Artikel

Bersama Trio ABC : Aku Mahu Jadi Novelista

oleh Rasmawati Abdul Muin pada 22 May 2013

Sekolah Sri Bangsar menganjurkan program ‘Lawatan 20 Hari Menulis Novel Peringkat Kebangsaan di Australia dan jumlah penyertaan yang ditetapkan adalah seramai tujuh orang. Kesemua kos perbelanjaan akan ditanggung oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan juga PIBG sekolah.

Bagi mencari calon-calon yang layak untuk dibawa ke Australia, pihak sekolah menganjurkan pertandingan menulis novel. Alif Iskandar, Bella Iskandar, dan Cempaka Lestari (Trio ABC) tidak mahu melepaskan peluang. Mereka sangat teruja menghasilkan novel sendiri untuk dipertandingkan. Begitu juga ahli-ahli kumpulan The Wannabes yang cukup popular di Sekolah Sri Bangsar.

Bagi menghasilkan manuskrip setebal 100 muka surat dalam masa lima minggu, Trio ABC berusaha sebaik mungkin dan mencari sumber-sumber yang dapat membantu mereka menghasilkan manuskrip terbaik.

Langkah pertama adalah menyertai bengkel penulisan di mana mereka bertiga adalah peserta termuda dalam bengkel berkenaan. Malah ketika bengkel itu juga, mereka terpaksa mendengar kritikan pedas daripada para juri yang menilai hasil karya mereka. Bakat mereka juga dipertikai serta diperlekeh kerana mereka terlalu muda untuk bergelar novelis.

Tidak cukup dengan menyertai bengkel penulisan, mereka bertiga membuat tinjauan dan kajian serta cuba menyelami kisah-kisah masyarakat luar bagi memperoleh idea. Insiden tidak disangka oleh mereka berlaku apabila ditipu oleh seorang pak cik yang menyamar sebagai pengemis dengan memberi sedekah sebanyak RM50 kepada pak cik pengemis berkenaan.

Kemudian, mereka dipertemukan pula dengan seorang wanita yang mengatakan dirinya adalah individu yang memberi idea kepada J.K. Rowling dalam menghasilkan karya Harry Porter. Namun, tanpa mereka duga, secara tiba-tiba wanita  itu mengejar mereka dan ketika itu barulah menyedari bahawa wanita berkenaan sebenarnya kurang siuman.

Sungguh laluan bagi menjadi novelis bukanlah mudah. Selain ditipu oleh pengemis, mereka bertiga juga tertipu oleh dua orang pemuda yang menyamar sebagai wakil dari syarikat penerbitan Ayammis Publishing. Manuskrip mereka dicetak rompak oleh individu berkenaan.

Berbeza halnya dengan kumpulan The Wannabes. Di saat trio ABC bersusah payah, kumpulan berkenaan pula mengupah Bettylina bagi menghasilkan manuskrip untuk kumpulan mereka, kemudian memplagiat karya bahasa Tamil. Meskipun kumpulan ini berjaya ke peringkat akhir, namun perbuatan kumpulan ini akhirnya diketahui oleh seorang guru praktikal yang kebetulan memahami bahasa Tamil.

Akhirnya, Trio ABC menjadi pemenang dan layak ke Australia. Malah, manuskrip mereka juga bakal diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbitan.

Banyak unsur pengajaran yang dapat diperoleh hasil daripada pembacaan novel ini. Antaranya adalah kejayaan tidak akan muncul dengan mudah. Setiap individu yang berjaya, pasti akan melalui laluan berliku dan penuh cabaran.

Sifat prihatin dan rasa ingin membantu juga menjadi salah satu nilai murni yang perlu diberi perhatian. Seperti kisah dalam novel ini di mana Trio ABC berniat mahu membantu meringankan beban Syafiq, si pemandu teksi yang masih muda remaja. Syafiq keciciran sekolah kerana keluarganya tidak mampu menampung kos perbelanjaan. Oleh sebab itu, Trio ABC bercadang mahu berkongsi hasil royalti yang mereka peroleh dengan Syafiq.

Dapat dilihat di sini, meskipun Trio ABC masih remaja, tetapi mereka mempunyai nilai-nilai murni dalam diri yang luar biasa seperti bersifat  pemurah.

Anda boleh mendapatkan di kedai-kedai buku yang berhampiran, atau beli secara online dengan diskaun istimewa di PTS Bookcafe, www.bookcafe.com.my

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024