Artikel

BM sesuai untuk sains, teknologi

oleh Helmi pada 22 Oct 2004

MERUJUK resolusi Kongres Bahasa Utama Dunia (Klik DBP 18 Oktober, 2004) saya amat tertarik dengan kesedaran yang dinyatakan secara fitrah semua bangsa di dunia maju dalam pelbagai ranah kehidupan termasuk sains dan teknologi melalui acuan sendiri atau bahasa sendiri, iaitu bahasa kebangsaan.

Tepat sekali dikatakan bahasa kebangsaan adalah asas jati diri sesuatu bangsa dan negara dan perlu dilestarikan dalam semua bidang pendidikan termasuk Sains dan Matematik dan kebudayaan serta ekonomi, sains dan teknologi.

Bahasa Melayu dikatakan juga sebagai bahasa rasmi kelima besarnya di dunia yang penuturnya lebih daripada 50 juta, selepas bahasa Inggeris, China, Sepanyol dan Hindi.

Fakta ini adalah sesuatu yang patut diketahui dan dibanggakan oleh setiap rakyat bernama warga negara Malaysia yang benar-benar cintakan tanah airnya sendiri. Apa tidaknya, ada kira-kira 6,000 bahasa di dunia ini dan bahasa Melayu nombor lima.

Seterusnya meneliti usul kesebelas kongres iaitu meminta Kementerian Pelajaran menyemak semula dasar pengajaran mata pelajaran berasaskan Sains dan Matematik agar tidak bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama adalah saranan yang amat tepat dan wajar sekali.

Apatah lagi jika difikirkan bahawa dasar baru itu sekali gus menafikan segala peluang bahasa Melayu digunakan dalam ribuan mata pelajaran berasaskan Sains dan Matematik yang digunakan sebelum ini dengan jayanya pada peringkat sekolah hingga ke universiti dari 1982 sehingga 2002.

Turut menyokong kenyataan resolusi itu ialah satu hasil kajian pihak universiti yang dibentangkan dalam seminar dan memaparkan sebenarnya banyak masalah dan kekangan yang dihadapi di samping permintaan dan harapan banyak pihak khususnya guru dan pelajar yang berharap agar semakan semula dibuat segera.

Ini juga bagi menyahut saranan Perdana Menteri yang meminta dimaklumkan perkara yang benar kepadanya dan pihak atasan, di samping menyeru agar pihak atasan dan pemimpin pula hendaklah bersedia menerima kritikan yang membina dan tidak mengetepikan begitu saja akan kritikan atau cadangan yang diberi.

Justeru, tulisan ini pun bukanlah bersifat dan bertujuan untuk mengkritik, cuma sekadar menyatakan pandangan yang bukan sedikit sebenarnya, yang mungkin tidak sampai kepada pihak atasan di kementerian berkenaan, kerana sama ada tiada peluang atau saluran yang disediakan ataupun jika adapun kita bimbang hanya umpama cerita maharaja dengan pakaian barunya.

Kita amat berharap pihak berkenaan bersikap terbuka mengenai hal ini seperti disarankan Perdana Menteri. Semoga cerita kejayaan bahasa Melayu dalam bidang Sains dan Matematik serta teknologi di negara kita tidak terkubur begitu saja.

Sebelum lebih banyak kesan negatif yang timbul, eloklah berpegang kepada pepatah orang tua-tua atau pepatah lama, jika sesat di hujung jalan kembalilah ke pangkal jalan dan ular menyusur akar tidak hilang bisanya.

ANAK WATAN,
Bangi, Selangor.


http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Rencana/20041019065038/Article/

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024