Artikel

Bual Bicara Bersama Penulis di SIBF 2022

oleh Aina Fasihah pada 30 Nov 2022

Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 (SIBF 2022) bakal membuka tirai tidak lama lagi. Pesta ini berlangsung selama 11 hari bermula dari 1 Disember 2022 dan tamat pada 11 Disember 2022. Lokasi pilihan penganjur kali ini merupakan lokasi baharu iaitu di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam. Lokasi baharu kali dikatakan lebih besar dan boleh memuatkan lebih ramai pempamer dari dalam dan luar negara dan bersedia menerima lebih ramai pengunjung ekoran endemik. Pintu masuk ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor akan dibuka pada jam 10 pagi - 10 malam. Temui kami, pempamer PTS Media Group yang akan berada di reruai N29-N30 dan H61-H62 berhampiran pintu kiri dewan utama.

Menariknya di SIBF 2022 kali ini, pihak PTS dan imprint seperti Penerbit X, Komik-M dan Puteh Press akan menganjurkan beberapa program bersama barisan penulis dan artis Komik-M. Setiap imprint akan memperkenalkan barisan penulis dalam slot berasingan dan membicarakan tentang topik-topik yang berbeza. Kesemua acara ini terbuka kepada semua pengunjung untuk mengambil peluang mengenali barisan penulis yang hebat di sebalik karya mereka yang masyhur.

1. Ramah Mesra Bersama Artis Komik-M - 4 Disember 2022

Acara pertama dimulakan dengan imprint Komik-M pada hari Ahad, 4 Disember 2022. Jika anda pernah membaca siri Ultra Qalif, Lawak Budak Sekolah dan Aku, Kau dan Meow, pasti nama-nama pekomik jemputan ini tidak asing di telinga para peminat Komik-M. Kami menjemput Tuan Ben Wong, Tuan Bophairy dan Froggypapa ke atas pentas utama Pusat Konvensyen MBSA. Mereka akan beramah mesra, berkongsi pendapat dan bertukar cerita tentang isu-isu menarik berkaitan komik untuk dikongsikan kepada pengunjung. Sesi ini akan dijalankan selama satu jam, bermula dari pukul 2 petang hingga 3 petang.

2. Forum Hala Tuju Fiksyen Fantasi Malaysia - 7 Disember 2022

Bukan itu sahaja, imprint Penerbit X turut berkolaborasi dengan penerbit buku fiksyen, Mahakarya yang merupakan sebuah imprint di bawah rumah penerbitan Patriots Publishing dengan topik perbincangan bertajuk Hala Tuju Fiksyen Fantasi Malaysia. Seramai 3 orang penulis fiksyen fantasi Malaysia yang mempunyai buku terbitan Penerbit X atau Mahakarya dijemput untuk beramah mesra di pentas utama Pusat Konvensyen MBSA. Penulis jemputan ialah Puan Sri Rahayu dengan karya Puteri Naga Tiberius dan Gadis Boneka Hadrah terbitan Penerbit X, Encik Awan Wafdan yang menulis karya Hikayat Adiwangsa: Lasykar terbitan Mahakarya, dan Encik Arif Zulkifli yang menulis Magika Puteri Lagenda: Dunia Walinong Sari terbitan Bookiut. Sesi ini akan dikelola oleh Encik Furqan Abid sebagai moderator. Sesi ini akan berlangsung pada hari Rabu, 7 Disember 2022 dari pukul 4:30 petang hingga 5:30 petang.

3. Cinta Limited Edition: Mencintai Dalam Diam - 9 Disember 2022

Selain itu, imprint Puteh Press menjemput Cik Izzati Elya ke pentas utama bagi membawa sesi beliau dan berkongsi sedikit sebanyak tentang buku terbaharu beliau, Muslimah Limited Edition. Sesi beliau akan diadakan pada hari Jumaat minggu kedua pesta buku, 9 Disember 2022 dari pukul 12 tengah hari hingga 1 petang. Cik Izzati Elya akan berbicara tentang Cinta Limited Edition: Mencintai Dalam Diam bersama Puan Fifa Azam sebagai moderator.

4. Rain Or Shine - Rebirth For A New Chapter #2023 - 9 Disember 2022

Pada petang hari yang sama juga akan diadakan program Rain or Shine di Piano Lounge selama satu jam dari pukul 5:30 petang hingga 6:30 petang bersama penulis jemputan, Cik Idayu Mumtaz dan Puan Auni Baharin. Moderatornya pula ialah Cik Najwa Safiyyah. Karya penulis yang diangkat untuk sesi ini ialah Making Art Out of Pain dan Glow Inside & Out terbitan Puteh Press.

Selain itu, meskipun tidak ada acara khusus di atas pentas bagi imprint Bookiut di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022, Bookiut masih menyediakan buah tangan istimewa buat para pembaca dengan membawa dua buah novela baru terbit ke reruai PTS Media Group yang diterbitkan khas sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022, iaitu Miss Obses Sejarah oleh Cik Haryani Kamilan dan Detektif Hantu oleh Sharina Elisa. Dapatkan kedua-dua buku ini di reruai PTS Media Group.

Ayuh penuhkan kerusi di hadapan pentas bagi setiap acara yang akan dianjurkan dan hadirkan diri anda ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 untuk mendapatkan harga promosi sebanyak 15% dengan membeli buku terbitan PTS Media Group di reruai kami bertempat di reruai N29-N30 dan H61-H62. Jumpa di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam, Selangor.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024