Artikel
Buku tarikan baru Korea
oleh Helmi pada 03 Jul 2006
FESTIVAL Buku Kanak-Kanak Antarabangsa 2006 atau Nambook 006 disertai oleh 66 buah negara. Inilah kali kedua pesta buku tahunan itu diadakan di Nami Island - sebuah pulau kecil yang indah di utara Sungai Han-sungai dan sejak sekian lama menjadi nadi bangsa Korea.
Republik Nami Island - begitu pulau itu mahu dikenali-sehingga para pengunjung harus membeli visa terlebih dahulu untuk menaiki feri ke pulau itu.
Sesungguhnya drama Winter Sonata yang berlatarbelakangan Nami Island telah benar-benar menjadikan pulau tersebut tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Setiap tahun pulau yang jaraknya 63 kilometer dari ibu kota Seoul itu dikunjungi lebih dua juta pelancong. Kebanyakan mereka datang untuk menyaksikan sendiri bekas set penggambaran siri drama Korea yang terkenal hingga ke Malaysia itu.
Tepat sekalilah jika buku, apatah lagi buku kanak-kanak diselitkan sebagai tarikan sampingan untuk ke pulau itu. Sambil berjalan-jalan dan mengambil foto di lorong yang kiri kanannya ditumbuhi pohon lurus di mana Jun-sang dan Yu-jin-dua watak utama Winter Sonata memadu asmara itu, pengunjung akan terserempak dengan tapak pesta buku yang pintu gerbangnya dihias dengan ribuan buah buku yang disusun dengan kreatif.
Nami Island tidaklah besar, hanya sepanjang enam kilometer dan selebar satu hingga dua kilometer sahaja menjadikan Nambook 006 tempat yang perlu dikunjungi.
Pesta buku kanak-kanak itu dianjurkan bersama oleh kerajaan republik Nami Island dengan Korean Book Youth (KBBY) yang bernaung di bawah International Board Book for Youth (IBBY).
Tujuan pesta buku itu adalah untuk menunjukkan kegiatan penerbitan buku KBBY, khususnya dalam mengetengahkan pengeluaran buku negara-negara yang menganggotai IBBY kepada masyarakat Korea.
Sebagai tempat tumpuan pelancong, pesta buku itu diharap dapat mengetengahkan pelbagai jenis bacaan kanak-kanak khususnya, dan dengan demikian jenis buku yang penting itu sentiasa dapat disalurkan kepada mereka dan keluarga.
Kanak-kanak merupakan asas pembentukan generasi pencinta buku, dan penganjuran pesta buku itu diharap dapat menyumbang kepada penyemaian bibit kecintaan buku kepada generasi itu.
Pesta buku tersebut berlangsung selama tiga bulan, iaitu dari 1 April hingga 30 Jun 2006. Pada masa yang lain, pelbagai acara dan pesta kebudayaan diadakan di pulau itu.
Pameran
Namun pameran karya para pengarang Korea dan antarabangsa diadakan sepanjang tahun. Penganjur pesta buku mahu memadukan buku dengan budaya. Mereka yakin bahawa buku dan dunia persuratan akan mampu menempatkan bangsa Korea sebagai salah satu bangsa yang dihormati bangsa lain.
Selain pameran pelbagai jenis buku kanak-kanak daripada 66 buah negara yang disebutkan itu, penganjur turut menyusun pelbagai aktiviti bagi memberikan nilai tambah kepada para pengunjung. Para pengarang buku kanak-kanak Korea datang dari semasa ke semasa untuk menceritakan buku masing-masing.
Kanak-kanak sendiri menyertai sesi dan pertandingan bercerita, di samping pelbagai acara persembahan seperti nyanyian dan drama pendek-semuanya diatur oleh penganjur dengan menyepadukannya kepada kecintaan kepada buku.
Sebagai tarikan lain, pameran fotografi, pameran anak patung, demonstrasi ilustrasi buku, persembahan konsert piano David Gomez dari Sepanyol, pameran pakaian tradisional Korea dan Jepun, demonstrasi membuat kraf tangan, membuat karya seni daripada bahan terbuang, persembahan seni pertahanan diri Capoeira dari Brazil, konsert muzik asli dari Itali, dan pameran budaya Yemen, India, dan Serbia & Montenegro diadakan.
Bengkel
Kanak-kanak juga berpeluang untuk menyertai pelbagai bengkel yang diadakan khusus untuk mereka. Mereka boleh membuat tembikar - daripada menguli tanah liat hinggalah kepada membakar tembikar yang dihasilkannya sendiri-dengan bimbingan pakar. Mereka juga boleh membuat coklat, membina bangunan dengan lego, menjilid buku, dan sebagainya mengikut minat masing-masing.
Para pengunjung dewasa pula boleh mengunjungi gerai demi gerai yang disediakan sambil menyaksikan kreativiti dan kepelbagaian buku kanak-kanak yang dipamerkan. Sesuai dengan kecenderungan bangsa Korea terhadap seni, semua gerai dibina dengan memaparkan kreativiti yang unik dan menarik perhatian.
Di pintu masuk pameran, mereka disambut dengan ribuan buku yang disusun dengan kreatif. Antara gerai buku yang besar memuatkan buku dari negara masing-masing ialah Itali, China, Republik Czech, Australia, dan tentunya Korea sendiri.
Pada setiap minggu, penganjur memilih negara tertentu sebagai hos dan akan mengadakan aktiviti khusus untuk para pengunjung.
Semua buku adalah untuk pameran dan tidak ada jual beli dibenarkan penganjur. Namun, penganjur boleh membeli buku secara simbolik dengan membayar W1,000 (RM3.90) untuk sebuah buku.
Buku tersebut tidak boleh dibawa balik, dan wang yang dibayar itu akan disalurkan kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi membantu kanak-kanak yang tidak bernasib baik di seluruh dunia.
Malaysia tidak ketinggalan mempunyai ruangannya sendiri dalam pameran itu. Namun, yang dipamerkan di ruang Malaysia itu bukanlah buku kanak-kanak, sebaliknya brosur tentang Malaysia yang mungkin dibekalkan oleh pihak kedutaan kita di Seoul.
Sedangkan ruang gerai Singapura dan buku-bukunya lima kali lebih besar, malahan republik itu menaja ruang pintu masuk di pesta buku itu, di samping menaja peraduan melukis untuk kanak-kanak dengan tema Lets Go to Singapore! Dreaming of Singapore.
Jika Malaysia berbangga kerana pernah mempunyai Kampung Buku nun di Sungai Sembilang di Langkawi, Korea harus berbangga kerana Nami Island kini menjadi sinonim sebagai pulau buku, meskipun pesta bukunya diadakan hanya tiga bulan dalam setahun. Siapa kata buku tidak boleh disepadukan dengan pelancongan?
Oleh HAMEDI MOHD. ADNAN