Artikel

Buat baik juga boleh berjangkit? - Malaikat Bertali Leher

oleh Aisha Nizam pada 09 Nov 2022

Secara ringkasnya, buku ini mengisahkan episod-episod kecil yang terjadi dalam kehidupan harian seorang pelajar Malaysia yang mengambil jurusan perubatan di salah sebuah universiti terkemuka di bumi Mesir.

Pertama sekali, apa yang menarik mengenai karya anekdot ini adalah tajuk buku yang menimbulkan persoalan. Siapakah malaikat bertali leher? Mengapa perlu menggunakan istilah ‘malaikat’ itu sendiri?

Setelah saya membaca dan mendalami kisah-kisah ringkas yang terdapat dalam buku ini, barulah kita faham apakah yang dimaksudkan dengan ‘malaikat bertali leher’. Tidak perlu menjadi ‘malaikat’ sebenar untuk buat baik. Sekadar berpakaian biasa dan lakukan kebaikan dengan ikhlas dan senyuman.

Penulis muda ini mahu mengajak kita untuk berbuat baik tidak kira di mana kita berada. Hasil garapan penceritaan yang santai namun sampai, kerana diselitkan unsur-unsur lucu dan ada pengajarannya.

Saya tertarik ingin berkongsi salah satu cerita yang terdapat dalam buku ini, yang sedikit sebanyak memberi kesan di hati saya, mengenai “common sense tak common”. Mesej dalam cerita ini ingin menggariskan, jangan senang-senang kita menganggap bahawa orang lain tiada “common sense” kerana kadangkala common sense kita ini berbeza. Setiap orang pasti ada pandangan dan common sense masing-masing.

Dalam ingin menegur, jangan sampai menghina dan mengeji.

Satu hal membuat orang kita mudah lupa, mendabik dada dalam membuat kebaikan. Berbuat baik jangan sampai riak.

Akhir sekali, buku anekdot ini cukup ringkas, padat dan mengandungi seribu satu pesanan, yang mungkin dianggap remeh dalam kalangan masyarakat kita.

Bak kata penulis, “continuous chain of kindness”, jadikanlah keikhlasan berbuat baik, menjadi penyebab untuk orang buat baik juga. Ayuh kita menjadi “malaikat bertali leher” dengan membuat kebaikan yang sederhana dan mudah dalam kehidupan harian kita!

Bagi mendalami hal ini dengan lebih lanjut, dapatkan buku Malaikat Bertali Leher di kedai-kedai buku berhampiran anda atau dalam talian di bookcafe.com.my.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024