Artikel
PTS Semakin Serius Tingkatkan BMT
oleh Roziyah pada 29 Jul 2010
Bahasa Melayu Tinggi (BMT) menjadi nadi kepada budaya ilmu.
Hal yang demikian menyebabkan PTS semakin serius dan teliti bagi meneruskan falsafah dalam menyokong usaha menerbitkan ilmu dan bahan bacaan yang bermutu tinggi.
Prof Abdullah Hassan bersama jurulatih Akademi Penulisan PTS berbincang bagi merapikan lagi BMT dalam produk PTS
Menurut Penasihat Bahasa PTS, Professor Emeritus Dr Abdullah Hassan, PTS kini memberi perhatian yang lebih rapi terhadap buku-buku yang diterbitkan oleh PTS.
"Buku PTS kini telah masuk ke sekolah-sekolah kerana kita mahu pelajar di sekolah menggunakan bahasa yang baik.
Bagi mencapai matlamat tersebut kita akan memberi latihan kepada editor-editor PTS supaya mereka mempunyai kemahiran bahasa yang lebih baik," jelas Prof Abdullah Hassan selepas menghadiri mesyuarat bersama pihak pengurusan PTS bagi meningkatkan BMT dalam buku-buku yang diterbitkan oleh PTS.
Prof Abdullah Hassan juga menegaskan yang semua editor PTS akan diberi latihan berterusan agar mampu menghasilkan buku-buku selaras dengan falsafah PTS yang mementingkan BMT dalam setiap produknya.
Beliau berkata, PTS kini sudah mencapai tahap menerbitkan buku-buku dalam kuantiti yang banyak.
Lantas, perhatian yang rapi perlu diberikan agar kualiti BMT dalam setiap buku PTS yang diterbitkan dapat dijaga.