Artikel

Banyak kedai buku di Mekah

oleh Helmi pada 18 Apr 2006

oleh: Zawiyah Baba

SEMASA berada di Mekah untuk menyempurnakan fardu haji pada Januari lalu saya terlihat banyak buku-buku mengenai riwayat hidup Nabi Muhammmad s.a.w. Kebanyakannya dalam bahasa Arab. Ada judul-judul tertentu yang diterjemahkan kedalam bahasa Inggeris, Perancis, dan Sepanyol dan satu dua judul dalam bahasa Melayu atau Indonesia. Di Mekah terdapat banyak kedai buku di merata tempat.

Di arked membeli-belah Makkah Hilton sahaja terdapat lebih 10 buah kedai buku yang menjual bermacam jenis al-Quran, terjemahan al-Quran dan hadis dan lain-lain aspek mengenai Islam dalam bahasa-bahasa yang disebutkan tadi dan dalam berbagai bentuk.

Selain dari buku terdapat al-Quran dan terjemahannya dalam bentuk pita dan cakera padat video (VCD).

Oleh itu, bahan-bahan bacaan memang sedia ada dan boleh didapati dengan mudah dan dengan harga yang berpatutan.

Salah satu biografi mengenai Rasulullah yang dijumpai dalam bahasa Inggeris berjudul The Sealed Nectar: Biography of the Noble Prophet yang telah memenangi hadiah pertama dalam pertandingan menulis biografi Rasulullah yang dianjurkan oleh Liga Muslim Sedunia di Madinah pada tahun 1979.

Buku ini diterbitkan dalam bahasa Arab dan kemudian diterjemah kedalam bahasa Inggeris supaya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat yang lebih luas. Edisi bahasa Inggeris telah dikaji semula dan diterbitkan pada tahun 2002.

Buku ini mengandungi 588 muka surat kesemuanya, 490 muka surat dari bilangan ini khusus mengenai riwayat hidup Rasulullah s.a.w.

Bibliografi atau bahan-bahan rujukan untuk buku ini disenaraikan dibahagian akhir buku ini. Kesemua bahan rujukan yang disenaraikan adalah dalam bahasa Arab atau Urdu. Sebahagian dari bahan yang di rujuk merupakan dokumen lama dari kurun ke-3 Hijrah. Sayang sekali buku ini tidak disediakan dengan indeks untuk memudahkan rujukan kepada aspek terperinci dalam kandungan buku ini.

Peta yang menunjukkan lokasi tempat-tempat yang dirujuk dalam kisah hidup Rasulullah juga akan menambah nilai buku ini jika disediakan.

Biografi ini didahului dengan maklumat penting mengenai orang-orang Arab pada zaman Rasulullah s.a.w, supaya memudahkan pembaca memahami jalan cerita dan konteks peristiwa yang diceritakan. Maklumat pendahuluan ini termasuk lokasi dan sifat suku-suku kaum Arab, pemerintahan dan pentadbiran dikalangan kaum Arab, agama orang-orang Arab pada zaman itu, masyarakat, keadaan ekonomi dan etika orang-orang Arab dan keturunan serta keluarga Rasulullah s.a.w. Maklumat tambahan ini juga terdapat diakhir buku, seperti epilog, mengenai rumah tangga Rasullallah, paras rupa dan keadaan fizikal, serta keperibadian dan tingkah laku Baginda.

Riwayat hidup Rasulullah s.a.w diceritakan mengikut kronologi atau masa bermula dari kelahiran dan berakhir dengan kembalinya Baginda ke rahmatullah. Baginda dihuraikan dengan begitu terperinci dengan nama-nama, perwatakan, sikap pakaian dan tindakan orang-orang dikeliling baginda dan pertuturan mereka. Riwayat Rasulullah s.a.w sehingga Baginda berumur 40 tahun di ceritakan dalam bab pertama, iaitu sehingga Baginda berkahwin dengan Siti Khadijah dan pembinaan semula Kaabah. Setelah Rasulullah s.a.w mendapat wahyu daripada Allah s.w.t., kisah hidup Rasulullah diceritakan baba demi bab dengan teratur.

Selain dari buku di atas saya juga telah berpeluang membaca dua lagi biografi mengenai Rasulullah seperti berikut dan mengesyorkan buku-buku ini juga dibaca :-

1. Shawqi Abu Khalil. Atlas on the Prophets Biography: Places, Nations, Landmarks. Riyadh:Darussalam, 2004.

2. Lings, Martin. Muhammad: his life based on the earliest sources. Rochester, Vermont: Inner Traditions International,1983.

Biografi ringkas Rasulullah juga termasuk dalam buku berikut dimana Rasulullah diiktiraf sebagai orang yang paling berpengaruh didunia, iaitu nombor 1 dari 100. Premis atau sebab-sebab pemilihan yang diterangkan oleh penulis juga amat menarik dibaca :-

Hart, Michael H. The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History. Petaling Jaya: Golden Books Centre Sdn. Bhd. by arrangement with Citadel Press, New Jersey/Meera Publication, Madras, 2003.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025