Artikel

Berjaya Bawa Naratif Cerita Hantu Yang Segar, Pusaka Tenggelamkan Filem Munafik

oleh Abdullah pada 07 Nov 2019

Selepas filem Munafik 1 berjaya mengutip sebanyak RM19 juta, ramai yang menjadikan filem ini sebagai penanda aras untuk filem hantu di Malaysia. Filem hantu yang seram dan diikat dengan bunga-bunga agama yang asas: ustaz vs hantu. Naratifnya biasa, tetapi lakonan Nabila Huda dan ‘plot twist’ Ustaz Adam sangatlah berkesan dihati penonton.

Dua tahun kemudian, Skop Production terbitkan sekuel Ustaz Adam dalam Munafik 2 dengan jumlah kutipan sebanyak RM48 juta. Naratif masih sama: ustaz vs hantu dan penuh dengan pesan-pesan tazkirah agama.

Sesetengah orang tak ada masalah dengan tazkirah-tazkirah dalam filem ini, bagi mereka filem hantu yang berunsurkan agama Islam wajar dengan dialog-dialog yang memberi peringatan untuk ingat kepada akhirat.

Tapi bagi saya, ini naratif yang lama. Naratif ustaz vs hantu adalah naratif cerita hantu yang biasa kita dengar dan biasa kita tahu.

Poster filem PUSAKA
Poster filem PUSAKA

Berbeza dengan filem Pusaka, arahan Razaisyam Rashid. Filem yang membawa naratif yang segar, penuh dengan kejutan dan ‘plot twist’ yang sangat cemerlang, dalam sekelip mata Pusaka berjaya menenggelamkan naratif Munafik 1&2.

Lakonan mantap Fauziah Ahmad Daud dalam PUSAKA
Lakonan mantap Fauziah Ahmad Daud dalam PUSAKA

Razaisyam betul-betul membuat filem hantu dengan nafas baru dan segar. Penyiasatan dan seram dalam satu layar lebar. Lakonan mantap Fauziah Ahmad Daud, Syafiq Kyle, Miss Qismina, Mimi Lana, Faizal Hussein. Tidak lupa kepada penulis Anwari Ashraf, Alfie Palermo serta sinematografi daripada Madnor Kassim.

Untuk pertama kalinya saya menonton filem hantu Melayu tanpa watak ustaz. Selalunya jika ada hantu di situ ada ustaz untuk menyelamat daripada gangguan jin dan iblis. Tetapi Razaisyam dan tim memberi yang sebaliknya. Mungkin bagi mereka, gangguan jin tidak semestinya dikalahkan oleh seorang yang bergelar ustaz.

Tetapi ia boleh dikalahkan dengan sepotong hadis yang kita percaya, iaitu ‘doa’.

الدُّعَاءُ سِلاحُ الْمُؤْمِنِ، وَعِمَادُ الدِّينِ، وَنُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ

“Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit-langit dan bumi”

(Hadis Riwayat Hakim)

Pusaka tidak membawa bunga-bunga agama yang keterlaluan. Cukup dengan sepotong ruqyah dan sepotong doa dari surah Ali Imran, ayat 159,

(فاذا عزمت فتوکل علی الله) …

“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah”

Tidak ada watak ustaz berserban, berjubah, bercelak, tidak ada hembus-hembus ayat al-Quran, tidak ada bakar kemenyan, tidak ada ustaz bertepik membaca ayat al-Quran konon-konon melawan jin. Bagi saya ini satu naratif yang segar apabila tidak ada watak ustaz untuk melawan jin dan iblis.

https://www.youtube.com/watch?v=Ot2SqpwqUao

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024