Artikel

Mencipta Iklim Bahagia Suami Isteri

oleh Helmi pada 20 Jul 2004

IKLIM riang gembira dan bahagia antara suami isteri datang daripada emosi suami terhadap isterinya dan daripada emosi isteri terhadap suaminya. Apabila seseorang suami merasai puas dan seronok terhadap isterinya, maka bahagialah si suami itu. Apabila seseorang isteri berasa puas dan seronok terhadap suaminya, maka bahagialah si isteri.

Walaupun lazimnya orang ramai percaya kebahagiaan rumah tangga datang daripada aktiviti menjalankan tanggungjawab secara sempurna oleh kedua-dua belah pihak. Walau bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar psikologi mendapati sangkaan itu tidak benar. Mengikut sangkaan kebanyakan orang, apabila suami isteri sudah melaksanakan semua tanggungjawabnya, maka akan bahagialah perkahwinan mereka. Tetapi hasil kajian mendapati ramai suami dan isteri yang tidak bahagia terdiri daripada orang-orang yang sangat tanggungjawab.

Jadi, sangkaan bahawa suami yang bertanggungjawab akan bahagia adalah sangkaan yang salah. Keadaan yang serupa juga boleh berlaku di kalangan isteri. Ramai isteri yang hidup tidak bahagia walaupun mereka menunaikan semua tanggungjawab mereka dengan sepenuhnya.

Dalam perkahwinan di mana si suami ataupun si isteri, ataupun kedua-duanya sekali tidak dapat melaksanakan dengan sepenuhnya tugas dan tanggungjawab mereka, mereka masih boleh hidup dengan sangat berbahagia. Yang sebaliknya juga boleh berlaku. Kedua-dua suami dan isteri mungkin tidak bahagia meskipun masing-masing sudah menjalankan semua tanggungjawabnya dengan sebaik-baiknya.

Emosi bahagia datang daripada perasaan si suami dan si isteri. Perasaan bahagia bukan datang daripada pelaksanaan tanggungjawab. Apabila seseorang itu berasa puas dan seronok, maka bahagialah dia, walaupun dia hanya mampu menjalankan sebahagian sahaja daripada tanggungjawabnya. Itulah sebabnya terdapat ramai isteri yang melaporkan mereka tetap bahagia walaupun suami mereka tidak berkeupayaan menjalankan semua tanggungjawabnya. Sebagai contoh, gaji suami mereka mungkin tidak mampu membayar segala kos saraan keluarga. Maka dengan rasa gembira si isteri mengambil tugas pergi bekerja dan membayar sebahagian kos itu dan si isteri itu berasa bahagia dapat melakukan tugas itu.

Ada kalanya pula terdapat isteri-isteri yang tidak berdaya membuat semua kerja-kerja rumah, tetapi suami-suami mereka dengan gembira mengambil alih sebahagian daripada tugas-tugas isteri mereka. Ramai suami yang dengan senang hati menyendukkan nasi ke dalam pinggan isterinya, menolong menyapu rumah, mencuci pinggan, menggosok baju sendiri, membancuh susu anak dan menjemur kain baju yang dicuci oleh isterinya dan macam-macam lagi.

Terdapat banyak punca rasa bahagia. Tetapi, menurut pakar-pakar psikologi perhubungan, punca bahagia yang paling utama ialah kemahiran suami isteri berinteraksi. Bukan semua orang memiliki kemahiran berkasih-kasihan. Lebih ramai lagi orang yang menyangka kita semua tidak perlu mempelajari kemahiran itu. Mereka menyangka, apabila kita mencintai seseorang, secara automatik kita akan mencintai orang itu dengan cara-cara yang betul. Pendapat ini salah. Ia sama salahnya dengan pendapat yang mengatakan, apabila kita sukakan permainan bola sepak, secara automatik, tanpa perlu belajar, kita sudah pandai menyepak bola itu dengan cara-cara yang betul.

Untuk memberi kebahagiaan kepada lelaki, caranya ialah dengan memberikan kepadanya rasa puas dan rasa seronok. Ini menghendaki para isteri memahami perkara-perkara yang membuat lelaki berasa puas dan seronok serta perkara-perkara yang menyebabkan hilangnya rasa puas dan seronok itu.

Pelaksanaan tanggungjawab sudah dikenal pasti bukan faktor yang menerbitkan iklim riang gembira, seronok dan bahagia. Tetapi tanggung-jawab mempunyai peranan lain yang sangat penting dalam kesejahteraan hidup bersuami isteri. Peranan tanggungjawab adalah sebagai ‘faktor kebersihan’ atau ‘hygiene factors’. Sebagai kiasan jikalau rumah itu kotor, tidak bersih, banyak kuman, maka orang-orang yang duduk di dalam rumah itu akan sakit. Jika dalam sesuatu perkahwinan itu suami dan isteri tidak menjalankan tanggungjawab mereka, perkahwinan itu akan ‘sakit’. Orang yang sakit sukar hendak berasa puas, riang gembira, seronok dan bahagia. Jika rumah itu bersih, penghuninya akan sihat, tetapi itu tidak menjamin orang yang sihat akan bahagia!

Pelaksanaan tanggungjawab memainkan peranan membasmi punca-punca konflik rumah tangga. Jika dalam perkahwinan itu tidak ada konflik, kehidupan akan aman. Namun itu tidak menjamin suami isteri akan menikmati rasa puas, riang gembira, seronok dan bahagia. Mereka cuma setakat tidak bergaduh. Seronok belum tahu! Ini disebabkan, emosi puas, riang gembira, seronok dan gembira datang daripada ‘faktor-faktor kepuasan’. Jadi, apakah perkara-perkara yang menerbitkan rasa puas suami isteri?

Kajian menunjukkan perkara-perkara yang mendatangkan rasa puas kepada perempuan tidak serupa dengan perkara-perkara yang mendatangkan rasa puas kepada lelaki. Lelaki mendapat kepuasannya daripada punca-punca lain, manakala perempuan mendapat kepuasannya daripada punca-punca yang berlainan. Jadi apa yang memuaskan dan menyeronokkan lelaki tidak semestinya memuaskan dan menyeronokkan wanita.

Antara perkara-perkara yang mendatangkan rasa seronok kepada lelaki ialah apabila mereka dapat membuat aktiviti-aktiviti fizikal dan sosial bersama-sama dengan isteri mereka. Contoh aktiviti fizikal yang boleh dibuat bersama isteri ialah berkebun, mencuci kereta, memancing dan bermain. Contoh aktiviti sosial ialah kerja-kerja persatuan, menziarahi ibu bapa serta saudara mara, mendengar ceramah, bergotong-royong dan kerja-kerja amal. Antara aktiviti fizikal bersama isteri yang mendatangkan rasa puas yang sangat mendalam kepada batin lelaki ialah seks yang menyeronokkan.

Antara perkara-perkara yang mendatangkan rasa kepuasan yang sangat mendalam kepada wanita ialah apabila dia dapat bercakap-cakap, berbual-bual, bersembang-sembang dan duduk-duduk kosong dengan suami. Wanita juga mendapat rasa kepuasan yang sangat menyeronokkan hatinya apabila suaminya menolong sedikit kerja-kerja rumah. Mereka juga berasa sangat puas dan seronok apabila diberi banyak sentuhan oleh suami, lebih-lebih lagi apabila sentuhan-sentuhan itu disertai dengan pertukaran kata-kata.

Tetapi ramai lelaki, apabila mereka menyentuh isteri, mulut mereka bisu seolah-olah aktiviti bercakap dan menyentuh isteri adalah saling mengasingkan kedua-dua aktiviti itu. Faktor kedua yang sangat penting dalam mencipta rasa puas ialah pengharapan suami isteri ke atas satu sama lain. Setiap orang mempunyai pengharapan. Kajian mendapati suami isteri sama-sama mempunyai pengharapan yang amat tinggi bahawa pasangannya akan saling mempercayai, saling hormat-menghormati, cinta-mencintai, jujur dan setia.

Antara perkara-perkara yang mereka kurang diharapkan ialah masa yang banyak untuk bersama, peluang menikmati privasi yang banyak, mendapat banyak seks dan banyak berkomunikasi. Nampaknya, kajian menunjukkan harapan kita berkenaan masa bersama, privasi, seks dan komunikasi adalah sederhana. Ertinya, jikalau kita tidak mendapat banyak dalam perkara-perkara itu pun kita masih boleh berasa puas.

Kepuasan dalam perhubungan perkahwinan sangat dipengaruhi oleh sejauh mana mereka menikmati apa yang mereka harapkan. Semakin banyak mereka mendapat apa yang diharapkan, semakin tinggi kepuasan yang mereka nikmati. Semakin kurang mereka mendapat apa yang diharapkan, semakin mendalam rasa tidak puas hati yang mereka alami. Ini bererti, adalah mustahak supaya suami isteri menyatakan dengan terang apa yang mereka harapkan daripada perkahwinan itu dan juga apa yang diharapkan daripada pasangannya supaya pihak yang satu lagi dapat memberikan apa yang diharapkan.

Ini juga bererti rahsia kepuasan perkahwinan ada pada kejayaan memberikan kepada pasangan apa yang diharapkan olehnya dan menerima daripadanya apa yang diharapkan, bukan daripada harta, pangkat, rupa paras dan lain-lain seperti itu. Walaupun nampaknya ini mudah, tetapi ramai pasangan berasa mereka tidak menerima apa yang mereka harapkan. Perasaan seperti itu sangat mengancam rasa kepuasan dalam perhubungan yang ada.

Orang yang puas mempunyai dorongan dan motivasi bagi meneruskan perhubungan yang ada dan untuk memupuk lagi perhubungan itu supaya tambah memuas-kan kedua-dua belah pihak. Jadi, rasa puas adalah pendorong paling kuat mengapa orang mahu terus setia kepada pasangannya, ataupun mencari kepuasan daripada sumber lain.

Rasa puas datang daripada beberapa punca. Sumber yang paling utama ialah apabila kita mendapat apa yang diharapkan daripada pasangan kita. Kedua, rasa puas juga datang apabila kita berasa seolah-olah kita mendapat banyak faedah dan ganjaran daripada perkahwinan kita itu dan daripada pasangan kita. Ertinya kita berasa seolah-olah kita menerima lebih banyak daripada apa yang kita sendiri berikan dan sumbangkan. Ertinya, kita berasa seolah-olah perkahwinan kita itu lebih menguntungkan kita daripada menguntungkan pasangan kita. Dalam keadaan itu kita akan berasa puas.

Bagaimanakah rasa untung itu boleh timbul di hati kita? Ia timbul daripada perbandingan yang kita buat. Pertama, kita membandingkan apa yang kita sendiri sumbangkan dengan apa yang disumbangkan oleh pasangan kita. Kedua, kita bandingkan apa yang kita dapat dengan apa yang kita dapat. Kalau kita berasa seolah-olah sumbangan kita kecil tetapi kita dapat lebih banyak daripada pasangan kita, maka berasa kita untung. Jadi, kita berasa rasa puas hati. Kalau kita berasa sumbangan kita besar tetapi pasangan kita dapat lebih banyak, maka kita tak puas hati.

Kita juga membandingkan apa yang kita dapat dengan apa yang orang-orang lain dapat. Umpamanya, sebagai suami, kita bandingkan layanan isteri kita dengan layanan yang diterima oleh lelaki-lelaki lain yang kita kenal. Katakanlah, isteri kita suri rumah tetapi baju kita pun kita sendiri kena gosok, manakala kita melihat lelaki-lelaki lain yang isteri mereka bekerja, baju mereka digosokkan oleh isteri masing-masing, maka kita akan berasa tidak puas hati.

Kajian-kajian sudah mengesahkan jikalau sesuatu perkara itu mendatangkan rasa bahagia, perkara yang sebaliknya tidak pula mendatangkan rasa derita. Bagi menerangkan hal ini, jikalau berbual-bual dengan suami mendatangkan rasa bahagia kepada wanita, ini tidak pula bermakna jika dia tidak dapat banyak berbual-bual dengan suami maka si isteri akan menderita.

Faktor-faktor yang mendatangkan rasa bahagia bukanlah faktor-faktor yang mendatangkan rasa derita sekiranya tak ada. Rasa puas, riang gembira, seronok dan bahagia datang daripada faktor-faktor lain. Rasa derita datang daripada faktor-faktor lain. Jadi, katakanlah, walaupun seseorang suami masih mahu mengajak isterinya bercakap-cakap dan duduk-duduk berdua dengan isterinya tetapi si isteri mungkin menderita. Sebagai contoh, jika si isteri tahu suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain, maka faktor itu akan menghapuskan rasa bahagianya. Tetapi, ini tidak bermakna jika si suami tidak mempunyai hubungan lain, maka si isteri akan bahagia.

Daripada hasil kajian ini, kita perlu mencipta keadaan yang menerbitkan rasa puas, riang gembira, seronok dan bahagia di hati pasangan kita. Pada waktu yang sama, jangan lakukan perkara-perkara yang menerbitkan rasa bosan, benci, menyampah, sakit hati, rasa tertekan dan lain-lain emosi negatif di dalam benaknya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024