Artikel

Pengilmuan Bahasa Melayu Agenda Utama

oleh Helmi pada 22 Oct 2004

USAHA memastikan kelangsungan peradaban negara sebenarnya membabitkan sekali langkah memartabat dan memperkasa bahasa Melayu sama ada di arena nasional mahupun antarabangsa.

Itupun kita harus akui ia bukanlah suatu amanah yang begitu mudah dijaga dan dilaksanakan walaupun pada hakikatnya kesinambungan pengisian dan penghayatan terhadap bahasa Melayu daripada generasi dulu, kini dan generasi baru tetap satu aspek mustahak.

Begitu juga pengisian terhadap erti dan nilai kemerdekaan tidak akan dapat terlaksana sepenuhnya andai kata pemahaman dan penghayatan dasar bahasa kebangsaan yang menjadi tunjang pembentukan tamadun kita tidak dapat dimengertikan secara lebih terbuka dan mendalam oleh generasi muda.

Sesungguhnya kegemilangan ilmu sesebuah tamadun itu turut membawa kegemilangan bahasa tamadun berkenaan. Kelangsungannya akan diwarisi generasi yang memiliki daya penghayatan dan erti tanggungjawab yang tinggi dalam usaha memperkasa bahasa dan khazanahnya.

Sehubungan itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini menganjurkan Konvensyen Mahasiswa Nasional 2004 buat kali keempat, bertemakan ‘Dasar Bahasa Dalam Sistem Pendidikan Negara: Mengisi Penghayatan Kepada Generasi Muda’.

Sejajar itu, PKPIM mengemukakan beberapa resolusi di konvensyen itu. Antara lain kami berpendapat, faktor globalisasi yang menghasilkan dunia tanpa sempadan telah menggugat sempadan bahasa sesebuah negara dan mewujudkan cabaran sengit di hadapan kita.

Ia berkaitan bagaimana secara jangka panjang status dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan dapat dimajukan dan dalam masa yang sama penggunaan bahasa Inggeris mahupun bahasa lain sebagai bahasa yang penting dapat diperkukuh seterusnya menjadikan kita berdaya maju dan mampu bersaing.

Memanglah diakui bahasa Inggeris penting demi memperoleh pengetahuan dan sumber kemajuan. Justeru kami bersetuju matlamat untuk menguasai bahasa Inggeris mahupun bahasa asing yang lain dalam usaha mencambahkan ilmu pengetahuan dan membuka ruang yang lebih besar untuk bersaing di peringkat dunia.

Namun, kami tetap berpendapat Dasar Bahasa Kebangsaan terutamanya dalam pendidikan negara haruslah dilaksanakan dengan sepenuhnya dan semurninya serta sama sekali tidak boleh diubah fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama (dominan) dalam semua subjek dan pengajian termasuklah bidang sains, perubatan, teknikal, teknologi, dan matematik.

Di samping itu, dasar ini haruslah dihormati oleh semua peringkat masyarakat di negara ini agar daulat bahasa kebangsaan yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara (Fasal 152) mampu dijayakan dengan telus, tanpa ada gugatan (mempersoal) ‘nilainya’ dan ‘wibawanya’, dilaksanakan secara konsisten, bersungguh-sungguh, dan jujur.

Memang diakui tanggungjawab mengisi dan mendaulatkan bahasa Melayu bukanlah suatu perkara yang enteng dan pelaksanaannya tidak mencabuli nilai dan wibawa bahasa Melayu yang telah dipersetujui sejak dulu lagi yang harus dilihat dan dinilai kembali dari semua sudut sekarang ini termasuklah media massa, politik, hiburan, sosial, ekonomi, perundangan, pendidikan, dan aspek globalisasi.

Tidak syak lagi demi mengekalkan bahasa Melayu sebagai salah satu ‘sendi utama’ negara mahupun di peringkat globalisasi, penilaian semula ‘nilai’ bahasa Melayu sekarang harus dilakukan dan pemurniannya dilaksanakan segera supaya usaha kita menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama Asean pada 2005 dan salah satu bahasa utama dunia di Pertubuhan Bagsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2020 dapat dijayakan sepenuhnya.

Bagaimanapun, tanggungjawab mengisi dan memperkasakannya harus dimulakan dari sekarang lagi melalui semua sektor utama yang ada terutamanya pendidikan, politik, ekonomi, dan sosial.

Oleh itu, adalah perlu bagi pihak yang menggubal dasar pembangunan negara, memastikan pengilmuan bahasa Melayu dijadikan agenda negara dan diberi penghargaan yang sewajarnya.

Dalam perspektif Barat pun, mereka mempromosikan penulis, pemikir dan pengkarya mereka dengan sungguh-sungguh di pelbagai peringkat sehinggalah di peringkat dunia.

Penghasilan karya ilmu dalam bahasa Melayu hendaklah diberikan ganjaran yang sewajarnya dalam sistem kenaikan pangkat di institut pengajian tinggi di negara ini.

Pihak berwajib perlu berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mengadakan sebuah pusat atau institusi penyelidikan dan pemantauan yang berfungsi untuk memantau penerbitan, taraf pembacaan, taraf penulisan, dan penggunaan bahasa Melayu dalam semua sektor awam dan swasta.

Seharusnya juga diwujudkan sebuah dana bagi memajukan bidang penterjemahan buku-buku asing ke dalam bahasa Melayu sebagai usaha meratakan pengetahuan kepada semua masyarakat dan juga memperkaya serta memperkasa pengkaryaan ilmiah bahasa Melayu.

Pelaburan ini sebagai mengimbangi tanggungjawab pemantapan bahasa Melayu dengan lebih teguh seperti pelaburan dalam pengajaran bahasa Inggeris dalam sains dan matematik.

Kejayaan ini telahpun dibuktikan oleh Taiwan yang menjadikan industri penterjemahan buku bernilai RM3.8 bilion setahun.

Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi haruslah berganding bahu bersungguh-sungguh memperkasa bahasa Melayu dalam sektor pendidikan yang meliputi bidang pengajian institusi sekolah dan IPT, pengajaran dan pembelajaran, penggunaannya haruslah dititikberatkan dengan lebih telus dalam situasi formal.

Kedua-dua kementerian itu juga seharusnya berganding bahu dengan DBP untuk menyemarakkan Gerakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara melalui Gerakan Cintai Bahasa Kebangsaan dan Gerakan Tanggungjawab kepada Bahasa Kebangsaan dengan lebih efisien, progresif, dan dinamik agar penghayatan terhadap bahasa kebangsaan benar-benar dapat diselami oleh generasi pelajar dengan sebaik-baiknya.

Sebagai langkah selanjutnya, ada baiknya kerajaan dan IPTS terutama bertaraf universiti menubuhkan Kerusi atau Akademi Pengajian Melayu dalam usaha mengembangkan penghayatan terhadap tanggungjawab dan memahami nilai wibawa bahasa Melayu dengan lebih efektif.

Subjek bahasa Melayu haruslah dijadikan mata pelajaran wajib lulus dan sewajarnya diambil oleh pelajar luar negara seperti dilaksanakan di universiti di Jepun dan Britain.

Begitu juga usaha patut diambil bagi menubuhkan fakulti atau pengajian pengkaryaan dan penterjemahan dalam usaha menghasilkan pemikir intelektual dan penulis yang berwibawa menulis bahan-bahan ilmiah berbahasa Melayu. Di samping itu, fakulti ini mampu menghasilkan penterjemah buku dan sumber ilmiah yang berwibawa serta diiktiraf.

Sukatan bahasa Melayu pada peringkat menengah dan universiti haruslah diisi dengan memasukkan sejarah perjuangan bahasa Melayu agar generasi muda mampu memahami dan menghayati tanggungjawab dalam mendaulatkan bahasa Melayu di samping kepentingan menguasai bahasa-bahasa asing yang lain turut diutamakan.

Sedapat-dapatnya bahasa Melayu dikembalikan fungsinya dalam bidang sains, teknologi, dan matematik atau setidak-tidaknya pelaburan dasar bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik seharusnya mampu memperkasa bahasa Melayu secara realiti dan komited dalam bidang tersebut seiring dengan pelaksanaan dasar yang sedang dijalankan.

Ini boleh dilakukan melalui penterjemahan secara besar-besaran dan penghasilan buku-buku saintifik dan teknologi oleh graduan-graduan yang terhasil daripada dasar bahasa Inggeris dalam sains dan matematik.

Majlis Buku Negara haruslah dihidupkan kembali dengan menggabungkan tanggungjawabnya memperkaya penghasilan buku-buku berbahasa Melayu di Malaysia melalui hasil cipta dan idea yang berwibawa daripada rakyat Malaysia sendiri.

Penggubalan Dasar Buku Negara juga harus dilaksanakan terutamanya membabitkan promosi bahan bacaan ilmiah berbahasa Melayu dapat dilaksanakan dengan baik.

Yang kurik itu sendi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Penulis adalah Setiausaha Agung, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Rencana/20041021090718/Article/

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024