Artikel

Berbelanja Mengikut Akal Bukan Emosi

oleh Maisarah Hanim pada 13 Dec 2022

Pada tahun 2021, rakyat Malaysia khususnya mula mendapat kehidupan mereka kembali dek kerana pandemik COVID-19 yang menyebabkan kita terkurung lama di rumah kerana patuh akan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pelbagai aktiviti mula diadakan semula untuk merancakkan kembali ekonomi negara dan memberikan semula kehidupan normal sebelum kewujudan COVID-19.

Sebagai seorang pencinta buku, sudah tentu saya merindui kemeriahan pesta-pesta buku. Alhamdulillah, pada tahun lepas, saya berkesempatan untuk hadir ke Kuala Lumpur International Book Fair (KLIBF) dan Pesta Buku Selangor 2021 (PBS21). Kedua-dua pesta buku ini menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat. Mungkin masing-masing turut merindui pesta buku sebegini. Saya pula rambang mata dengan buku-buku yang dijual. Hendak kata ada promosi yang hebat, tidak juga. Tetapi saya telah terpedaya dengan taktik penjual yang telah menggelapkan mata saya dengan pengetahuan produk yang sangat bagus.

Seronok dapat hadir ke PBAKL 2022
Seronok dapat hadir ke PBAKL 2022

Saya begitu asyik dengan teknik penceritaan penjual dan membuatkan saya membelinya tanpa berfikir panjang. Laju sahaja saya membuat bayaran di kaunter. Pada waktu itu, saya menganggap perbuatan saya ini tidak salah kerana sudah lama tidak ke pesta buku. Saya menghabiskan beratus ringgit untuk kedua-dua pesta buku ini dan total buku yang saya beli sebanyak 17 buah buku.

Mei 2022, telah berlangsungnya PBAKL 2022. Kebetulan pihak penganjur ada menyediakan Peti Gergasi Sumbangan Buku. Para pengunjung yang hadir boleh memasukkan buku ke dalam kotak yang disediakan. Setelah mengetahui kewujudan Peti Gergasi Sumbangan Buku itu, saya pulang ke rumah dan saya melihat rak buku saya. Ada yang sudah berhabuk. Saya juga menyedari ada buku yang tidak sesuai dengan saya. “Daripada terbiar begini, lebih baik aku sedekahkan. Moga bermanfaat untuk orang lain. Bukan rezeki” kata saya untuk menyedapkan hati kerana menyesal dengan sikap boros diri sendiri.

Pada Ogos tahun ini, Kedai Bookcafe yang terletak di Selayang telah mengadakan Jualan Pecah Gudang yang berlangsung selama dua hari. Kehadiran saya ke sana adalah untuk menyertai program Wakaf Buku Memandaikan Bangsa yang bertujuan untuk mewujudkan perpustakaan mini bagi anak-anak yatim dan institusi surau agar boleh dijadikan pusat ilmu. Hal ini terjadi kerana saya sudah mula berjinak-jinak untuk hidup minimalis. Jadi, saya mula melakukan penyingkiran (decluttering) buku-buku yang saya rasa tidak akan ulang baca dan tidak akan baca. Alhamdulillah, saya berjaya mengumpulkan beberapa buah buku walaupun buku itu masih berbalut plastik kerana belum dibuka.

Sesungguhnya, saya mengambil iktibar akan sikap boros saya berbelanja tanpa mengetahui matlamat pembelian. Ya, memang keterujaan ke pesta buku sudah tentu ada, tetapi saya harus belajar mengawal perasaan dan emosi saya sebagai seorang pembeli agar saya membuat perbelanjaan yang bijak. Sempena SIBF 2022, saya bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama. Alhamdulillah saya hanya membeli sebuah buku sahaja. Saya juga berjaya mengawal emosi dan tidak tertipu dengan perasaan sendiri. Ingat, membazir itu amalan syaitan.

Buku yang membantu untuk memahami konsep minimalis
Buku yang membantu untuk memahami konsep minimalis

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024