Artikel

Pelaku ‘Body Shaming’ Bakal Dipenjara!

oleh Abdullah pada 30 Oct 2019

Body Shaming adalah tindakan atau amalan memalukan seseorang dengan membuat komen mengejek atau kritikal mengenai bentuk atau saiz badan mereka.

Jika dahulu, ketika era sebelum adanya media sosial, body shaming selalunya wujud di sekolah dan tempat kerja sahaja. Body shaming adalah buli. Buli memberi kesan yang sangat mendalam kepada mangsa. Jika mangsa tidak dapat mengawal emosi, ia akan memberi efek kepada mereka dalam jangka masa panjang.

Kini, buli bukan lagi hanya tertumpu di sekolah atau di pejabat. Tetapi ia wujud di media sosial. Pengguna Internet lebih cepat memberi komen-komen yang negatif kepada rupa paras seseorang. Orang-orang yang gemuk, tidak cantik dan hodoh selalunya menjadi mangsa kepada body shaming ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu poster yang dimuat naik di media sosial, menyatakan body shaming adalah satu jenayah. Menghina rupa fizikal seseorang di mana-mana perkhidmatan aplikasi boleh didakwa di bawah Seksyen 233 (1), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Perkara ini memberi kesan kepada mangsa dari segi gangguan emosi; hilang keyakinan diri, pemakanan menjadi tidak menentu atau hilang selera makan, kemurungan (depresi), dan sehingga boleh membunuh diri kerana malu.

Pengajaran yang terbesar untuk diri kita sendiri adalah jadilah pengguna Internet yang bijak dan berhemah. Jangan mengutuk atau menghina orang sesuka hati. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak tweet buruk padahnya.

Ketegasan kerajaan dalam mengawal tingkah laku mengguna Internet di Malaysia boleh dipuji. Dengan peruntukan undang-undang ini, pengguna Internet tidak akan sesuka hati mengeluarkan komen-komen yang memalukan orang lain dan juga bersifat menghina.

Denda tidak melebihi RM50 ribu atau penjara tidak lebih dari setahun atau kedua-duanya sekali akan dikenakan kepada pengguna Internet yang melakukan body shaming di mana-mana media sosial.

Sedang viral di sosial media sekarang adalah temubual oleh Malaysia Hari Ini bersama Azfar dan Shazwan. Ketika temubual berlangsung, Azfar membangkitkan kepada panel di sebelahnya yang pernah membuat ejekan dan body shaming terhadapnya di Twitter.

Menjadi pengguna Internet yang bijak dan tidak memalukan orang lain, tidak mengutuk dan tidak mengejek sifat fizikal seseorang adalah perkara yang mulia. Jangan kita merosakkan kehidupan orang lain. Kita tidak tahu dengan komen yang bersifat body shaming ini akan memberikan kemurungan kepada mangsa. Kemurungan boleh menyebabkan mangsa membunuh diri. Jaga-jaga anda mungkin dipenjara.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024