Artikel

Industri terjemahan sebar budaya Korea

oleh Helmi pada 03 Jul 2006

Pada tahun 2005, daripada 43,585 judul buku baru yang diterbitkan, 8,937 judul adalah karya terjemahan. Pada tahun 2004, jumlahnya 10,088 judul.

Yang paling banyak ialah buku kanak-kanak dan komik, diikuti buku kesusasteraan, khususnya novel, buku perniagaan, spiritual, khususnya berhubung agama Buddha dan Kristian, dan buku motivasi. Negara yang bukunya paling banyak diterjemahkan dalam bahasa Korea ialah Jepun dengan 42 peratus, diikuti Amerika Syarikat dengan 25 peratus. Negara-negara lain ialah Britain, Perancis, Jerman, China, Republik Czech dan Rusia.

Pada hari ini, Korea merupakan antara negara yang paling aktif dalam pasaran hak cipta antarabangsa. Para penerbit Korea tidak ketinggalan menyertai pameran buku antarabangsa dan disifatkan oleh masyarakat perbukuan antarabangsa sebagai sekumpulan tentera yang mahu menawan hak cipta, khususnya untuk buku-buku laris yang diterbitkan di New York, London, dan Paris.

Para penerbit Korea berlumba-lumba membeli hak cipta karya besar antarabangsa dengan membuat bida yang besar untuk bayaran pendahuluannya.

Publishers Weekly dalam laporannya menyebutkan bahawa keghairahan bangsa Korea dalam penerbitan karya terjemahan ini mencapai kemuncaknya pada tahun 1995 lagi apabila pendapatan perkapita negara itu mencapai AS$12,000. Pada ketika ini, Korea membeli apa sahaja karya yang dikenali di Amerika dengan novel-novel John Grisham, Michael Crichton, Danielle Steel, dan Stephen Hawking serta buku-buku karya guru pengurusan dan motivasi seperti Stephen Covey, Peter Drucker, Philip Kotler, dan Tom Peters menjadi tumpuan.

Karya

Penerbitan karya terjemahan pada hari ini tertumpu kepada karya fiksyen Barat yang mendapat perhatian besar di pasaran antarabangsa. Selain itu, buku-buku perniagaan dan pengurusan, buku motivasi diri dan how-to, dan buku kanak-kanak terus mendapat tumpuan para penerbit Korea.

Buku-buku antarabangsa yang diulas oleh New York Times, USA Today atau Wall Street Journal sering mendapat susulan yang positif daripada penerbit Korea, dan bayaran pendahuluan kepada penerbit asal yang relatif rendah berbanding potensi jualannya menyebabkan minat terhadap karya terjemahan tidak pernah surut. Sejak tahun 2000, bayaran pendahuluan yang dibayar penerbit Korea meningkat daripada AS$1,000-3,000 kepada AS$5,000.

Perhatikan sambutan bangsa Korea terhadap karya terjemahan yang berikut:

* Buku 7 Habit of Highly Effective People oleh Stephen Covey yang diterbitkan oleh Gimm-Young Publishers dapat dijual lebih 1 juta naskhah sejak dilancarkan tahun 1994.

* Buku Simplify Your Life dari bahasa Jerman dapat dijual 200,000 naskhah hanya dalam tempoh setahun.

* Buku Tuesdays with Morrie yang dilancarkan pada 1998 terjual lebih 500,000 naskhah.

* Buku The 80/20 Principle oleh Richard Koch terbitan Book21 Publishing terjual 110,000 naskhah, sementara buku Gung Ho karya Ken Blanchard oleh penerbit yang sama terjual 200,000 naskhah.

* Sebuah penerbit lagi, Minumsa berjaya menjual terjemahan The Three Kingdom sebanyak 12 juta naskhah, Rich Dad Poor Dad (2.1 juta naskhah), enam jilid buku The Lord of the Rings (1 juta naskhah), The Collected Stories of Sherlock Holmes (800,000 naskhah), dan buku The Magic School Bus (1.3 juta naskhah).

Hak Cipta

Selain aktif menerbitkan buku terjemahan sehingga menjadi antara bahasa yang menjadi tumpuan dalam urus niaga hak cipta dunia, Korea turut mengeksport buku atau hak ciptanya ke luar negara, khususnya ke negara Asia lain dan Amerika Syarikat.

Kebanyakan buku Korea yang diterjemahkan ke bahasa asing adalah yang berhubung dengan filem atau drama TVnya yang cukup terkenal di negara Asia lain, termasuk Malaysia, di samping buku-buku panduan komputer dan bahasa-semuanya berkat penyebaran budaya popular Korea atau Korean Wave (hallyu) kepada masyarakat antarabangsa.

Salah sebuah buku Korea yang mendapat sambutan hangat di pasaran asing ialah sebuah buku kanak-kanak-Yellow Umbrella-buku 32 halaman yang dilukis oleh Liu Jae-soo dan disusun oleh Sheen Dong-Il. buku yang dilengkap dengan CD-ROM itu dinamakan sebagai salah sebuah buku terbaik kanak-kanak oleh International Board of Books for Young People.

Buku tersebut juga diulas oleh New York Times Book Review sebagai sepuluh buku kanak-kanak terbaik. Buku Korea lain yang mendapat sambutan di pasaran asing ialah buku computer dan buku tentang agama Buddha.

Dokongan

Untuk menyebarkan budaya popular Korea kepada masyarakat antarabangsa, kerajaan negara itu menubuhkan Korea Literature Translation Institute (KLTI)-sebuah agensi kerajaan yang diletakkan di bawah Kementerian Kebudayaan dan Pelancongannya. Ditubuhkan pada tahun 2001.

Institut tersebut memikul tanggungjawab bangsa Korea untuk mengetengahkan hasil kesusasteraan mereka kepada dunia. Ini dilakukan dengan memberikan geran kepada penterjemah dan penerbit, menyokong pelbagai program antarabangsa yang berkait dengan penterjemahan, menyediakan pelatihan kepada penterjemah, dan memberikan felowship kepada para penyelidik dalam persuratan Korea.

Tanggungjawabnya yang utama adalah menterjemahkan karya-karya kesusasteraan Korea ke dalam bahasa asing supaya dengan demikian, masyarakat antarabangsa akan mengetahui dan memahami budaya dan persuratan mereka.

Bagi KLTI, inilah usaha ke arah pengglobalisasian budaya Korea yang perlu dilakukannya. Visi KLTI adalah untuk menjadikan penterjemahan suatu kunci kepada bangsa Korea untuk memperoleh penghormatan budayanya dalam kalangan antarabangsa.

Sejak beroperasi pada tahun 2001, secara purata 50 judul buku sastera Korea berjaya diterjemahkan ke bahasa asing. Mulai tahun 2006, di samping 50 judul buku sastera, 10 judul buku tentang budaya dan kesenian Korea turut diterbitkan.

Hasilnya, pada hari ini Korea semakin terkenal di kalangan masysrakat antarabangsa kerana budayanya, bukan lagi kerana teknologinya semata-mata.

Banyak yang boleh kita pelajari daripada industri penterjemahan Korea ini.

Oleh Hamedi Mohd Adnan

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025