Artikel

Benarkah al-Quran Mempunyai Tujuh Huruf atau Versi?

oleh Helmi pada 27 Aug 2004

Isu ‘tujuh huruf’ sering dijadikan modal oleh golongan tertentu terutamanya daripada kalangan tokoh-tokoh Kristian untuk menolak kesucian al-Quran. Mereka menuduh orang-orang Islam menokok tambah dan mengubah isi al-Quran sehingga melahirkan tujuh bentuk al-Quran yang kononnya berbeza-beza. Bagi mereka, keadaan ini serupa dengan agama Kristian yang mempunyai Bible yang berbeza-beza mengikut mazhab dan gereja masing-masing.

Contohnya, golongan Protestan berpegang dengan kitab Bible yang mempunyai 66 buku atau bab, 39 buku terkandung di dalam kitab Perjanjian Lama dan 27 buku lagi di dalam kitab Perjanjian Baru. Golongan Katolik berpegang dengan Bible yang sama ditambah dengan 7 buku tambahan yang dikenali sebagai Apocrypha. Golongan Kristian Ortodoks pula berpegang dengan Bible yang mempunyai 76 buku kesemuanya, 39 buku terdapat di dalam kitab Perjanjian Lama dan 27 buku di dalam kitab Perjanjian Baru di samping 10 buku tambahan.

Al-Quran sememangnya diturunkan dalam tujuh huruf kerana berpandukan riwayat Imam Tarmuzi, nabi bersabda: “Ya Jibrail, sesungguhnya aku diutus kepada umat yang umi. Ada dari kalangan mereka yang tua, kanak-kanak, hamba sahaya dan mereka yang tidak tahu membaca sama sekali. Jibrail berkata kepadaku, Wahai Muhammad, sesungguhnya Al-Quran diturunkan di dalam tujuh huruf.” Hadis ini bertaraf hasan sahih.

Di dalam kitab Al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi disebutkan, kebanyakan ulama antaranya Sufyan bin ‘Uyainah, Abdullah bin Wahab, At-Tabari dan At-Tahawi, berpendapat: “Tujuh huruf bermaksud tujuh pengertian yang hampir sama, walaupun lafaz-lafaznya atau cara bacaannya berbeza.”

Ia bermaksud, pada zaman nabi, baginda mengizinkan al-Quran dibaca dengan tujuh cara, mengambil kira kepelbagaian masyarakat ketika itu dan keizinan ini diberikan sendiri oleh nabi, bukan ulama atau orang-orang perseorangan.

Hal ini adalah berbeza dengan Bible kerana versi-versinya dibuat oleh manusia mengikut kehendak manusia dan bukannya datang daripada nabi Isa. Versi-versi Bible pula terus bertambah hingga hari ini mengikut kehendak tokoh-tokoh Kristian sedangkan keaslian al-Quran kekal tanpa sebarang perubahan. Justeru, beberapa kesimpulan dapat dibuat berhubung dengan isu ini.

1.Tujuh huruf bermaksud tujuh cara bacaan yang menggunakan kalimat berbeza di tempat-tempat yang ditetapkan di dalam al-Quran dengan mengambil kira kepelbagaian masyarakat Islam pada zaman nabi.

2.Penggunaan kalimat yang berbeza ini adalah berdasarkan wahyu, bukan mengikut kehendak manusia. Dalam erti kata lain, al-Quran tetap satu, cuma pada beberapa tempat yang ditetapkan, sebutan perkataannya berbeza atas kehendak Allah bagi memudahkan semua golongan membaca dan memahaminya.

Keadaan ini berbeza dengan Bible kerana isi Bible pada umumnya ditulis dan diolah oleh manusia mengikut kehendak manusia. Hal ini disebutkan di dalam kamus The Interpreter’s Dictionary of the Bible: “Banyak kisah yang diriwayatkan di dalam kitab Perjanjian Lama adalah mengikut stail dan olahan para periwayatnya.”

Kitab Perjanjian Baru juga menghadapi masalah yang sama. Sebagai contoh, Gospel yang merupakan kisah hidup nabi Isa, mempunyai pelbagai versi mengikut olahan penulisnya. Di dalam buku Peak’s Commentary on the Bible disebutkan, “Memang diketahui umum, Gospel adalah berasaskan cerita orang-orang Kristian terdahulu, dan ini melahirkan versi yang berbeza-beza berhubung perkataan dan perlakuan nabi Isa. Semua ini dilakukan dengan sengaja ataupun tidak sengaja oleh penulis-penulisnya…”

3.Walaupun al-Quran boleh dibaca dengan menggunakan sebutan dan perkataan yang berbeza-beza sebagaimana yang diajarkan nabi, namun maksud perkataan-perkataan itu hampir sama antara satu dengan yang lain. Justeru, prinsip-prinsip ajaran Islam tetap tidak berubah sedikit pun.

Apa yang jelas adalah, tujuh huruf al-Quran tidak ada perkaitan sama sekali dengan versi ciptaan manusia kerana tidak pernah berlaku sebarang tokok-tambah di dalam Al-Quran oleh manusia. Ini berbeza dengan Bible. Seorang tokoh Kristian yang bernama Profesor Daniel B. Wallace, pakar berhubung dengan kitab Perjanjian Baru dari Dallas Theological Seminary, pernah berkata: “Ke manakah hilangnya sesetengah ayat? Terjemahan moden membuang banyak ayat-ayat bernilai dari Bible. Mereka menamatkan bab 16 daripada Gospel Mark pada ayat kelapan, kemudian mereka membuang kisah malaikat yang mengocakkan air di kolam Bethesda dalam bab John ayat

4. Yang paling ketara ialah, mereka membuang kisah seorang wanita yang berzina yang pada asalnya terdapat di dalam bab John ayat 8. Di samping itu terjemahan moden juga membuat perubahan-perubahan yang besar pada teks: “Berhubung dengan al-Quran, Adrian Brockett di dalam The Value of Hafs and Warsh Transmission for the Textual History of the Quran berkata: “Penulisan naskhah al-Quran selepas kewafatan Muhammad adalah statik. Yang wujud sejak dahulu hanyalah satu teks, dan semenjak itu, tidak berlaku sebarang tokok-tambah walaupun kecil di dalam al-Quran.”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024