Artikel

Beraya Bersama PTS Menggembirakan Hati Pelbagai Pihak

oleh [email protected] pada 15 Oct 2009

SELANGOR: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (PTS) meraikan kira-kira 500 hadirin, termasuk kakitangannya, penulis, rakan media dan rakan bisnes pada majlis Beraya Bersama PTS di Pejabat PTS di Batu Caves, di sini, semalam.

Beraya Bersama PTS berjaya menghimpunkan pelbagai pihak yang berkaitan dengan PTS dan tanda terima kasih kepada pelbagai pihak yang menyokong PTS terutama kakitangannya, selain memeriahkan sambutan Aidilfitri.

Hadirin juga bertuah pada hari itu, kerana menjadi antara terawal mengetahui Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS: Baca dan Menang.

Hadir memeriahkan majlis yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 5.00 petang itu, Ahli Lembaga Pengarah PTS, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan dan Puan Ainon Mohd. Pengarah Urusan PTS, En Arief Hakim Sani dan barisan pengurus penerbitan, pengurus pemasaran, pengurus jualan serta editor yang bertugas.

Selain menikmati juadah, kakitangan PTS dan keluarga berpeluang beramah mesra dan melayan penulis, rakan bisnes dan media dalam situasi santai dan mesra. Bertempat di pejabat baru PTS, kakitangannya gembira dengan persalinan baju Melayu bagi lelaki dan baju kurung ataupun kebaya bagi perempuan.

Hidangan makanan kambing golek menjadi pilihan utama, selain nasi beriani, lemang, nasi impit, laksa, mee kari dan sate. Penulis yang hadir juga menunjukkan wajah gembira dan berharap ia diteruskan bagi memotivasikan mereka terus menulis.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025