Artikel

Berlian di depan Mata Tidak Nampak

oleh Helmi pada 21 Jul 2004

Tidak berapa jauh dari Sungai Indus, suatu masa dahulu, hidup seorang lelaki yang bernama Ali Hafiz bersama keluarganya. Beliau memiliki ladang dan dusun yang luas dan beliau boleh dianggap sebagai orang yang kaya raya. Setiap malam beliau bersyukur kepada Allah dengan nikmat yang dikurniakan dan setiap malam beliau dapat tidur dengan nyenyak.

Pada suatu hari, seorang lelaki yang banyak mengkaji kisah-kisah silam datang menziarahi Ali Hafiz. Beliau menceritakan bagaimana berlian terjadi dan berkata, “Apabila kamu berjaya memiliki berlian walaupun sebesar ibu jari, kamu mampu membeli sebuah negara, dan apabila kamu dapat memiliki sebuah lombong berlian kamu dapat menguasai dunia.”

Sejak hari itu, Ali Hafiz tidak dapat tidur dengan nyenyak lagi dan sejak hari itu beliau lupa bersyukur kepada Allah. Siang dan malam beliau termenung memikirkan bagaimana mahu memiliki berlian. Akhirnya, beliau memutuskan menjual kesemua harta yang dimilikinya untuk merantau mencari lombong berlian. Maka, Ali Hafiz pun mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya dan terus memulakan perjalanan.

Beliau merantau ke bumi Palestin, menjelajahi Eropah dan akhirnya tiba di Teluk Barcelona dalam keadaan miskin. Namun, berlian yang dicari tidak juga ditemui. Beliau berasa amat kecewa dan putus asa dan akhirnya mencampakkan dirinya ke dalam laut. Dengan itu tamatlah riwayat hidupnya.

Berbalik kepada ladang dan dusun yang sudah dijual, pada suatu hari pemilik yang baru bersiar-siar di dusunnya dan kemudian berhenti berehat di tepi sebatang sungai. Beliau berasa pelik kerana pasir di sungai itu kelihatan bersinar-sinar dan bergemerlapan. Beliau pun mencedok pasir sungai dan kemudian menunjukkannya kepada lelaki yang banyak mengkaji kisah-kisah silam. Lelaki itu terkejut besar kerana pasir itu mengandungi berlian bernilai tinggi dan berlian itu yang dicari-cari selama ini oleh Ali Hafiz.

Ali Hafiz membuangkan wang, masa dan tenaga untuk keluar mencari berlian sedangkan berlian yang berharga berada di ladangnya malah di depan matanya. Hasil daripada penemuan itu, dusun yang pada asalnya dimiliki oleh Ali Hafiz bertukar menjadi sebuah lombong berlian yang besar yang dikenali pada hari ini sebagai lombong Golcanda.

Umat Islam pada hari ini boleh diibaratkan seperti Ali Hafiz. Mereka tidak menyedari agama Islam adalah lombong berlian yang tidak ada tolok bandingan dibandingkan dengan ajaran serta agama lain. Mereka keluar mencari kemuliaan dengan mengikut budaya asing. Mereka mengagumi isme-isme sesat yang bercanggah dengan Islam dan berbangga apabila dapat mengikut cara hidup golongan bukan Islam. Akhirnya, mereka lemas dan hancur. Apabila keadaan sudah terlambat, baru mereka sedar bahawa kemuliaan, kebanggaan, keunggulan dan kebahagiaan yang dicari selama ini berada di hadapan mata mereka iaitu Islam.

Dalam surah al-Baqarah ayat 211 Allah berkata, “Barang siapa menukar nikmat Allah setelah datang nikmat itu kepadanya, maka sesungguhnya Allah sangat keras seksaannya.” Di dalam kitab al-Asas fit Tafsir Said Hawa berkata, nikmat yang paling besar yang dikurniakan Allah kepada kita adalah ayat-ayat dan syariatnya. Ia adalah berlian yang kita perlukan. Apabila umat Islam mengetepikan nikmat-nikmat ini, mereka menjadi golong-an yang terpinggir lagi terhina.

Sebenarnya, golongan yang berjaya adalah golongan yang tidak melupakan peringatan Allah. Allah menyatakan dalam surah Taha ayat 124 yang bermaksud, “Sesiapa yang berpaling daripada peringatanku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunnya pada hari kiamat dalam keadaan buta.”

Berhubung dengan ayat ini, sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Setiap orang yang menerima nikmat daripada Allah, banyak ataupun sedikit, hendaklah diterimanya dengan rasa takwa. Jika tidak dia tidak akan mengecap kebahagiaan dalam hidupnya dan akhirnya dia akan dilanda kesempitan.” Peringatan Allah seperti ini adalah berlian yang mampu menyinari seluruh hidup apabila kita mahu menjadikannya sebagai iktibar.

Sayang sekali, berlian kurniaan Allah sedang dipinggirkan oleh umat Islam hari ini. Yang paling membimbangkan, ia turut dipinggirkan oleh generasi muda yang bakal memimpin negara. Sebagai contoh, lihat kepada keputusan PMR bagi tahun 1995. Keputusannya menampakkan peningkatan secara keseluruhan. Namun, pencapaian dalam mata pelajaran fardu ain agak menyedihkan. 6,779 pelajar gagal dalam mata pelajaran ini. 616 daripada mereka gagal dalam aspek yang berkaitan dengan ucapan dua kalimah syahadah, 1,553 gagal dalam aspek yang berkaitan dengan rukun Islam dan 1,901 pula gagal dalam aspek yang berkaitan dengan rukun iman.

Quran, wahyu Allah yang tidak ada tolok bandingannya, juga tidak dihargai oleh sebahagian umat Islam hari ini. Pada bulan November 1995, menteri di Jabatan Perdana Menteri membuat kenyataan bahawa dianggarkan 200,000 penduduk Islam di Malaysia yang berumur antara 35 hingga 45 tahun, tidak tahu sama sekali membaca Quran.

Kita khuatir apabila semua perkara ini berterusan, nasib kita berubah daripada kegemilangan kepada kehinaan. Inilah perkara yang diperingatkan Allah kepada kita melalui firmannya dalam surah al-Anfal ayat 53 hingga 54 yang bermaksud, “Hal ini kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dianugerahkannya kepada sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Keadaan mereka samalah) seperti Firaun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelum mereka. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan maka Kami membinasakan mereka.”

Berhubung dengan ini Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “Allah menceritakan tentang keadilannya ketika menimpakan sesuatu hukuman ke atas manusia. Dia tidak akan menarik balik nikmat yang dikurniakan kepada seseorang melainkan seseorang itu terjebak dengan dosa seperti yang telah berlaku ke atas Firaun, pengikut-pengikutnya serta golongan yang seumpama mereka.” Semoga kesilapan Ali Hafiz tidak diulangi pada hari ini.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024