Artikel

Membaca Estim Diri Aras Tinggi Dapat Mencambah Pelbagai Idea dan Maklumat Baru Melalui Pembacaan Yang Aktif

oleh Hadi Muss pada 25 Oct 2022



Estim Diri Aras Tinggi (EDAT) - Cara bina keyakinan, keberanian dan estim diri gaya Rasulullah saw oleh Dr. Nabilah Hasan yang diterbitkan oleh PTS Publishing House adalah sebuah naskhah buku yang telah diringkaskan dan diolah semula untuk bacaan umum dari tesis sarjana kedoktoran penulis yang bertajuk Model Pembagunan Diri Taqdir al-Dzat Menurut al-Hadith. Buku ini menyentuh estim diri melalui kaca mata Islam, yang melihat tajuk perbincangan ini menurut Al Quran dan As Sunnah berbanding perbincangan psikologi arus perdana yang melihat isu estim diri hanya melalui penaakulan lahiriah dan tidak mempunyai piawaian yang konkrit.

Dalam buku ini penulis membahagikan 3 bahagian, bermula dengan pendefinisian estim diri yang dihuraikan melalui ilmu psikologi dan Islam dengan memberi pengenalan estim diri dari kedua-dua sudut dan memberi perbandingan ringkas tentang keduanya. Dalam bab pertama penulis juga mengetengahkan istilah ‘Taqdir al-Dzat’ sebagai istilah fokus untuk memaknai Estim Diri. Al-Dzat pada istilah tadi juga dihuraikan dan dimaknakan sebgai an-Nafs yang berperanan sebagai kata kunci dalam berinteraksi dengan al Quran dan as Sunnah khususnya sumber kajian hadis tematik ini.

Bahagian kedua, penulis menerangkan analisis estim diri mengunakan kaedah hadis tematik yang mengambil karya Imam al Bukhari (Sahih al Bukhari) sebagai sumber. Dalam bahagian ini an Nafs mula dikembangkan dan dikelaskan dalam kod yang dikaji oleh penulis. Melalui analisis tadi, lima asas utama konsep Estim Diri Aras Tinggi dibina dengan mengembangkan istilah an Nafs. Ini termasuk juga dengan menghuraikan intipati an Nafs, fitrah an Nafs dan menghubungkaitkan kesemuanya dengan ciri estim diri yang rendah dan tinggi serta sumber peningkatan estim diri. Huraian pada bab ini memberi gambaran bagaimana estim diri dapat dilihat melalui kaca mata Islam berdasarkan kajian penulis.

Di sini saya ada beberapa buah fikiran yang terlintas semasa proses pembacaan buku.

1. Ilmu hadith menurut ulama tidak terhad kepada hanya hadith sahih vs. maudhu’ (palsu) malahan terdapat lagi pembahagian yang panjang tentang kaedah para ulama berinteraksi dengan status hadith. Maka, perbincangan hadis jika hanya terhad kepada sahih dan maudhu’, maka kerangka pembinaan topik perbincangan akan menjadi sempit. Maka pada pandangan saya kaedah dan kesimpulan dari penulis terhadap topik ini ada potensi untuk dikembangkan dengan lebih jauh.

2. Dalam pembahagian kedua, saya teringatkan berkenaan pembahagian an Nafs (yang tidak disebut di dalam buku) kepada tiga; Nafs Ammarah bi as-Su’, Nafs al-Lawwamah dan Nafs al-Mutma’innah. Tiga pembagian ini ada impak besar besar jika diadun dalam topik ini supaya pembaca dapat memahami pembahagian an Nafs dengan lebih jelas. Melaui konsep ini juga suka saya mengetengahkan pendapat saya terhadap kesimpulan dimensi kedua oleh penulis pada ms 153 berkenaan sifat, tabiat dan aktiviti an Nafs seorang individu yang penulis kaitkan dengan mimpi, monolog jiwa/ dalaman dan ilham yang kelihatan seperti mengeneralisasikan semuanya sebagai perkara mazmumah. Jika tiga pembahagian di atas diketengahkan, pemahaman satu hala kepada pembaca dapat dielakkan.

3. Poin akhir yang ingin saya ketengahkan adalah berdasarkan bahagian ketiga buku mengenai kaedah memahami makna dan sifat diri (ms 237) di bawah premis selawat dan doa hanya terhad kepada apa yang diajarkan nabi Muhammad saw shj. Tidak dinafikan apa yang diajarkan oleh Rasulullah saw, itulah yang terbaik namun, menyatakan bahawa lafaz zikir dan selawat yang dihasilkan oleh ulama secara umumnya (pada fahaman saya) tidak dapat diterima adalah salah. Ini kerana terdapat daripadanya adalah berdasarkan sumber dalil umum. Bahagian ini dapat dikembangkan dengan topik ‘Bid’ah’ namun, tanpa memanjangkan reviu, cukuplah setakat ini.

Membaca buku ini memberi kepuasan pengalaman pembacaan kepada saya kerana dapat mencambah pelbagai idea dan maklumat baru melalui pembacaan yang aktif terutamanya dalam mencari jawapan bagi perbezaan pendapat yang menjuruskan kepada bacaan secara sintopik bersama judul lain. Walaupun perbincangan yang diketengahkan agak berat, saya syorkan buku ini kepada mereka yang gemarkan ilmu psikologi secara amnya dan lebih-lebih lagi penuntut ilmu pengajian Islam secara khasnya.

Akhirnya, terima kasih kepada pihak PTS atas hadiah buku ini. Semoga terus istiqamah menerbitkan karya berkualiti kelas pertama dan bermanfaat sebegini.

View this post on Instagram

A post shared by Hadi Muss (@hadimussss)

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024