Artikel

Etika Masa Pelajar

oleh Helmi pada 21 Oct 2004

1. Selamatkan masa, kenal pasti ‘pencuri’ masa anda. Lihat jadual waktu yang anda ada. Adakah anda terlebih meluangkan masa pada sesuatu yang tidak penting? sekiranya anda hanya perlukan sedikit masa, kenapa hingga menghabiskan sebahagian besar masa? Katakan anda hilang 30 minit bagi satu kerja tidak penting dan ada tiga tugasan seperti itu. Bermakna, dalam masa sehari, anda sudah ‘hilang’ satu jam setengah. Bagaimana sekiranya tujuh hari, banyak bukan? Oleh itu, kenal pasti daripada sekarang perkara-perkara yang telah ‘pencuri’ masa anda dari sekarang.

2.‘Taati’ jam anda. Jam adalah petunjuk waktu dan perjalanan setiap hari. Anda juga membuat jadual mengikut waktu. Ramai orang tidak menyedari betapa ‘berkuasanya’ jam yang mereka miliki. Jam sebaik-baiknya ‘ditaati’ sekiranya anda ingin berjaya dan cemerlang dalam hidup. Jangan ‘berdalih-dalih’ dengan jam anda dengan menangguh-nangguhkan kerja, lewat, membazirkan masa, tidak tepati janji dan sebagainya.

3. ‘Hormati’ jadual waktu anda. Selain ‘mentaati’ jam, anda juga perlu ‘menghormati’ jadual waktu anda. Anda sudah memerah otak memikirkan jadual yang terbaik, membuatnya dengan penuh motivasi dan penuh keyakinan hendak berjaya dalam hidup. Tiba-tiba anda ingin ‘mempermainkannya’? Di mana letaknya harga diri anda apabila anda ‘memperlekeh’ hasil usaha keyakinan diri anda? Hormatilah diri anda sendiri. Hormatilah jadual waktu anda.

4. Isi masa-masa yang ‘tersembunyi’. Sedar ataupun tidak, terdapat banyak masa yang ‘tersembunyi’ yang boleh dimanfaatkan. Contohnya, ketika anda sedang menunggu bas, perjalanan ke rumah, menunggu rakan-rakan di padang, selang antara dua waktu dan banyak lagi. Apa yang biasa pelajar buat ketika itu? Berbual? Bersembang? Termenung? Dan banyak lagi yang belum tentu mendatangkan faedah kepada diri mereka sendiri. Jangan begitu. Isilah masa-masa ini dengan perkara yang berfaedah. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

5.Jadilah ‘pencuri’ masa. Orang bijak bukan sahaja pandai menggunakan masanya, tetapi juga pandai menggunakan masa orang lain. Bagaimana? Mereka pandai bekerjasama dengan rakan-rakan di sekelilingnya supaya melakukan kerja bersama. Apabila ada yang kelapangan dan membuang masa, dia akan mengagihkan kerja dan bekerja secara berpasukan. Tetapi, ini tidak bermakna anda perlu menjadi pemalas. Mengagihkan tugasan bukan bererti lari daripada tugas. Ia adalah dua perkara yang berbeza.

6. Tukar tabiat masa. Tukar daripada tabiat melengahkan kepada tabiat cekap dan pantas. Daripada pemalas kepada rajin dan bersemangat. Daripada membuang masa kepada memanfaatkan masa. Bagaimana? Binalah sikap baru dalam diri anda. Mulai hari ini, pandanglah diri anda sebagai orang yang menghargai masa. Anda tidak akan menjadi juara sekiranya anda sendiri tidak memandang diri anda sebagai juara. Andalah yang perlu mengiktiraf diri anda sebelum orang lain mengiktirafnya. Oleh itu, pandanglah diri anda sebagai orang yang menepati masa, menghargai jadual waktu, cekap serta cemerlang dalam menguruskan kerja dan waktu.

7. Bantulah orang lain. Memberi bantuan kepada orang lain secara tidak langsung dapat mempertingkatkan kesedaran anda mengenai kualiti masa anda sendiri. Apabila anda menolong orang lain, anda seolah-olah ‘memasuki’ ke dalam masa mereka. Apabila ini berlaku, anda akan dapat membandingkannya dengan masa anda dan kemudiannya berusaha menambahkan kecemerlangan masa anda.

Resipi 19: Membaca dengan Pantas

1. Lihat isi kandungan buku. Gunakannya bagi mendapatkan idea mengenai buku itu. Buat analisis ringkas sama ada buku itu mempunyai kaitan dengan tugasan anda ataupun tidak. Anda akan dapat mengenal pasti semua itu dengan meneliti topik dan subtopik yang ada dalam sesebuah buku. Selain daripada buku, kertas projek, pembentangan dan bahan bacaan lain juga biasanya mempunyai muka surat isi kandungan.

2. Timbulkan persoalan-persoalan awal sebelum membaca. Ajukan soalan pada diri sendiri seperti; buku ini berkenaan apa? Apakah konsep yang diperkenalkan? Siapa yang memperkenalkan? Bagaimana ia berfungsi? Sejauh mana ia diterima pakai? Bagaimana ia diaplikasikan dalam kehidupan? Andaikan jawapan-jawapan yang bermain di kepala anda. Dengan menimbulkan persoalan seperti itu, otak anda akan menjadi lebih ‘bersedia’ bagi menerima maklumat-maklumat yang akan anda peroleh.

3. Buatlah uji kaji keberkesanan bacaan pantas. Lakukan bacaan pantas pada kali pertama dan kedua dengan bacaan biasa. Bandingkan maklumat yang anda peroleh. Ada banyak perbezaan? Adakah maklumat yang tertinggal itu penting? Anda juga boleh meminjam buku daripada rakan anda dan membandingkan kefahaman anda dan dia. Sekiranya hasil kurang memuaskan, anda boleh merancang dan melakukan sesuatu.

4. Bayangkan apa yang anda akan baca. Dengan membayangkan apakah maklumat-maklumat yang bakal anda peroleh, anda akan dapat membaca dengan lebih pantas. Selain daripada itu, anda akan dapat memahami susunan dan bentuk penulisan bahan bacaan itu. Dengan demikian, anda akan lebih ‘selesa’ apabila membuat bacaan pantas. Otak tidak rasa ‘terkejut’ dengan apa yang akan ia terima.

5. Buang tabiat suka mengungkap perkataan semasa membaca. Ini biasa berlaku kepada kanak-kanak yang baru belajar membaca. Tetapi, ada juga orang dewasa yang melakukannya. Biasanya, ada orang membaca dengan kuat bagi mengingati sesuatu. Kadang-kadang, mungkin ianya boleh dibuat, tetapi apabila sudah menjadi tabiat, ia adalah sesuatu yang menyedihkan. Anda perlu tahu, otak boleh bekerja lebih cepat daripada mulut anda. Sekiranya anda hendak membaca dengan pantas, berhentilah mengungkap apa yang anda baca. Diam dan pantas.

6. Baca serumpun perkataan, bukan satu perkataan. Sebenarnya, dalam penulisan, tidak semua perkataan itu penting. Kadangkala ada yang berfungsi sebagai penghias dalam penyampaian. Oleh itu, bacalah perkataan-perkataan yang utama dan imbas perkataan-perkataan yang tidak penting dalam bentuk serumpun. Ini akan mempercepatkan bacaan anda. Pada peringkat awal, mungkin anda berasa tidak selesa. Anda mungkin rasa seperti ‘tertinggal’ sesuatu yang penting. Tetapi sebenarnya, apa yang ditinggalkan itu hanyalah ‘hiasan’ dalam pembentukan ayat. Tinggalkanlah ia.

7. Belek semula. Selepas habis membaca sesuatu topik, buatlah belekan semua perlahan-lahan bagi membuat rumusan berkenaan apa yang anda sudah baca. Kenal pasti semula, adakah anda sudah menemui apa yang anda inginkan. Semasa membuat belekan semula ini, anda mungkin mendapat maklumat-maklumat baru. Jangan tinggalkan ia. Kutiplah bersama anda.

Resipi 37: Persediaan Sebelum Peperiksaan

1. Pastikan tempat dan waktu. Lihat betul-betul tempat dan waktu peperiksaan akan diadakan. Sekiranya anda tidak pasti di manakah tempat itu, anda dinasihatkan supaya pergi melihatnya terlebih dahulu. Jangan nanti pada hari peperiksaan, baru anda sedari yang anda tidak dapat mencari di mana tempat peperiksaan. Sekiranya anda menjumpainya sekalipun, mungkin anda akan berasa penat dan gugup kerana terpaksa berkejar-kejaran mencari tempat yang anda tidak berapa pasti. Ada juga orang berkejar-kejar kerana tersilap melihat waktu peperiksaan. Pukul 9.00 pagi disangkanya 9.30 pagi. Walaupun sempat, mungkin anda akan penat dan panik. Ini semua tidak diperlukan semasa peperiksaan. Dan anda boleh mengelakkannya.

2. Pastikan anda mempunyai semua peralatan. Ini perlu dilakukan paling lewat sehari sebelum peperiksaan bermula. Buatlah satu senarai ringkas dan periksa bekas alat tulis anda. Antara perkara yang biasanya diperlukan adalah pen, pensel, pen warna terang, pemadam, kalkulator dan peralatan melukis (sekiranya perlu). Ada sesetengah mata pelajaran yang membenarkan anda membawa buku yang ditetapkan seperti sifir empat digit dan statut. Apa yang penting, kenal pasti sama ada anda sudah mempunyai kesemua peralatan itu ataupun tidak. Sekiranya tidak, anda masih ada masa lagi bagi mendapatkannya.

3. Ketika persiapan akhir, jangan fokus pada perkara yang anda belum tahu. Tetapi sebaliknya, fokus pada ‘apa yang anda sudah tahu’. Sekiranya anda asyik melihat-lihat bab yang belum anda tahu sehari sebelum peperiksaan, anda akan menjadi panik dan serba salah. Masih belum baca, tetapi hendak baca sudah tidak sempat! Memanglah anda perlu tahu sebanyak mungkin, tetapi sekarang bukan masanya. Kegusaran dan kerisauan hanyalah membuatkan anda ‘hilang’ apa yang anda sudah pelajari. Oleh itu, perteguhkan apa yang sudah pelajari dan jangan biarkan anda ‘melepas’ bagi menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengannya.

4. Jangan belajar bersungguh-sungguh! Janggal bunyinya, bukan? Tetapi, begitulah sepatutnya pada hari sebelum peperiksaan. Elakkan daripada ‘menekan’ diri anda dengan mengulang kaji sehingga larut malam. Walaupun banyak yang anda boleh baca, tetapi sekiranya badan dan otak penat, ia tidak dapat berfungsi dengan baik. Walaupun maklumat yang anda ingini itu ada di dalam otak, ia tidak dapat dikeluarkan kerana penat dan tidak cukup tidur. Sebaliknya, ada sesetengah soalan yang kita tidak ulang kaji, tetapi boleh dijawab sekiranya mempunyai otak yang segar dan waras. Oleh itu, dapatkan rehat yang secukupnya. Anda digalakkan tidur seawal pukul 11 malam sebelum peperiksaan. Selain daripada tidur yang secukupnya, anda perlu pastikan pemakanan yang seimbang dan juga kecergasan fizikal yang baik. Lakukanlah senaman-senaman ringan bagi ‘meregangkan’ ketegangan badan anda.

5. Bangun awal. Sebaik-baiknya bangun sebelum subuh lagi. Dengan ini, anda akan dapat mengambil peluang bertahajud dan bersolat hajat. Pada waktu pagi seperti ini, anda boleh ‘menajamkan’ otak dan fokus dapat dipertingkatkan. Gambarkan anda sedang berada dalam peperiksaan dan latihlah supaya otak benar-benar tenang menghadapinya. Apa yang penting, berdoalah pada Tuhan kerana Dialah yang menentukan segalanya.

6. Tiba awal ke tempat peperiksaan. Berikan peruntukan masa yang lebih untuk sampai ke tempat peperiksaan. Mungkin anda boleh bertolak lebih awal daripada biasa kerana mungkin ada sesuatu yang tidak diduga boleh berlaku. Malang tidak berbau, bukan? Sekiranya lewat, anda akan kehilangan banyak ‘tenaga otak’ yang diperlukan. Berjimatlah.

7. Jangan sertai ‘kelab pintu dewan’. Mereka adalah pelajar-pelajar yang suka berbincang sebelum masuk ke pintu dewan peperiksaan. Mereka akan berbincang-bincang seperti “Bilakah Renaissance berlaku di Eropah?”, “Apakah karya-karya utama Voltaire?”, “Apakah hasil bumi utama bagi negara Scandinavia?” dan banyak lagi. Anda tahu apa akan jadi? Mungkin ada soalan-soalan itu yang anda tidak ketahui dan anda akan berasa risau. Ini kerana telinga anda menjadi begitu peka pada sesuatu yang anda tidak tahu. Anda akan risau dan gelisah. Sekali lagi anda boleh kehilangan ‘tenaga otak’ anda. Teruk, bukan?

Resipi 43: Melangkah ke Menara Gading

1. Mohon mengikut minat anda. Ini peraturan nombor satu. Jangan sekali-kali memilih kursus kerana mengikut kawan-kawan, teman lelaki ataupun suka-suka sahaja. Biarlah anda memilih kerana minat dan cita-cita. Banyak kes pelajar yang tukar kursus walaupun sudah berada di tahun ketiga dan tahun akhir. Dan akhirnya terpaksa masuk ke tahun satu semula. Adakah anda ingin ‘membazirkan’ masa seperti mereka? Oleh itu, pilihlah betul-betul dari sekarang.

2. Memohon mengikut kesesuaian aliran. Sekiranya anda aliran sastera, pilihlah kursus yang sesuai dengan aliran sastera. Begitu juga dengan aliran sains. Ramai pelajar yang layak masuk ke IPT tetapi tidak ditawarkan kerana memohon tempat yang ‘tidak serasi’ dengan alirannya semasa di sekolah menengah. Jangan jadi seperti mereka.

3. Memohon mengikut kemampuan dan prestasi. Anda sendiri yang boleh mengukur kemampuan anda. ketahui subjek yang anda mahir dan juga subjek yang anda lemah. Mungkin markah ujian dan keputusan peperiksaan percubaan boleh dijadikan kayu ukur yang baik. Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.

4. Pilih IPT yang kukuh dan berkredibiliti. Sekarang ada banyak IPT, sama ada awam ataupun swasta. Selidikilah dahulu IPT itu daripada segi perundangan, kelayakan, kewangan, kemahiran dan juga kredibilitinya. Adakah graduannya diterima oleh pasaran? Adakah sijilnya ‘laku’ bagi menyambung pelajaran ke tempat lain? Adakah ia diiktiraf oleh Lembaga Akreditasi Negara? Adakah ia sebuah IPT yang sah?

5. Dapatkan maklumat berkenaan pinjaman dan biasiswa. Sebenarnya, keluarga anda tidak perlu berbelanja besar bagi menghantar anda ke IPT. Cukup sekadar duit poket dua tiga ratus ringgit sahaja. Oleh itu, pastikan anda mempunyai maklumat yang lengkap berkenaan biasiswa dan pinjaman pelajaran. Selain itu, ada skim wang sagu hati bagi mereka yang baru masuk ke IPT sebagai duit poket. Apa yang penting, dapatkan maklumat dan segeralah memohon.

6. Sesudah mendapat tawaran, risiklah IPT itu. Buatlah persiapan mengenai IPT itu sekali lagi. Bagaimanakah suasana di tempat itu? Apakah persediaan yang perlu dilakukan? Bagaimana sistem pembelajarannya? Bagaimana sistem kemasukan? Anda perlu dapatkan maklumat yang lebih terperinci berbanding maklumat sebelum memohon. Tetapi, tidaklah terlalu mendalam, kerana anda akan memperolehnya semasa minggu suai kenal nanti.

7. Lakukan persiapan mental. Ada kalanya, persiapan mental ke IPT ini lebih besar daripada persiapan kain baju untuk ke sana. Kenapa? Kerana banyak kes remaja yang mengalami ‘kejutan budaya dan mental’ apabila tiba di sana. Sekiranya dulu baik, bersopan dan mentaati agama; sekarang asyik berdua-duaan, merokok, ponteng kuliah, boros, melepak dan membuang masa. Oleh itu, bersedialah dengan mental dan hati yang kuat sebelum melangkah ke IPT. Jangan tewas seperti mereka!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024