Perang-Perang yang Benar: Bangkitkan Semangat Jihad (Siri 1)

oleh [email protected] pada 02 Feb 2012

Dalam Islam, perang tidak dimulakan hanya kerana mahu menunjukkan kegagahan. Matlamat perang bukan untuk menguasai sesebuah negara dan mengaut kekayaan. Perang juga tidak dicetuskan hanya kerana mahu membalas dendam.

Peperangan tidak boleh dimulakan dengan sewenang-wenangnya. Tatkala mahu mempertahankan akidah, mahu menegakkan kalimah Allah, dan mahu mempertahankan diri, ketika itu barulah peperangan dibenarkan. Hanya dengan niat yang benar dan dengan cara yang benar dapat menjadikan perang itu satu perang yang benar. 

Novel ini menghimpunkan catatan lengkap empat peperangan yang benar dan masyhur dalam Islam iaitu Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq, dan Perang Khaibar. Keempat-empat peperangan ini dimulakan atas sebab-sebab yang benar, bukan berlandaskan nafsu dan sebab yang palsu.

Dengan gaya penceritaan yang menarik, imaginasi pembaca ditarik masuk ke dalam buku ini dan memasuki sebuah dunia yang berlatar belakangkan padang pasir yang luas. Babak demi babak dalam peperangan ini diceritakan secara terperinci, seolah-olah pembaca sedang menyaksikan peperangan itu dengan mata mereka sendiri. 

Setiap satu peperangan yang diceritakan dalam novel ini ada kisah dan kehebatannya yang tersendiri. Strategi demi strategi sudah dirangka, setiap kemungkinan sudah dijangka, dan muslihat musuh sudah diteka. Para pahlawan Islam melangkah gagah menuju ke medan perang. Mereka berperang kerana mahu mati, sedangkan musuh takutkan mati. Untungnya tentera Islam, kalah ataupun menang mereka tetap dijanjikan syurga. Menang ataupun syahid, syurga tetap menanti.

Inilah catatan perang yang membangkitkan semangat jihad kita semua. Apabila membaca kisah para sahabat dan Rasullah sendiri yang bertempur bermatian-matian di medan perang, jiwa kita bergelojak dan kecintaan kepada para pahlawan Islam semakin menyubur.

 

Dalam siri kedua, pembaca akan dipaparkan dengan babak-babak yang menarik dalam Perang Badar.