Artikel

Duit Boleh Beli Masa

oleh Maisarah Hanim pada 14 Nov 2022

Saya masih ingat perasaan resah gelisah ketika saya menerima khabar bahawa saya perlu bertugas di Pesta Buku Pantai Timur 2022 di Kelantan “Jauhnya Kelantan. 8 jam.” Soalan pertama yang saya tanya pada penyelia saya adalah “saya kena naik kereta ke?” Tergelak kecil penyelia saya dengan persoalan itu. Tenang sahaja beliau menjawab “naik kapal terbang Sarah”.

Bagai bulan jatuh ke riba, akhirnya saya berpeluang untuk menaiki kapal terbang. Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk menaiki kapal terbang. Tidak dapat saya gambarkan keterujaan saya untuk terbang di langit biru sambil melihat cahaya keemasan matahari pagi. Saya bangun seawal jam tiga pagi untuk bersiap-siap ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kerana penerbangan saya ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu adalah pada jam 7:30 pagi.

Pemandangan pagi sewaktu perjalanan
Pemandangan pagi sewaktu perjalanan

“Semua anak kapal bersedia untuk berlepas”, cuak di hati hanya tuhan sahaja yang tahu. Rasa sebak di hati apabila saya melihat ke luar tingkap, saya sudah berada di atas langit dan dapat melihat gerak geri manusia di darat. Perjalanan saya hanya satu jam sahaja. Perkara inilah sebenarnya yang membuat saya berfikir lamanya. Saya hanyalah hamba yang lemah, menumpang duduk di atas muka bumi. Maha Besar Allah yang mencipta langit dan bumi. Sepanjang perjalanan saya ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, saya dapat menghabiskan tiga bab buku Hantu Jarang Gigi. Alhamdulillah, saya tidak mengalami pening kepala sehingga rasa hendak muntah seperti mana saya gagal membaca buku dalam kereta kerana keadaan ini.

Hebatnya kapal terbang ini, dapat memendekkan masa perjalanan dari lapan jam perjalanan di darat kepada satu jam sahaja menggunakan jalan udara. Penyingkatan masa ini amatlah berharga kerana baki tujuh jam itu kita boleh lakukan pelbagai perkara dan badan pun tidak penat. Sebagai contoh, saya tiba awal di Kota Bharu jam 8:30 pagi dan masih sempat menikmati nasi kerabu daging bakar dan sata ikan di satu gerai sarapan terkenal di Pengkalan Chepa sebelum saya ke Balai Islam Lundang untuk Pesta Buku Pantai Timur Kelantan.

Saya juga sempat bergambar di hadapan Pintu Gerbang Pasar Siti Khadijah. Alhamdulillah saya dapat uruskan tiga penulis yang hadir ke program di Balai Islam Lundang dengan lancar. Antara penulis yang dijemput adalah Ustaz Ahmad Shukri, Angel K20, dan Alam Anuar.

sesi ramah mesra bersama penulis
sesi ramah mesra bersama penulis

Kemudian, saya sempat berjalan-jalan ke Kedai Buku SMO di Kota Bharu. Antaranya SMO Suria, SMO Lotus Kota Bharu dan SMO Kubang Kerian.

Bergambar di hadapan SMO Suria
Bergambar di hadapan SMO Suria

Betul kata orang, rezeki tidak pernah salah alamat. Saya sangat bersyukur dan gembira dengan rezeki kali ini. Bagi sesetengah orang, menaiki kapal terbang sudah menjadi rutin. Baik penerbangan domestik ataupun penerbangan antarabangsa. Tetapi untuk yang pertama kali seperti saya, ini umpama mimpi menjadi kenyataan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024