Artikel

Belajar Perkara Hukum-hakam dalam Perubatan Islam: Q & A Fiqh Perubatan

oleh Noor Hidaya Arshad pada 04 Feb 2015

“Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku.” (As-Syu’ara:80) Ungkapan Nabi Ibrahim a.s yang diabadikan dalam Al-Quran ini menjadi bukti ketinggian iman baginda yang meyakini kekuasaan Allah s.w.t.

 Rasulullah s.a.w juga bersabda, “Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ubat itu sesuai dengan penyakit, ia sembuh dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim & Ahmad)

Fiqh perubatan merujuk kepada skop permasalahan dan perbahasan, khususnya hukum-hukum yang berkaitan dengan bidang perubatan, menurut Al-Quran dan As-Sunnah.

Perbincangan fiqh perubatan kini bukan lagi menjadi topik perbualan para pengamal perubatan sahaja, tetapi melibatkan segenap masyarakat.

Penjelasan sesuatu permasalahan kesihatan di dalam buku ini boleh dikatakan terbaik kerana ia disampaikan dengan begitu terperinci. Kita akan mendapat gambaran jelas tentang sesuatu perkara berkaitan kesihatan melalui huraian pengenalan, halal haram sesuatu ubat, status sah ibadah, kaedah pengendalian mengikut syariah, dan isu-isu lain perubatan.

Dengan adanya pembahagian hukum-hukum perubatan ini, maka seseorang dapat memastikan status ibadahnya berada di landasan yang betul. Kita juga akan lebih yakin dengan setiap jawapan diberikan kerana ia diperkukuhkan dengan nas-nas hadith sahih.

Karya hasil garapan Dr. Mohamad Rafiqi ini sesuai dijadikan bahan rujukan buat pengamal perubatan, pelajar bidang perubatan dan juga masyarakat umum.

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024