Artikel

Borders Malaysia Tidak Terjejas.

oleh Roziyah pada 23 Feb 2011

Borders Malaysia menjelaskan yang rangkaian kedai buku Malaysia itu tidak terjejas dengan kejatuhan rangkaian kedai buku Borders di Amarika.

Ketua Pegawai Operasi Berjaya Books (Borders Malaysia), Yau Su Peng menjelaskan Borders Malaysia merupakan rangkaian kedai buku bebas dan tidak mempunyai apa-apa saham bersama kumpulan Borders Amarika Syarikat. Beliau menjelaskan yang Borders Malaysia akan terus menjalankan tugasnya dalam memberi buku-buku terbaik kepada pelanggan.

Borders Malaysia dimiliki dan diuruskan sepenuhnya oleh Berjaya Books Sdn Bhd. Yau Su Peng dalam kenyataan medianya menjelaskan segala operasi Borders di Malaysia diuruskan oleh pihak pengurusan Borders Malaysia sendiri.

"Borders Malaysia hanya menggunakan nama dan jenama Borders seperti yang dipersetujui oleh Berjaya Books Sdn Bhd. Rangkaian kedai buku Borders Malaysia tidak mempunyai kaitan langsung dengan kenyataan Borders yang memfailkan bab 11 perlindungan Muflis sebelum ini," jelas Yau Su Peng.

Beliau berkata, situasi ini merupakan perkara biasa bagi syarikat francais di seluruh dunia.

"Sebelum ini juga kita dapat melihat beberapa syarikat global yang menggunakan jenama francais menghadapi situasi yang sama. Namun ia tidak memberi kesan kepada operasi dan perniagaan dalam pasaran tempatan," jelas Yau Su Peng lanjut.
Yau Su Peng menegaskan yang Borders Malaysia akan terus bersemangat melaksanakan perancangannya untuk tahun ini.

"Borders Malaysia merancang untuk terus menawarkan buku-buku dan bahan pembelajaran yang berkualiti seperti yang diperlukan pelanggan. Kita akan terus fokus dan meneruskan usaha bagi meningkatkan semangat membaca di kalangan rakyat di Malaysia," jelas beliau lagi.

Sebagai maklumat, Borders Malaysia yang diuruskan oleh Berjaya Books Sdn Bhd menawarkan buku-buku serta bahan pembelajaran yang berkualiti. Borders Malaysia mula membuka perniagaannya pada tahun 2005 di Berjaya Times Square.
Sehingga hari ini, Borders Malaysia memiliki enam rangkaian kedai buku yang bertempat di The Curve, Mutiara Damansara, The Gardens Mid Valley City, Tropicana Citi Mall Petaling Jaya, Bangsar Village II, dan di Queensbay Mall, Pulau Pinang.

Rangkaian Borders di Amarika Syarikat sebelum ini memfailkan Bab 11 perlindungan muflis (Kod Undang-Undang Muflis di Amarika yang membenarkan penyusunan semula hutang) selepas syarikat itu menolak bagi menstrukturkan semula hutangnya yang berjumlah US$500 juta (RM1523.7 juta).

Kejatuhan rangkaian kedai buku kedua terbesar di Amarika itu juga berkemungkinan menyebabkan 20,000 pekerjanya hilang mata pencarian dan mengakibatkan satu pertiga daripada 674 rankaian kedainya di seluruh Amarika ditutup.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025