Nikmati Kompilasi Kisah-kisah Manis yang Mencuit Hati: Pilo Toq

oleh Amirah pada 02 Feb 2015

pilo_toq-blog

Cinta itu indah bukan? Ia lebih indah apabila cinta itu lahir daripada ikatan yang sah. Ramai beranggapan cinta itu mekar di awal perkahwinan sahaja.

Apabila sudah masuk fasa pertengahan, perasaan angau setiap malam dan rindu-rinduan sudah semakin berkurangan.

Pilo Toq bukan bahan bacaan biasa. Dalamnya merangkumi kisah hidup tiga pasang suami isteri yang diceritakan dalam bentuk cerita pendek. Kisah seharian dan kadang-kadang terdapat juga kisah yang berlaku tak sampai satu minit.

Tiada babak cinta romantis dua darjat ala novel, tiada babak merajuk lari ke Paris, dan tiada juga babak jatuh cinta pandang pertama. Namun uniknya nukilan biasa-biasa tiga penulis hebat ini, apabila dibaca, pasti satu senyuman akan terukir di bibir pembaca.

Sebagai permulaan, pembaca akan dihidangkan dengan kisah Azzam Supardi dengan Cikgu Ruby. Garapan yang sangat baik daripada penulis ini pasti akan membuat pembaca tersengih seorang, lagi-lagi apabila penulis seperti gemar saling mengusik dengan Cikgu Ruby.

Dalam setiap cerpennya, penulis juga seperti mahu memberitahu agar sentiasa bersikap positif dalam apa jua situasi rumah tangga.

Membaca kisah Bahruddin Bekri dan isterinya seperti membaca sebuah naskah drama. Kadang-kadang jantung berdegup kencang, kadang-kadang tersengih sampai ke telinga, kadang-kadang mengekek kerana lucu.

Penulis sendiri sudah awal-awal memberitahu kisahnya direncahkan dengan sedikit drama kerana drama dalam kehidupan tiada pisahnya. Menariknya, penulis tidak memberitahu nama isteri beliau sehinggalah ke hujung kisah beliau. Jeng…jeng…jeng…

Pembaca mungkin akan terkesan dengan kisah OP Zaharin dan Mulan kerana latar yang digunakan terasa dekat dengan realiti kehidupan zaman sekarang.

Lebih banyak adegan mencuit hati dalam kisah ini kerana penulis gemar bergaduh manja dengan isterinya. Sesi merajuk dan memujuk dalam coretan penulis ini juga mungkin boleh digunakan sebagai taktik oleh mereka yang sudah berkahwin.

Menutup helaian terakhir naskah ini pasti akan menimbulkan satu rasa kepuasan dalam diri. Kisah cinta sweet mereka ini boleh dijadikan satu inspirasi untuk segera bernikah bagi mereka yang masih bujang kerana indahnya percintaan suami dan isteri.

Bagi yang sudah berkahwin, janganlah jadikan naskhah ini sebagai alasan untuk menambah kuota andai tidak mahu dicakar manja oleh sang isteri tercinta.