengan Negara-negara maju. Dalam arena perbukuan dalam bahasa Melayu, pencapaian kita memanglah tidak memuaskan, iaitu sehingga 1995 hanya ada 1073 buah buku SAKTI peringkat universiti, iaitu kira-kira 80 buah setahun sahaja. Tetapi ini tidak seharusnya menjadikan kita mengalah terus atau menjadikan dalih untuk meninggalkan dasar pendidikan aliran Melayu, seperti yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Lagi sekali negara-negara maju di Eropah patut dijadikan teladan kita bagaimana industri perbukuan dalam bahasa mereka dan apakah langkah-langkah yang kita belum ambil sehingga kita masih terkebelakang daripada mereka. Yang jelasnya dasar industri perbukuan dalam bahasa Melayu kita amat lemah dan perlu diperbaiki segera tetapi memerlukan iltizam dan kudrat politik yang kental. Yang jelasnya pendidikan SAKTI dalam bahas Inggeris nanti tidak akan memperbaiki industri perbukuan kita, malah akan memerosotkan lagi kerana kita akan lebih rakus dan selesa menyanjung karya dari luar negara sahaja, menjadi pengguna setia tanpa soal sahaja. Inilah yang terbuktinya pada zaman Universiti Malaya dikatakan berada pada “zaman gemilang”-nya dalam bahasa Inggeris dahulu! Khazanah ilmu ciptaan para srjana kita dalam tempoh 30 tahun universiti tersebut bergaya dalam bahasa ingrisnya tidak mengahsilkan rakaman ilmunya dalam bahasa inggeris sekalipun kerana mereka sudah berpuas hati dan mengangumi ilmu dalam bahasa Inggeris dengan penuh inferioir sahaja.

13. Beberapa jawaban balas yang khusus

13.1. Kajian terperinci dan mendalam telah dibuat tentang dasar bahasa pengantar S & M sekolah

Jawatankuas Khas mengkaji dasar bahasa dalam pendidikan S & M dikatakan ditubuhkan pada tahun 2002 sahaja. Jadi paling lama pun setahun sahaja kajiannya. Kajian terperinci bagaimana yang dapat dibuat dalam masa yang singkat itu oleh ahli-ahli yang bukan sepenuh masanya pula. Kononnya pandangan dari Persatuan Pengetua Kebangsaan Melaysia Majlis guru-guru Besar Malaysia, ahli akademik, tokoh pendidik, kesatuan guru-guru, tokoh-tokoh utama dalam S & M serta guru sekolah rendah dan sekolah menengah sebulat suara menyokong dasar ini. Memanglah sebahagian daripada kumpulan-kumpulan yang disebut itu yang dikaitkan dengan guru dan keguruan itu akan menyokong apa sahaja yang kerajaan hendak lakukan! Tokoh-tokoh utama dalam S & M itu pun tidak jelas siapa yang dimaksudkan itu? Dari mereka yang “terpilih” dari IPT yang memang selama ini sentiasa menyokong apa sahaja dasar kerjaan,  dari Akademi Sains Malaysia yang presidennya dilantik oleh Yang Dipertuan Agung, atau dari pemimpin-pemimpin persatuan bidang S & M atau SAKTI yang memang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang sintimen kepada bahasa Inggeris amat mendalam? Kenapa ahli-ahli SAKTI dari UKM umpamanya tidak dipohon pandangan sekurang-kurangnya bagi mengimbangi pandangan dari kumpulan-kumpulan yang tersebut di atas itu? Sebenarnya jika UKM menjadi panduan, lebih daripada 70% profesor SAKTI di IPT tidak bersetuju dengan dasar kerajaan tentang bahasa pengantar S & M ini.

Kajian di beberapa buah negara kononnya membuktikan pelajar dwibahasa berpencapaian akademik yang lebih baik daripada pelajar ekabahasa. Kajian sebegini yang terkenalnya ialah di Kanada sahaja iaitu di kalangan pelajar berbahasa ibunda Perancis yang dihantar ke sekolah aliran Inggeris. Kajian di negara-negara lain termasuk di Hongkong, Nigeria, dan Belanda menunjukkan sebaliknya! Walau apapun kajian-kajian ini melucukan sahaja kerana ternyatakan orang Amerika Syarikat, Great Britain, Perancis, Jepun dan sebagai tidak menjalankan dasar dwibahasa ini. Kajian yang dibuat di Singapura beberapa tahun dahulu pun membuktikan bahawa dasar pelajar berbahasa ibunda China yang dipaksa belajar dalam aliran Inggeris itu tidak berjaya seperti yang diharap-harapkan, iaitu hanya sekitar 30% sahaja yang cemerlang, sedangkan pelajar sekolah China kita di Malaysia sekitar 60% cemerlang. Ekoran daripada itu Singapura menghidupkan kembali beberapa buah sekolah aliran China dahulu yang telah ditukar kepada aliran Inggeris puluhan tahun kembali kepada aliran China, kerana katanya adalah salah mengandaikan kebanyakan rakyat Singapura boleh cemerlang menerusi bahasa Inggeris sahaja!  Isu seseorang mudah menguasai sebarang bahasa pada masa kanak-kanak berbanding dengan masa yang lebih tua usianya memang tidak perlu dibuat penyelidikan lagi. Tetapi bahasa amat berbeza dengan isu belajar ilmu dalam sesuatu bahasa lain, khususnya menerus bahasa Inggeris. Fakta bahawa pelajar dalam aliran bahasa bukan Inggeris boleh mengatasi pelajar dalam aliran Inggeris (orang Ingeris sendiri pun) sudah menjadi kebiasaan sahaja menerusi pertandingan demi pertandingan yang disebut sebelum ini. 

13.2. Pengangguran

Jika kita tidak mahu mengikuti model negara maju Jepun, pandanglah Eropah! Pengangguran siswazah di Malaysia sebenarnya lebih merupakan indeks keadaan ekonomi semasa sahaja dan indeks taburan pemilikan perusahaan mengikut kaum, bukannya indeks tahap kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sebesar seperti yang digembar-gemburkan itu. Bukankah sebelum Malaysia dilanda kemelesetan ekonomi siswazah aliran Melayu (bidang SAKTI) tetap memperoleh pekerjaan, dan bukankah siswazah di India dan di Filipina yang beraliran Inggeris itu juga tidak mendapat pekerjaan di negara masing-masing? Bukankah orang berbahasa ibunda Inggeris di United Kingdom, Amerika Syarikat. Australia dan New Zealand juga ramai yang menganggur!

13.3. Pemecah-belah bangsa

Pendidikan dalam bahasa Melayu gagal menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum kerana sekolah Kebangsaan menjadi sekolah untuk orang-orang Melayu dan beragama Islam sahaja sehingga ibu-bapa Cina dan India tidak lagi berminat menghantar anaknya ke Sekolah Kebangsaan (data menunjukkan lebih daripada 90% kanak-kanak Cina bersekolah Rendah di aliran Cina, dan sekitar 55% kanak-kanak India bersekolah di aliran Tamil). Malah orang Melayu sendiri semakin ramai berpindah ke “sekolah aliran agama” (% tidak diketahui).

Gambaran bahawa kononnya pendidikan dalam bahasa Melayu selama ini tidak berjaya kerana Cina tidak mahu belajar di sekolah aliran Melayu dan orang Melayu sendiri semakin lari daripada sekolah Melayu itu adalah suatu yang tidak tepat sama sekali. Sebenarnya, hanya segelintir yang kecil sahaja pelajar aliran Cina ini meneruskan pengajiannya dalam aliran Cina di peringkat sekolah menengah. Lebih daripada 80% menukar aliran ke Sekolah Kebangsaan (aliran Melayu) apabila mereka memasuki Sekolah Menengah walaupun mereka ini terus, dan memang wajar, mengambil bahasanya sebagai satu daripada mata pelajarannya. Aliran Melayu tidak gagal! Kepopularan Sekolah Agama pula tidak bermakna aliran Melayu gagal,  kerana sekolah itu juga aliran Melayu! Ini hanya menunjukkan kekurangan sekolah Kebangsaan dalam mata pelajaran Agama dan bahasa Arab sahaja.  Betapa sekolah aliran Melayu menarik perhatian ibu-bapa India sehingga hampir 50% ibu-bapa India menghantar anaknya ke Sekolah Rendah aliran Melayu tidak pula ditonjolkan.

13.4. Isu terjemahan

Bidang SAKTI kini berkembang dengan pantasnya (setiap hari ada penemuan baru, dan ratusan penerbitan makalah dan buku baru yang semuanya dalam bahasa Inggeris). Maklumat apa pun menerusi teknologi maklumat (TM) yang begitu banyak dan pantas hampir semuanya dalam bahasa Inggeris. Pemindahan maklumat/ilmu ini menerusi bahasa Melayu (terjemahan dan sebagainya) mustahil dapat dilakukan. Oleh kita tiada jalan lain lagi mengejar untuk mengetahuinya/mengusainya kecuali menerusi bahasa Inggeris sahaja.

Negara maju sekarang pun masih membuat terjemahan kerana ilmu dalam bahasa-bahasa lain sentiasa muncul dengan hebatnya. Ilmu dalam bahasa Inggeris itu bukan asalnya dalam bahasa itu kerana sekurang-kurangnya sehingga awal abad ke-20 ilmu yang pemimpin kita kata asalnya dalam bahasa Inggeris itu adalah hasil terjemahan sarjananya daripada terutamanya bahasa Arab, Latin, Perancis dan Jerman, walaupun banyak juga daripada bahasa Belanda, Italia, Rusia dan Jepun.

Masalah yang lebih asasinya, sehingga kini kita tidak pernah tahu/percaya kepada terjemahan yang berlaku di negara-negara yang maju itu termasuk terjemahan ilmu kepada bahasa Inggeris itu. Mereka melalui zaman terjemahan yang hebat, seperti Pusat terjemahan Toledo di Eropah pada Zaman Pertengahannya dan Bait al-Hikmat pada Zaman Tamadun Islam. Kita baru sahaj menubuhkan Institut Terjemahan Negara padatahun 1996, dan belum sempat menjalankan misinya, kita menukar dasar bahasa kita! Bagaimana boleh kita kata kita telah gagal dalam penterjemahan. Terjemahan memang dilakukan secara pilihan sahaja, dan ini yang perlu dilakukan. Pelajar kita dalam aliran Melayu selama ini pun memang boleh membaca karya dalam bahasa Inggeris, jadi tidak timbul mereka ketinggalan maklumat dan sebagainya.

13.5. Komunikasi dalam bahasa Inggeris.

Pendidikan dalam bahasa Melayu menjadikan lulusannya tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, terutamanya Melayu, dan oleh itu mereka ini menjadi monyok (tanpa keyakinan diri dan sebagainya) sehingga mereka ini tidak dapat/layak bekerja di sektor swasta (Sumber kerajaan menyatakan 90% siswazah yang menganggur itu terdiri daripada siswazah Melayu).  Isu komukasi dalam bahasa Inggeris timbul di negara kita kerana sikap kita tidak mahu menghayati bahasa sendiri sahaja. Benar kita perlu pekerja kita berkomunikasi dengan pihak luar tetapi itupun tidak semestinya dalam bahasa Inggeris sahaja, kadangkala dalam bahasa lain lagi lebih baik lagi (China atau Arab, hingga Rusia pun) tetapi bukannya sepanjang masa dan bukan semua orang. Memadangkan pekerjaan dengan kemahiran bahasa Inggeris sahaja adalah satu dalih semasa sahaja untuk menutup sebab lain yang lebih asasi tetapi sukar diketengahkan seperti keadaan ekonomi dan polarisasi kaum dalam sektor pekerjaan.

13.6. Kecemerlangan pendidikan Melayu

Pendidikan aliran Melayu tidak juga meningkat pencapaian akademik pelajar Melayu sebagaimana yang dibuktikan setiap tahun dalam pencapaian setiap peperiksaan penting di sekolah (UPSR, PMR dan SPM)  dan di IPT. (Yang mendapat 8A SPM umpamanya sekitar 1 Melayu dengan 9 bukan Melayu dan pencapaian Sarjana Muda Kepujian Kelas I dalam SAKTI sekitar 1 Melayu 19 bukan Melayu!). Malah pendidikan dalam aliran Melayu menjadikan Melayu semakin lemah kerana mereka semakin tidak menghiraukan bahasa Inggeris, bahasa yang menjadi kunci kepada kecemerlangan akademiknya dan lain-lain lagi.

Lupakah kita kepada tahap pencapaian Melayu dalam sains dan matematik pada zaman tiada aliran Melayu dahulu? Lagipun pencapaian Melayu dalam SAKTI jika diambil kira yang belajar di seberang laut jauh lebih baik drp angka yang tersebut di atas walaupun masih terkebalakng daripada kaum China. Pencapaian kelas pertama pelajar Melayu di universiti tempatan kita melonjak naik sejak dua tahun yang lepas ekoran ramai pelajar cemerlang Melayu tidak dapat belajar di seberang laut kerana kemelesetan ekonomi dahulu. Ini menunjukkan dakwaan Melayu tidak bagus-bagus dalam SAKTI walaupun diajar dalam bahasanya sendiri tidak tepaqt sama sekali. Rasmai ahli sains dan teknologi kita (termasuk Melayu) yang menang anugerah rekacipta tahunan di Geneva setiap tahun itu terdiri daripada mereka yang terdidik dalam aliran Melayu. Begitu juga ramainya pelajar Malaysia (termasuk Melayu juga) yang mendapat anugerah pelajar terbaik atau penulis tesis terbaik dalam SAKTI, hamper semuanya pelajar aliran Melayu. Data apa yang mereka pakai bagi menidakkan kejayaan Melayu dalam pendidikan SAKTI menerusi aliran Melayu? Buat selama 30 tahun universiti kita bergaya dengan taraf dunia kerna berbahasa inggeris itu, kita tidak pernah mendengar atau menyaksikan berita seperti ini!

13.7. Kecelaruan fikiran antara keperluan berbahasa Inggeris dengan keperluan ilmu

Ramailah pihak yang berpendapat kita tidak mahu rakyat kita tidak mahir dalam bahasa Inggeris, bahasa antarabangsa kini, kerana ini menyusahkan semua pihak. Umpamanya kita terpaksa menggunakan penterjemah/juru bahasa yang tentunya tidak secekap yang kita mahu dan kadang-kadang tidak tepat fahamannya. Contoh-contoh sebegini cukup banyak berlaku apabila kita ke negara yang bahasa Inggeris tidak digunakan dengan meluasnya seperti Cina, Jepun dan Korea. Semua urusan antarabangsa kini dalam bahasa Inggeris termasuklah antara sesama Islam (dengan negara-negara Timur Tengah) dan malah dengan rumpun kita sendiri Indonesia. Sebab itu kini semua negara menekankan kepada bahasa Inggeris, termasuklah negara-negara yang terkenal dengan semangat kebangsaannya seperti Jepun, China, Indonesia dan Perancis.

Nada ketaksuban kita terhadap bahasa Inggeris seperti dia atas itu memang susah dihakis. Orang inggeris sendiri semakin berubah pendiriannya bahawa mereka tidak lagi seharusnya bergantung pada bahasanya sahaja apabila berkomunikasi kerana semua orang kini tahu bahasa Inggeris. Kita perlu akui perlunya segolongan kita tahu berbahasa Inggeris dengan baiknya, tetapi kita juga perlu menekankan perlu sebahagaian daripada rakyat kita tahu berbahasa-bahasa besar yang lain dengan baiknya. Malah untuk menjadi jurujual atau diplomat di sesebuah Negara, kita perlu memastikan mereka itu fasih berbahasa tempatan di samping bahasa Inggeris. Memang benarlah semua bangsa di dunia kini mengakui kepentingan berbahasa Inggeris termasuk Negara-negara yang tersebut di atas itu, tetapi negara-negara itu juga pastinya tidak akan terfikir seperti kita sehingga mahu mengInggeriskan sistem pendidikannya!  Kita sahaja yang bercelaru dengan isu bahasa dan ilmu.

Mereka memetik hadith yang mengatakan “sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum, ia akan terselamat dari tipu helahnya” untuk mengeyakan dasar bahasa Inggeris dalam pendidikan S & M, sedangkan hadith ini bermaksud apa jua bahasa untuk komunikasi bukan untuk menjadikan sebagai bahasa ilmu. Sepatutnya hadith ini digunakan untuk memperkuatkan umat Melayu mempelajari bahasa China dan India kerana dua bahasa kaum ini berada di halaman kita sejak beribu tahun dahulu tetapi umat Melayu amat sedikit menguasainya sehingga mereka selalu tertipi oleh kaum-kaum ini, dan sejak bidang pengajian China dan India di UM ditubuhkan pengkhususannya! Seluruh dunia merasa hairan dengan sikap kita terhadap dua bahasa ini.

13.8. Jepun gagal menjadi juara dunia dalam TM kerana bahasa Inggerisnya lemah?

Ada pihak yang mendakwa Jepun gagal menguasai TM dunia kerana rendahnya pencapaian bahasa inggeris sehingga ada hanya 500 orang Jepun bekerja di sektor TM di luar Jepun sedangkan India ada 30 ribu pekerja TM di luar India, dan tidak ramai bakat-bakat asing yang mahu ke Jepun. Apa buktinya Jepun g

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025