Artikel

Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w Dalam Arena Politik

oleh Abdullah pada 31 Oct 2019

Politik adalah medan yang mendatangkan perselisihan. Sejak dari zaman sahabat Khulafa Ar-Rasyidin lagi, pertelingkahan ini wujud. Malah setelah wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. Perselisihan terus berlaku ketika belum sempat lagi Nabi Muhammad s.a.w dikebumikan. Ketika itu orang mula tertanya-tanya siapakah yang bakal menggantikan orang nombor satu negara pada ketika itu.

Hasil daripada mesyuarat (Syura) untuk melantik siapakah yang bakal menggantikan Rasulullah s.a.w, majoriti bersepakat untuk melantik Abu Bakar r.a. sebagai pemimpin umat Islam (Khalifah) yang pertama. Majoriti memilih beliau berdasarkan hujah semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, Baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam.

Pada ketika itu ada suara lain yang ingin melantik Saidina Ali r.a. kerana beliau adalah keturunan keluarga yang paling dekat dengan Nabi Muhammad s.a.w. Beliau adalah sepupu Rasulullah dan juga menantu, iaitu suami kepada Saidatina Fatimah. Tentangan daripada keluarga Bani Hashim ini berhenti selepas Saidina Ali sendiri membaiahkan Saidina Abu Bakar adalah khalifah umat Islam dan pemimpin nombor satu negara.

Politik sejak dahulu lagi menyaksikan semua orang yang berkepentingan mahukan kuasa. Bagi mereka kuasa adalah segala-galanya. Tetapi tidak pada akhlak Nabi s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w tidak menjadikan politik perkara nombor satu- tetapi yang paling utama bagi Baginda adalah membetulkan akhlak masyarakat Arab pada ketika itu dengan menunjukkan contoh-contoh akhlak yang mulia.

Sebelum Baginda dilantik menjadi Rasul oleh Allah s.w.t ketika umurnya 40 tahun, Rasulullah s.a.w digelar dengan gelaran al-Amin, seorang yang jujur dan boleh dipercayai. Selepas bertahun-tahun tarbiyah daripada Allah s.w.t kepada Baginda, barulah Baginda layak dilantik menjadi Rasul.

Dalam kitab Ar-Rahiq al-Makhtum yang dikarang oleh Syeikh Safiyyur Rahman Al-Mubarakfuri, beliau menulis bagaimana keadaan politik jahiliyyah yang wujud di tanah Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. Kehidupan berkabilah menyebabkan mereka hidup dalam kelompok yang berpuak-puak dan begitu bangga dengan semangat kabilah masing-masing.

Arab sebelum menerima Islam terbahagi kepada beberapa raja yang tersohor dan kabilah-kabilah yang mempunyai kuasa yang kuat. Raja Yaman daripada kalangan Arab Aribah atau kaum Saba’. Raja Hirah adalah orang-orang Parsi yang menguasai Iraq dan kawasan sekitarnya. Raja Syam di Syam (kini Syria) adalah dari keluarga Sulaih bin Hulwan. Orang Rom menggelarkan Syam sebagai Arab Badwi. Terakhir, pemerintahan di Hijaz (iaitu Mekah).

Tulis Syeikh Safiyyur Rahman, “Manusia dibahagikan kepada golongan tuan dan hamba atau pemimpin dan rakyat. Para pemimpin khususnya orang atau kuasa luar memperoleh kekayaan dan hamba hanya mendapat penat dan tertindas.”

“Rakyat umpama ladang yang perlu mengerahkan hasilnya kepada kerajaan. Para pemimpin hanya menikmati keuntungan dan kesenangannya serta apa sahaja yang mereka mahukan. Mereka juga menindas dan menzalimi rakyatnya. Rakyat seolah-olah terkapai-kapai dalam kesengsaraan.”

Kepimpinan Rasulullah s.a.w adalah berpandukan akhlak yang terpuji. Seperti mana di dalam hadis riwayat Ahmad, “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” Politik Nabi Muhammad s.a.w bukanlah politik yang mahukan keturunanya kaya raya dan mengambil alih tampuk pemerintahan. Nabi Muhammad s.a.w juga tidak mengamalkan sistem monarki dan nepotisme. Inilah contoh politik yang paling terpuji.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024