Artikel
Buku yang Mengandungi Unsur Teguran Kepada Ibu Bapa
oleh Beluncas Books pada 02 Dec 2022
“Ayah dia macam papa la!” kata anak saya Nuryumna bila saya membacakan buku ini kepada dia. Nak tergelak pun ada tapi lebih kepada tersentap seketika sebabnya anak kecil saya itu seolah-olahnya tahu apa yang diceritakan di dalam buku ini tak mustahil boleh berlaku juga kepada papa dia ni.
Ayah Tidak Patut Makan Banyak merupakan salah satu buku dalam Siri Oh Baru Saya Faham yang diterbitkan oleh @pts.jr . Ia menceritakan tentang Zack, seorang anak yang amat risaukan kesihatan ayahnya En. Zain yang disahkan mengidap penyakit kencing manis kerana tabiat pemakanannya yang tidak sihat. Zack berusaha sedaya upaya untuk memastikan ayahnya mengamalkan gaya hidup sihat demi memastikan kesihatan ayahnya berada dalam keadaan baik.
Satu buku yang mengandungi unsur teguran yang cukup baik kepada ibu bapa dan dalam masa yang sama mendidik anak-anak untuk memahami tentang akibat buruk yang akan berlaku sekiranya kita tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat dan pemakanan yang seimbang. Zack seorang anak yang pintar dan cukup mengambil berat keadaan ayahnya dan dia juga faham jika ayahnya tidak sihat maka tahap kualiti kebahagiaan keluarganya juga akan terganggu. Sesungguhnya, nikmat kesihatan itu lebih dari segala-galanya.
Saya juga turut terkesan dengan isu yang di bawa dalam buku ini, maklumlah ahli keluarga saya dari datuk sehingga ke emak saya mempunyai sejarah kencing manis dan ia memang satu penyakit kronik yang merbahaya. So, marilah kita bersama-sama mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat demi kesejahteraan keluarga kita.
Terima kasih kepada @pts.jr kerana menghantar buku ini kepada saya untuk tujuan ulasan. Bagi ibu bapa yang berminat untuk mendapatkan buku ini bolehlah dapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran anda atau di @sibfselangor yang sedang berlangsung sekarang. InshaaAllah, anda dan anak-anak dapat belajar sesuatu yang bermanfaat daripada buku ini.