Artikel
Bunuh Alasan
oleh Roziyah pada 15 Jul 2011
OLEH : HAIRUL FAIZAL ADLI BIN AB GHANI
Bunuh Alasan!
Alasan adalah satu perkara yang hebat di dunia ini. Semua orang memerlukan alasan, sentiasa mencari alasan dan suka mereka alasan. Manusia memerlukan alasan untuk hidup, mencari alasan untuk mempertahankan diri dan suka mereka alasan untuk lari daripada tanggungjawab.
Seorang manusia boleh dibunuh dengan mudah, tetapi satu alasan amat sukar untuk dihapuskan. Satu inovasi sains memerlukan masa bertahun-tahun untuk dihasilkan, tetapi berjuta-juta alasan boleh dicipta dalam masa yang sangat singkat, dan semua orang mampu mencipta alasan. Bahkan, tiada alasan juga adalah satu alasan.
Itulah kehebatan alasan.
Kalaulah kita ada masa untuk mereka-reka alasan bagi setiap perkara yang kita lakukan, tentulah kita juga mempunyai masa untuk memikirkan idea-idea hebat yang dapat menjadikan hidup kita lebih produktif. Tukarkan sahaja alasan kita kepada idea yang hebat. Kalaulah kita ada masa untuk mencari alasan, gunakan masa itu untuk bertindak.
Seterusnya, jikalau kita sangat berani meluahkan alasan-alasan yang kita reka, walaupun alasan itu tidak logik, mengapa kita takut untuk bercakap tentang idea kita? Beranikan diri dan laksanakan idea kita. Idea yang paling hebat adalah idea yang tidak pernah dilaksanakan. Tiada sesiapa yang mentertawakannya, tiada sesiapa yang menentangnya dan tiada sesiapapun yang tahu tentang idea kita. Itulah idea yang terhebat dalam dunia. Satu perkara sahaja yang amat merugikan; idea yang hebat itu berada dalam minda si pengecut. Dia sangat petah menyusun ayat memberikan sejuta alasan, tetapi sangat takut untuk bercakap tentang ideanya.
Setiap perkara ada baik dan ada buruknya. Begitu juga dengan alasan. Ada alasan baik dan ada alasan buruk. Kita sememangnya tidak boleh mengelakkan diri untuk membuat alasan. Jadi, kita wajib membuat pilihan, sama ada mahu membuat alasan baik ataupun alasan buruk.
Sebagai contoh, kita boleh bertanya kepada seorang penulis, apakah alasannya menjadi seorang penulis. Contoh alasan yang baik,
“Saya mahu memandaikan bangsa.”
“Saya mahu menjadi penulis jutawan.”
“Saya mahu menyebarkan idea saya ke seluruh dunia.”
Apakah pula alasan yang buruk? Sungguh susah sekali mahu menyenaraikan alasan yang buruk. Si pencipta alasan akan bermati-matian mempertahankan alasannya. Bersedialah untuk bertengkar dengan orang lain jika kita mengatakan alasannya adalah alasan yang buruk.
Begitu juga dengan kita. Bersedialah untuk mempertahankan alasan kita. Alasan kita adalah prinsip kita. Untuk perkara yang berkaitan dengan gaya, berubahlah mengikut trend. Untuk perkara yang berkaitan dengan prinsip, kita wajib mempertahankannya.
Alasan yang kita ada cukup munasabah dan sangat logik untuk mempertahankan tindakan kita. Itulah anggapan kita. Realitinya, tidak semua orang akan menerima alasan kita, lebih-lebih lagi orang atasan kita.
Satu hari, kita terlambat menyiapkan tugasan yang diarahkan oleh bos kita. Kita dipanggil oleh bos dan dia bertanya,
“Kenapa kamu tidak siapkan tugasan ini dalam tempoh yang saya berikan. Apa alasan kamu?”
Dengan suara yang perlahan dan dengan muka yang cuba meraih simpati, kita menjawab,
“Saya minta maaf, tuan. Tugasan yang tuan beri agak susah. Saya perlukan satu hari lagi untuk menyiapkannya.”
Bos kita segera membalas,
“Kerja yang mudah seperti ini pun kamu tidak mampu buat. Semua tugas yang saya beri kepada pekerja saya adalah kerja yang mudah. Saya bos di sini. Semua kerja yang susah saya sudah buat semuanya.”
Begitulah, logik seorang ketua berbeza dengan logik seorang pekerja. Seorang ketua amat sukar menerima alasan daripada orang bawahannya. Kita boleh memberikan apa-apa alasan, tetapi orang lain yang akan menilainya.
Apabila kita menemui kegagalan, kita akan mencari-cari alasan dan sebab yang menggagalkan kita. Terdapat dua kategori orang yang berbeza dalam mencari alasan kegagalan. Kategori pertama mencari alasan untuk mengenal pasti punca kegagalan dan cuba memperbaikinya untuk mencapai kejayaan. Kategori kedua pula mencari alasan supaya mereka boleh berhenti dan tidak perlu lagi bersusah payah mendapatkan sesuatu yang mereka anggap sebagai mustahil.
Semoga kita semua tergolong dalam kategori yang pertama; pemburu kejayaan. Satu berita yang menggembirakan kita adalah, semua orang yang sedang membaca sehingga ke ayat ini tergolong dalam kategori pertama. Kitalah pemburu kejayaan. Apabila terjerat dengan kegagalan, seorang pemburu kejayaan akan membebaskan diri daripada sebarang alasan.
Kejayaan membebaskan diri daripada alasan samalah seperti kita bebas dan sembuh daripada serangan kanser. Orang yang sentiasa dengan alasan sebenarnya telah diserang kanser alasan. Dengan perlahan-lahan, kanser alasan akan melemahkan keupayaan kita untuk berfikir dan melumpuhkan badan kita untuk bertindak. Kanser alasan adalah penyakit berangkai yang datang bersama kanser kemalasan. Kanser alasan dan kanser kemalasan, itulah pembunuh utama kejayaan manusia.
Kita ada sejuta alasan untuk gagal, tetapi satu alasan sudah cukup untuk berjaya. Alasannya, kita tiada alasan untuk gagal. Kita ada sejuta alasan untuk gagal, tetapi tiada satu pun yang layak menjadi alasan yang terbaik. Jangan berdalih lagi untuk berjaya. Kegagalan bermula dengan alasan dan kejayaan bermula dengan tindakan. Mari bertindak dan menuju kejayaan.
Penulis adalah Editor Perolehan (Bisnes Dan Pengurusan) di PTS Profesional Sdn Bhd.