Artikel
Bicara Pengarang: Samsudin tulis buku pengurusan
oleh Helmi pada 07 Jul 2006
Oleh Siti Nursuhada Masri
BH: BAGAIMANAKAH Samsudin Wahab boleh berkecimpung dalam dunia penulisan?
SW: Saya bermula dengan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Parit Panjang, Baling, Kedah, pada 2000 dan pernah terbabit dengan kursus penulisan buku teks Kementerian Pendidikan untuk Buku Penerangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kemudian timbul keinginan untuk terus menulis hingga terhasil buku bacaan umum, Pengurusan dan Teknologi.
BH: Dari manakah mendapat ilham untuk menghasilkan buku terbabit?
SW: Selepas alam persekolahan, saya menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Pengurusan Pejabat dan mendapati bahan bacaan tempatan dalam bidang terbabit sangat kurang. Saya banyak merujuk buku dari luar negara. Oleh itu, saya menggunakan asas penulisan ketika menghasilkan buku di bawah kementerian untuk menulis. Bahan bacaan daripada bahasa Inggeris saya terjemahkan kerana ingin membantu mereka yang kurang arif dalam urusan pejabat.
BH: Apakah ada rancangan untuk mencetak buku dalam bentuk cakera padat (CD) memandangkan subjek pilihan Samsudin akan lebih hidup dalam bentuk audio visual?
SW: Pada masa sekarang saya hanya beri tumpuan pada penulisan buku dulu. Keinginan untuk menghasilkan dalam bentuk CD memang ada tetapi memerlukan komitmen dan fokus dengan industri terbabit. Insya-Allah suatu hari nanti dengan kerjasama pihak kementerian, saya cuba menghasilkannya demi menyampaikan ilmu kerana penggunaan CD tidak akan menghalang pasaran buku.
BH: Bagaimanakah petua dan panduan diperoleh?
SW: Saya banyak melakukan rujukan terhadap bahan bacaan dari dalam mahupun luar negara. Selain itu, pengalaman ketika di alam persekolahan dan pekerjaan, menambahkan maklumat. Saya pernah dilantik sebagai Penasihat Unit Protokol di Pejabat Pendidikan Daerah Baling dan aktif dengan aktiviti kokurikulum ketika di sekolah dan memberi idea secara tidak langsung hingga terhasilnya buku Pengurusan Majlis dan Acara Rasmi.
BH: Apakah yang menjadi panduan Samsudin dalam menulis?
SW: Pengarah PTS, Ainon Mohd, banyak memberi ilham baru untuk saya menghasilkan bahan bacaan umum yang bersesuaian dengan bidang penulisan. Kedudukan Kampus UiTM, Dungun, yang menghadap pantai, turut mendorong saya menulis. Pihak pentadbiran pula tidak pernah menghalang, malah menggalakkan kakitangan UiTM berkecimpung dalam dunia penulisan. Saya mendapat sokongan kuat, bekas Pengarah Kampus Dungun, Prof Madya Dr Mustafa Md Zin. Ketika saya berkhidmat sebagai Pensyarah UiTM Dungun, masih belum ada kakitangan yang terbabit dalam dunia penulisan. Apabila saya menceburkan diri dalam bidang ini, mereka memberi galakan dan tiada halangan birokrasi hingga saya dikurniai Anugerah Khidmat Cemerlang 2003 dan Anugerah Penyelidik Harapan UiTM 2003 serta menjadi contoh kepada kakitangan mahupun pelajar.
BH: Apakah yang mendorong Samsudin untuk terus menulis?
SW: Perdana Menteri Malaysia menekankan pemikiran kelas pertama untuk membina insan berjaya. Buku yang saya hasilkan lebih kepada cara membina insan yang mantap dan seterusnya membantu merealisasikan wawasan 2020. Minat menulis juga sememangnya sudah ada sejak di sekolah lagi. Masyarakat Malaysia kini masih rendah tahap ilmu pengetahuan dan latihan yang diberikan kadang kala hanya peringkat asas saja. Oleh itu, timbul kesedaran untuk membantu anak bangsa bagi mencapai status negara maju.
BH: Apakah cara yang Samsudin gunakan untuk menarik minat pembaca kerana semangat membaca rakyat Malaysia masih kurang?
SW: Kerjasama antara syarikat penerbitan, badan kerajaan dan media perlu ada dalam melancarkan kempen kesedaran membaca sama ada di bandar mahupun di desa. Media ada fungsi penting dalam menyuntik semangat pembaca dengan menganjurkan kuiz, memperbanyakkan ruangan untuk penulis dan memperkenalkan penulis seperti golongan artis. Sastera kini kurang terbela dan semakin dipinggirkan. Jadi menjadi tanggungjawab bersama rakyat Malaysia untuk mengekalkan bahasa kita, agar tidak pupus. Saya menyampaikan hasil tulisan dengan diselangselikan bentuk cerita dan pengalaman agar ia lebih menarik.
BH: Siapakah golongan sasaran Samsudin ketika menghasilkan buku terbabit?
SW: Saya mengkhususkan buku ini kepada usahawan Bumiputera yang menjalankan perniagaan. Saya berharap pekerja organisasi lebih kreatif dan berjaya. Ia boleh digunakan pengurus yang memerlukan motivasi dan pelajar boleh menjadikannya sebagai bahan rujukan.
BH: Apakah kriteria untuk menjadi penulis? Adakah cukup sekadar minat?
SW: Minat saja tidak mencukupi kerana untuk menjadi penulis, individu itu perlu kreatif dan sentiasa rajin mencari maklumat di samping teori yang kukuh kerana kita mahukan sesuatu yang baru untuk menarik masyarakat membacanya. Kemahiran dalam teknologi maklumat juga perlu. Kita juga perlu sentiasa berfikiran positif kerana dunia penulisan menuntut perjuangan bukan hanya untuk diri malah kepada bangsa dan negara.
BH: Apakah perancangan terbaru Samsudin?
SW: Saya kini terbabit dalam penulisan skrip Hala Tuju Kampus Cawangan: Dari Diari Seorang Pengarah bersama Unit Penulisan Akademik UiTM Shah Alam (Upena). Buku baru saya adalah Mengurus Konferen dan Seminar manakala dalam proses penghasilan adalah 55 Panduan Menjadi Pekerja Hebat.
PROFIL:
Samsudin Wahab
Tarikh Lahir: 31 Oktober 1966
Tempat Lahir: Kulim Kedah
Jawatan: Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Teknologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Terengganu
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains ( Perniagaantani) di Universiti Putra Malaysia (UPM), 1989, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim (1994), Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) (2001) dan calon Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Perkhidmatan Pelanggan di UUM.
Pengalaman: Guru akaun, perdagangan dan ekonomi di Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Panjang, Baling, Kedah dan pensyarah Jabatan Perdagangan di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang.
Anugerah: Anugerah Khidmat Cemerlang 2003 dan Anugerah Penyelidik Harapan UiTM 2003.
Buku: Pengurusan dan Teknologi Pejabat 2003, Mengurus dan Mentadbir Pejabat 2003, Mengurus Majlis dan Acara Rasmi 2003, Panduan Protokol dan Tatatertib Majlis 2004, Belajar Berucap 2004, Panduan untuk Pengurus dan Setiausaha 2005, Panduan, Surat, Laporan dan Dokumen Perniagaan 2005 dan Eksekutif Efektif 2006.