Artikel

Bookiut K-Day

oleh Farah Liyana Nordin pada 15 Aug 2022

PTS Media Group Sdn. Bhd. merai rakan pembaca serta pemenang giveaway dalam sebuah majlis tertutup, Bookiut K-Day yang bertempat di Korea Plaza, Menara Hap Seng, Kuala Lumpur. Bookiut K-Day ini merupakan majlis sulung buat imprin Bookiut yang berlangsung pada 13 Ogos 2022.

Bookiut K-Day dirasmikan oleh Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran PTS Media Group Sdn. Bhd., Puan Shazarina binti Mohd Azmy. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah barisan penulis di bawah imprin Bookiut iaitu Alam Anuar, Husna Anuar, Anis Adanan dan Mira Ishak.

Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran PTS Media Group Sdn. Bhd., Puan Shazarina binti Mohd Azmy dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa PTS Media Group Sdn. Bhd. sentiasa peka dan mengikuti trend-trend yang terkini. Namun begitu, dalam penghasilan sebuah buku, PTS Media Group Sdn. Bhd. akan memastikan bahawa setiap karya yang dihasilkan itu mampu untuk memberikan pengaruh yang positif kepada pembaca.

Justeru itu, PTS Media Group Sdn. Bhd. menampilkan buku-buku di bawah tema Korea yang mempunyai nilai-nilai kebaikan dan pengajaran buat bacaan pembaca muda hingga dewasa.

Bookiut K-Day ini merupakan satu pendekatan untuk merapatkan jurang di antara syarikat dengan masyarakat yang menjadi pendorong dan motivasi buat PTS Media Group Sdn. Bhd. dalam menghasilkan lebih banyak lagi karya-karya yang berkualiti tinggi.

Pegawai Eksekutif Pemasaran PTS Media Group Sdn. Bhd. merangkap pengurus majlis, Cik Puan Syaidatul Syafek. menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan penganjuran majlis ini. Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada tetamu yang hadir. Malah ada tetamu yang sanggup terbang jauh dari Kedah dan Kelantan bagi memeriahkan majlis sulung Bookiut yang berlangsung.

Penganjuran majlis ini telah mengangkat tema k-pop dengan menampilkan pelbagai acara yang menarik. Antaranya ialah demonstrasi pemakaian hanbok yang merupakan pakaian tradisional masyarakat Korea, cabutan bertuah, pertandingan pakaian terbaik dan banyak lagi.

Yang lebih menariknya lagi, para tetamu dihidangkan dengan masakan Korea yang disediakan khas oleh Ommason HQ yang merupakan syarikat makanan Korea asli yang halal di Malaysia.

Dalam majlis berkenaan juga, ‘Bookiuteers’ yang merupakan gelaran bagi rakan pembaca dan penyokong setia buku-buku Bookiut telah diperkenalkan. Diharapkan dengan penganjuran majlis ini dapat mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua belah pihak. Nantikan lebih banyak lagi program dan acara yang bakal dianjurkan oleh PTS Media Group Sdn. Bhd. Jangan lupa untuk ikuti @bukubookiut dan @bukupts di platform media sosial Instagram, Twitter, TikTok dan Facebook untuk mengetahui perkembangan dan info-info terkini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024