Artikel
Baucar Buku MADANI: Peluang Mahasiswa Membina Ilmu, Menyokong Industri Buku
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 10 Aug 2026
Bagi mahasiswa, RM100 mungkin kelihatan seperti jumlah yang sederhana. Namun, apabila nilai tersebut digunakan untuk mendapatkan buku, manfaatnya tidak terhenti kepada pembaca sahaja. Sebaliknya, setiap pembelian buku turut menggerakkan satu rantaian ekonomi yang lebih besar — daripada penerbit, penulis, editor dan pereka bentuk, sehinggalah kepada pencetak, pengedar serta kedai buku yang menjadi sebahagian daripada ekosistem perbukuan negara.
Antara alasan yang sering dikaitkan dengan pembelian buku ialah kos. Bagi mahasiswa yang perlu menguruskan pelbagai perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian, membeli bahan bacaan tambahan mungkin tidak sentiasa berada pada kedudukan teratas dalam senarai keperluan. Di sinilah Baucar Buku MADANI memainkan peranan.
Dengan adanya peruntukan RM100, mahasiswa boleh mendapatkan buku yang diperlukan tanpa perlu menanggung keseluruhan kos daripada wang sendiri. Lebih penting, bantuan ini memberikan peluang kepada mahasiswa untuk meneroka bahan bacaan yang mungkin sebelum ini hanya berada dalam senarai “menunggu” sahaja.
Atas dasar itu, Baucar Buku MADANI 2026 bukan sekadar bantuan untuk meringankan kos pembelian bahan bacaan, tetapi juga merupakan satu bentuk pelaburan kerajaan dalam membina masyarakat berilmu dan pada masa yang sama menyokong kelangsungan industri buku tempatan.
Seramai 1.18 juta pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) warganegara Malaysia menerima Baucar Buku MADANI bernilai RM100 untuk tahun 2026. Inisiatif ini meliputi pelajar di Universiti Awam, politeknik, kolej komuniti serta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Penebusan bagi mahasiswa dibuka mulai 15 Julai 2026 menerusi MySiswaPlace, sebuah platform digital sehenti yang dikendalikan oleh Yayasan Perkasa Siswa (YPS). Melalui platform ini, mahasiswa boleh menyemak kelayakan, menjana dan menebus baucar serta membuat pembelian bahan bacaan secara dalam talian.
Lebih menarik, MySiswaPlace menghimpunkan lebih 300 rakan niaga berdaftar, termasuk penerbit dan penjual buku tempatan. Pilihan yang tersedia pula bukan terhad kepada buku akademik semata-mata, sebaliknya merangkumi buku rujukan, bahan ilmiah, e-buku dan pelbagai penerbitan umum. Dengan kata lain, mahasiswa mempunyai ruang yang luas untuk menentukan sendiri bahan bacaan yang ingin dimiliki berdasarkan keperluan, minat dan bidang masing-masing.
Bayangkan seorang mahasiswa menggunakan RM100 untuk membeli beberapa buah buku. Namun di sisi yang lain, pembelian tersebut turut memberi nilai kepada penulis yang menghasilkan karya, editor yang menyunting naskhah, pereka yang menghasilkan kulit buku, pencetak yang mencetaknya, penerbit yang menguruskan penerbitan serta pengedar dan penjual buku yang memastikan naskhah tersebut sampai kepada pembaca. Inilah yang menjadikan industri buku sebuah ekosistem yang saling berkait.
Apabila permintaan terhadap buku terus wujud, penerbit mempunyai ruang untuk menerbitkan lebih banyak judul. Penulis pula mempunyai lebih banyak peluang untuk menghasilkan karya baharu. Kedai buku dan penjual bahan bacaan juga terus mempunyai pasaran untuk beroperasi. Malah, KPT sendiri menyatakan bahawa penerusan Baucar Buku MADANI bukan sahaja bertujuan membantu mahasiswa mendapatkan bahan bacaan, tetapi turut merangsang pertumbuhan industri perbukuan negara, memperkukuh ekosistem penerbitan tempatan dan menyokong kelestarian industri ilmu.
Inilah perkara yang mungkin tidak selalu dilihat apabila kita menerima sebuah baucar. Nilai RM100 itu tidak berhenti apabila sebuah buku sampai ke tangan pembaca. Ia bergerak melalui rantaian industri dan membantu memastikan ekosistem penerbitan terus mempunyai permintaan.
Semakin ramai pembaca membeli buku, semakin kukuh permintaan terhadap bahan bacaan. Semakin kukuh permintaan, semakin banyak ruang untuk penerbit menghasilkan karya baharu. Dan semakin banyak karya diterbitkan, semakin banyak pilihan bahan bacaan yang dapat dinikmati oleh masyarakat. Jadi, apabila seorang mahasiswa menggunakan Baucar Buku MADANI untuk membeli buku, ia sebenarnya merupakan satu bentuk sokongan kecil kepada ekosistem yang lebih besar.
Kerajaan telah memperuntukkan inisiatif ini untuk membantu mahasiswa dan memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan bahawa soal buku dan pendidikan perlu terus diberikan keutamaan walaupun negara berhadapan cabaran kewangan. Maka, peluang ini wajar dilihat lebih daripada sekadar “duit untuk beli buku”, pada masa yang sama, peluang untuk mahasiswa menambah ilmu dan menjadi sebahagian daripada usaha menggerakkan industri buku tempatan.

