Artikel

Filem One Two Jaga Bolot Anugerah di Festival Filem Malaysia ke-30

oleh Abdullah pada 31 Mar 2019

Filem One Two Jaga karya sulung Namron sebagai pengarah filem merangkul Anugerah Filem Terbaik di Anugerah Festival Filem Malaysia ke-30 yang diadakan pada sabtu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Namron ketika berucap di pentas FFM 30 pada malam itu berkata, filem ini bukanlah sebuah filem yang mudah. Ia memakan masa hampir empat tahun menyiapkannya dan ia tidak akan berjaya jika penerbitnya bukan Bront Palarae.

Tambah Namron lagi, semua penerbit perlu bersikap seperti Bront, kerana beliau adalah seorang penerbit yang memahami jalan cerita yang hendak di sampaikan dan bukan semata-mata mengharapkan populariti dan terlalu ingin menjual.

Selain merangkul Filem Terbaik, One Two Jaga turut membolot lima lagi anugerah iaitu Anugerah Pengarah Terbaik; Lakonan Layar Terbaik menerusi Amri Rohaiyat, Fared Ayam dan Nam Ron sendiri; Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik - Rosdeen Suboh; Cerita Asal Terbaik oleh Pitt Haniff, Muhammad Syafiq dan Nam Ron; serta Poster Terbaik oleh Jazzy Pictures.

One Two Jaga juga boleh ditonton di Netflix
One Two Jaga juga boleh ditonton di Netflix

One, Two, Jaga (juga dikenali sebagai Crossroads: One, Two, Jaga untuk pasaran antarabangsa) merupakan sebuah filem drama aksi jenayah Malaysia yang ditayangkan pada 6 September 2018 lalu. Filem ini adalah terbitan bersama Jazzy Pictures, KL POST dan Pixel Play. Ia dibintangi oleh Zahiril Adzim, Sofia Jane, Zaidi Omar, Amerul Affendi, Ario Bayu, Asmara Abigail, Bront Palarae, dan Azman Hassan.

Filem yang berkisarkan tentang kisah di sebalik tabir pasukan badan beruniform Polis Diraja Malaysia, yang mana ia memaparkan sisi gelap segelintir anggota yang sanggup mengkhianati amanah dengan mengambil rasuah dan terjebak dalam kegiatan jenayah, berjaya mengutip sehingga RM500,000.

Sedikit trivia, filem ini turut dicalonkan sebagai filem terbaik Asia dalam Five Flavours Asian Film Festival di Warsaw, Poland. One Two Jaga juga ditayang di beberapa festival filem antarabangsa lain seperti New York Asian Film Festival dan Shanghai International Film Festival.

Umie Aida rangkul Pelakon Wanita Terbaik FFM30
Umie Aida rangkul Pelakon Wanita Terbaik FFM30

Pada FFM 30 itu juga, Pelakon Wanita Terbaik dimenangi Datin Seri Umie Aida untuk filem ‘Dukun’, manakala filem Munafik 2 pula menerima anugerah Filem Box Office. Filem ‘Guang’ yang mengangkat tema kehidupan penghidap autisme, meraih empat anugerah iaitu Penataan Seni Terbaik (Chan Hsien Yu), Pelakon Lelaki Harapan (Kyo Chen), Sinematografi Terbaik (Yeong Tuck Wei) dan Pengarah Harapan (Quek Shio Chuan).

FFM30 turut menyaksikan pelakon, pelawak, pengarah filem dan penulis skrip A.R. Badul dinobatkan sebagai Karyawan Sepanjang Zaman.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024