Artikel

Keunikan Kota Buku Paju

oleh Helmi pada 10 Jul 2006

Oleh HAMEDI MOHD. ADNAN


ISTILAH kota buku atau Bookcity di Malaysia muncul ketika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada sebuah majlis anjuran Dewan Industri Buku Malaysia Mei lalu.

Sejak itu beberapa pandangan dan cadangan dikemukakan ke arah merealisasikan konsep kota buku itu.

Tidak kurang pula gesaan dibuat supaya penubuhannya disegerakan, seolah-olah hidup mati perusahaan buku negara bergantung pada kota buku yang dimaksudkan itu.

Saya sendiri bersama wakil dari Universiti Malaya dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia baru-baru ini dihantar ke Korea Selatan untuk menyelidiki industri penerbitannya.

Bagaimanakah Korea dapat membangunkan industri penerbitan yang berakarkan bahasa kebangsaannya? Bagaimanakah negara itu menempatkan dirinya sebagai pasar buku yang kelapan besarnya di dunia selepas Amerika Syarikat, Jerman, Britain, Perancis, China, Jepun dan Sepanyol. Bagaimanakah penterjemahan di Korea berkembang?

Untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut, kami mengunjungi pelbagai institusi, pertubuhan penerbit, penterjemah, penulis, pencetak, penjual buku, dan pastinya Paju Bookcity tidak kami tinggalkan.

Tidak ada kota buku lain di dunia melainkan Paju. Justeru, kami tidak dapat membayangkan apa yang akan kami temui dalam kota yang dijuluki sebagai kota yang mengembalikan kemanusiaan yang hilang itu. Sepanjang perjalanan sejauh 30 kilometer dari kota Seoul ke utara, hanya yang dapat kami bayangkan sebuah dua bangunan tinggi yang menempatkan penerbit atau penjual buku, lalu adalah kedai buku yang mempamerkan buku-buku terbaharu.

Bayangan itu mungkin terpengaruh dengan satu cadangan supaya kota buku di Malaysia nanti ditempatkan di bangunan lama Dewan Bahasa dan Pustaka yang sempit itu.

Nyata bayangan sedemikian meleset sama sekali. Kota Buku Paju sebuah kompleks yang begitu besar menempatkan komuniti budaya penerbitan Korea. Sejak awal lagi, kota itu dirancang sebagai sebuah kawasan industri khusus berkaitan dengan perancangan, pengeluaran, percetakan dan pengedaran buku.

Ini sesuai dengan dasar perindustrian Korea Selatan yang mahu membentuk pengkhususan dalam satu-satu jenis industri.

Fasa kota buku itu pertamanya dipecah-pecahkan kepada 168 lot yang terdiri daripada syarikat-syarikat penerbitan, percetakan dan industri sokongan lain seperti pengedar buku, pengedar kertas, dan pembekal multimedia. Tanah disediakan oleh kerajaan dan syarikat-syarikat yang berkait dengan penerbitan membelinya dengan kadar premium.

Kota ini mahu mengembalikan semula unsur kemanusiaan yang hilang, kata Yi Ku-Ung, Pengerusi Paju Bookcity yang juga merupakan pemilik Youlhwadang, sebuah penerbit buku seni yang utama di Korea.

Kreativiti

Di sini kami mementingkan ruang yang selesa untuk manusia, di mana mereka boleh mencurahkan kreativiti dan pemikiran sebebas-bebasnya, tambahnya lagi.

Paju Bookcity dirancang dengan reka bentuk umumnya oleh sekumpulan pasukan yang diketuai oleh Dr. Hwang Ki-Won dari Universiti Kebangsaan Seoul. Reka bentuk bangunan-bangunannya pula dibuat oleh Min Hyun-Shik dan Seung H-Sang - dua orang pereka bentuk terkenal di negara itu.

Selain itu, 30 pereka bentuk dari Korea dan 10 orang lagi di luar negara terlibat dalam perencanaan kota buku itu. Para pemilik lot di kota itu perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam pembinaan bangunan mereka.

Hasilnya, setiap bangunan yang terbina di kota buku itu mempamerkan keunikan reka bentuknya sendiri.

Bangunan-bangunan itu memaparkan kreativiti yang kita galakkan dalam industri penerbitan kita, kata Yi Ku-Ung lagi.

Namun, benarkah pembinaannya benar-benar menyerlahkan kebebasan?

Tidak, kami diarahkan supaya tidak membina bangunan tinggi di sini, tidak lebih empat tingkat. Ini kawasan keselamatan, tidak jauh dari sempadan dengan Korea Utara. Bangunan tinggi akan mengundang bahaya, tambahnya sambil memandang gunung-ganang yang menjadi perbatasan Korea Utara.

Tetapi inilah hasrat kami. Kalau nanti kami dapat disatukan, bukulah yang akan memainkan peranan utama, kata Yi Ku-Ung dengan yakin bahawa situasi politik yang memisahkan bangsa Korea itu akan terurai juga nanti.

Proses pembinaan Paju Bookcity mempunyai selok-beloknya sendiri dan bukanlah mudah. Ia bermula pada 5 September 1989 apabila sebuah pertemuan bagi membincangkan hal itu diadakan.

Hanya mulai 1 Julai 1994 apabila Presiden Korea mula mengarahkan badan kerajaan memberikan sokongan untuk mempercepatkan pembinaannya, barulah kota buku itu memperoleh nafas.

Pembinaan hanya dapat dibuat selepas 15 Jun 2001 apabila garis panduan reka bentuk binaannya siap. Pada 24 Disember 2003 bangunan utama yang dinamakan Pusat Maklumat dan Budaya Penerbitan Asia dibuka dan bermulalah aktiviti Paju sebagai kota buku yang sebenarnya. Festival Buku Kanak-Kanak Paju diadakan pada tahun itu juga dan menarik lebih 60,000 peserta.

Kami dibawa melawat beberapa tempat utama di kota buku itu. Pusat Maklumat dan Budaya Penerbitan Asia di tengah-tengah kota itu merupakan sekretariat utama kota yang menjadi tempat pertemuan para penerbit dan industri buku. Sebuah dewan konvensyen yang besar menjadi tempat persidangan dan pameran yang berkait dengan penerbitan.

Lot yang paling luas diduduki oleh Booxen - sebuah pusat pengedaran buku yang dimiliki oleh koperasi para penerbit buku Korea. Pengedaran buku di Booxen dijalankan secara elektronik dan pesanan buku dari kedai dapat dipenuhi dalam masa satu hari bekerja sahaja.

Paju Bookcity dilengkapi dengan kompleks membeli-belah dan malahan panggung wayang dan balai polis. Apabila siap sepenuhnya nanti, sebuah kedai buku yang besar akan mempamerkan semua buku yang dihasilkan di kota itu, di samping kawasan perumahan yang khusus bagi kakitangannya.

Yang paling menarik ialah keunikan reka bentuk bangunan-bangunannya. Setiap bangunan mempunyai keperibadiannya sendiri dan dibina dengan mementingkan ciri rekaannya. Benarlah kata Yi Ku-Ung, kota buku ini bukan semata-mata tempat untuk orang buku bekerja, tetapi tempat di mana nilai kemanusiaan yang hilang di kota-kota biasa itu dapat ditemui di sini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025