Artikel

Menjauhi Mentaliti Dinosaur

oleh Helmi pada 21 Jul 2004

Ramai di kalangan kita mengenali dinosaur. Ia adalah binatang yang besar tubuhnya lagi ditakuti. Ratusan ribu tahun dahulu, binatang ini menguasai dunia. Namun, tiba-tiba berlaku kejadian yang menyebabkan ia pupus untuk selama-lamanya. Pakar-pakar sains tidak dapat memastikan apa sebenarnya yang berlaku. Tetapi mereka pasti dinosaur pupus kerana tidak dapat menangani perubahan.

Begitu juga yang berlaku pada burung undan di Monterey. Monterey adalah sebuah bandar di California. Puluhan tahun yang lalu, pantainya dipenuhi dengan burung-burung undan. Burung-burung ini hidup dengan memakan perut dan usus ikan yang dibuang oleh para nelayan selepas ikan-ikan itu di-bersihkan. Pada suatu masa, para nelayan menyedari mereka boleh mendapat keuntungan lebih jika menjual perut dan usus ikan kepada pihak-pihak tertentu yang memerlukannya. Sejak dari tarikh itu, mereka tidak lagi membuang perut dan usus ikan kepada burung-burung.

Apa yang berlaku perlu dijadikan iktibar bagi diri kita. Burung-burung undan itu menjadi kurus kering dan mati satu-persatu disebabkan mereka tidak berusaha mencari dan menangkap ikan. Selama ini mereka hanya menanti para nelayan mencampakkan makanan. Mereka hancur kerana apabila sua-sana berubah, sikap mereka tidak berubah.

Umat Islam mempunyai mentaliti yang berbeza dengan dinosaur. Sebagai contoh, semasa kota Baitul Maqdis jatuh ke tangan orang Islam, pihak penguasa kota yang mewakili pimpinan tertinggi Rom ingin menyerahkan kunci kota kepada khalifah Islam yang pada masa itu dijawat oleh Omar al-Khattab. Khalifah Omar bersetuju untuk datang ke Baitul Maqdis dan semasa tiba di situ beliau terkejut melihat pakaian tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh panglima Abu Ubaidah bin Jarrah. Mereka mengenakan pakaian yang mahal dan cantik bagi menyambut kedatangan beliau.

Sebagai tanda tidak setuju beliau dengan tindakan mereka, khalifah Omar mengambil segenggam pasir dan melempar-kannya kepada mereka. Panglima Abu Ubaidah bin Jarrah memahami kemarahan khalifah Omar lantas beliau pun membisikkan kepada Omar bahawa perbuatan mereka disebabkan masyarakat sekeliling tidak menghormati golongan yang selekeh. Justeru, bagi menjaga imej dan maruah Islam, mereka terpaksa berpakaian indah. Namun, prinsip-prinsip dan landasan agama masih tetap utuh di hati.

Sahabat-sahabat nabi adalah golongan yang berjaya kerana mereka berani menghadapi serta menangani perubahan. Banyak contoh lain yang dapat disebutkan dalam konteks ini. Pada zaman nabi, solat tarawih tidak dilakukan secara berjemaah tetapi pada zaman khlifah Omar al-Khattab, ia dilakukan secara berjemaah. Pada zaman nabi, Quran tidak dibukukan. Tetapi, oleh kerana keperluan, ia dibukukan pada zaman khalifah Uthman bin Affan. Begitu juga dengan syariat Islam. Ia sesuai dan relevan pada setiap zaman keranan mempunyai kaedah bagi menangani perubahan.

Berhubung dengan penetapan hukum hakam Islam yang berkaitan dengan isu-isu ranting, kaedah fikah Islam ada menyatakan, perubahan fatwa dan perbezaan pendapat ber-kenaan dengannya boleh berlaku disebabkan oleh perubahan zaman, tempat, suasana, niat dan adat. Inilah kekuatan yang ada pada Islam yang memampukannya untuk terus berkembang dan relevan sepanjang zaman. Dengannya Islam tidak pupus seperti pupusnya dinosaur.

Jangan lupa. Saudara juga akan hancur dan pupus seperti dinosaur apabila saudara tidak sanggup berubah. Memang benar, orang yang tidak mahu berubah akan diubah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024