Artikel

Undang-Undang Islam Sebagai Peraturan Yang Lengkap

oleh Helmi pada 27 Aug 2004

Ciri-ciri Undang-Undang Islam

Syumuliyyah (Universal)

Sistem perundangan Islam merangkumi seluruh bidang keperluan manusia. Ia merangkumi hubungan antara manusia dengan manusia dan hubungan antara manusia dengan Tuhan dalam kehidupan di dunia ini. Begitu juga, tuntutan melaksanakan syariah yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas sekalian manusia adalah menyeluruh; kepada Muslim dan bukan Muslim, di setiap ceruk tempat dan sepanjang zaman.
Hubungan antara individu jelas dalam konteks kekeluargaan seperti tanggungjawab suami isteri, ibu bapa ke atas anak-anaknya dan sebagainya. Begitu juga dalam konteks transaksi seharian seperti dalam jual beli, penyewaan dan sebagainya. Syariah juga mengatur hubungan antarabangsa antara negara-negara Islam dan bukan Islam sama ada ketika aman ataupun peperangan.

Tidak Membebankan

Matlamat utama penurunan syariah adalah bagi memberi kemudahan kepada manusia dalam menyelesaikan segala permasalahan dalam kehidupan di samping menegakkan keadilan di muka bumi. Ini jelas disebut dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, “Allah tidak membebankan seseorang kecuali sekadar kemampuannya.” Demikian juga Muhammad berkata yang bermaksud, “Agama itu mudah, tidak mampu seseorang untuk menyusahkan masalah agama melainkan ia akan menghadapi kebuntuan.”

Ciri ini dilaksanakan dalam semua aspek perundangan Islam termasuk dalam jenayah, perhubungan dan sebagainya yang dibincangkan pada modul akan datang.

Kemanusiaan

Ciri Syariah seterusnya adalah ia bersifat kemanusiaan. Syariah mewajibkan tolong-menolong, zakat, wakaf dan sedekah. Zakat diwajibkan kepada orang kaya yang banyak hartanya. Antara hikmatnya adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya jenayah kerana individu yang berada dalam keadaan kesusahan mungkin mencuri. Melalui hasil kutipan zakat, jenayah curi itu dapat dielakkan.
Ini jelas ditegaskan dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud, “Bertolong-tolonglah atas kebajikan dan takwa dan jangan kamu tolong-menolong atas perbuatan dosa dan permusuhan.” Selain daripada itu, undang-undang Islam bukan dicipta bagi faedah segolongan tertentu tetapi ia dianugerahkan oleh Allah bagi faedah semua manusia termasuk alam sekelilingnya. Semua manusia adalah sama di sisi undang-undang Allah seperti berikut:

1. Semua Muslim adalah bersaudara. Mempunyai taraf, hak dan kewajipan yang sama.

2. Mereka yang melakukan kesalahan dan melanggar perintah Allah dihukum dengan hukuman yang sama tanpa mengira status masyarakat individu itu. 

Waqiyyah (Kontekstual)

Syariah Islam bersifat kontekstual dalam erti kata ia tidak mengabaikan konteks yang ada pada setiap perkara yang dihalalkan ataupun diharamkan. Contohnya, syariah Islam memberikan keringanan kepada manusia bagi memakan makanan yang haram ke atasnya ketika darurah iaitu terdesak. Ini jelas dalam Surah al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah; maka sesiapa terpaksa memakannya kerana darurat sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas pada kadar benda yang dimakan itu maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.”

Begitu juga, Syariah Islam mengetahui kelemahan manusia dalam menghadapi perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Oleh itu, syariah menutup semua pintu yang membuka peluang ke arah itu. Dengan itu, diharamkan minum arak sedikit ataupun banyak kerana dengan sedikit akan mendorong ke arah banyak minum arak.

Syariah Islam berusaha menjamin kesejahteraan dan keharmonian manusia dalam kehidupan daripada perlakuan jenayah. Walaupun jenayah dapat dibanteras dengan pendidikan dan moral yang baik, hukuman adalah alternatif yang terbaik untuk penjenayah itu. Islam menggariskan pelbagai hukuman seperti hudud, qisas dan takzir bagi memberi kesedaran kepada penjenayah dan masyarakat awam yang lain supaya tidak melakukan perkara yang serupa.
Ini jelas dalam Surah Al-Nur ayat 2 yang bermaksud, “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan ke atas keduanya dalam menjalankan hukum Allah, apabila benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu sekumpulan daripada orang-orang yang beriman.”

Beransur dan Bertahap dalam Pelaksanaannya
Syariah Islam diturunkan kepada manusia dengan mengambil kira fitrah manusia yang lemah. Oleh itu, syariah diturunkan secara beransur-ansur supaya memberi kemudahan kepada manusia memahaminya dan melaksanakannya. Ini jelas dalam hukum pengharaman arak. Sebagaimana yang diketahui, orang-orang Arab di Semenanjung Tanah Arab mempunyai adat dan cara hidupnya tersendiri. Antara adat dan kebiasaan itu adalah meminum arak dan berjudi. Bagi menghapuskan penyakit masyarakat ini, Islam mengambil pendekatan secara lembut dengan melayani mereka yang ketagihan arak secara rasional dan mengetuk pemikiran mereka supaya berfikir secara baik dan tenang.

Pada peringkat permulaan, bagi mengatasi masalah ini Allah SWT menurunkan ayat supaya mereka berfikir secara serius. Surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud, “Mereka bertanya engkau berhubung arak dan judi, katakan kepada mereka kedua-duanya dosa besar tetapi banyak juga manfaatnya kepada manusia, sedangkan dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”

Ayat ini langsung tidak menyebut pengharaman arak, sebaliknya Allah cuba menarik perhatian bahayanya kepada manusia lebih besar daripada manfaat yang dirasakan terdapat dalam kedua-duanya.

Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat yang mengehadkan masa kegiatan meminum arak terutamanya ketika beribadah kepada Allah SWT. Sebagaimana dalam Surah Al-Nisa ayat 43 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.”

Selepas al-Quran memberi peringatan ke atas bahaya arak, kemudian diikuti dengan larangan meminum arak pada masa tertentu, akhirnya al-Quran menjelaskan berhubung hukum pengharaman arak secara keseluruhannya kerana bahayanya yang besar ke atas perhubungan manusia dan keamanan masyarakat. Surah al-Maidah ayat 90 dan 91 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang anak panah, adalah semuanya keji daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara keji itu ataupun kamu masih berdegil?”

Dengan turunnya ayat ini, jelaslah kedudukan hukum berhubung arak, judi, menilik nasib dan menyembah berhala yang semuanya haram disebabkan bahaya yang mengancam perhubungan manusia dan keamanan masyarakat.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024