Artikel
Bengkel Terjemahan Jelas Tanggungjawab Penterjemah
oleh Roziyah pada 29 Jul 2010
Bengkel terjemahan yang dianjurkan oleh PTS Millenia memberi penerangan khusus kepada bakal penterjemah PTS tanggungjawab sebagai penterjemah agar hasil terjemahannya kelak menjadi karya yang baik dan bermutu.
Penterjemah mempunyai tangungjawab yang besar bagi menterjemah karya dan disampaikan kepada pembaca agar karya yang disampaikan itu mampu difahami oleh pembaca.
Bengkel yang dikendalikan oleh Editor Pengurusan PTS Millenia, Puan Nora Herni Abdul Rahim memberi penerangan lanjut berkaitan langkah dan tips dalam melakukan penterjemahan.
Melalui bengkel ini, peserta-peserta dapat berkongsi pendapat dan pengalaman dalam menterjemah sesebuah karya yang berbeza bahasa dan budaya. Hal ini kerana sesetengah karya tidak sesuai bagi sesebuah negara dan budaya tempatan.
Penterjemah kata Puan Nora Herni harus bijak dalam menyesuaikan ayat ketika menterjemah agar ia sesuai dan boleh diterima oleh budaya tempatan.
Beliau berkata penterjemah juga berhak mengolah ayat asalkan ia tidak lari daripada maksud karya yang ingin disampaikan penulis asalnya.
Katanya penterjemah juga mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengembangkan bahasa agar ia menjadi lebih indah untuk tatapan pembaca sekaligus menyampaikan ilmu.
Penterjemah seolah-olah menjadi penulis dalam karya yang diterjemahkan, namun penterjemah tidak seharusnya meminggirkan penulis asal yang juga memainkan peranan penting dalam karya tersebut.
Bengkel yang diadakan di bilik latiah, Ibu Pejabat PTS ini mampu memberikan garis panduan kepada penterjemah dalam menterjemah sesebuah karya agar ia sesuai dengan kehendak PTS dalam menyampaikan ilmu untuk diamalkan pembaca.