Artikel
Cabaran BMT dalam Peraduan Komik-M Dapat Sambutan
oleh Roziyah pada 30 Nov 2010
Cabaran menghasilkan dialog lucu komik-M yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi ternyata memberi kesan kepada peminat komik yang menyertai peraduan ini.
Peraduan yang mencabar imaginasi dan kreativiti ini memberi peluang kepada peminat-peminat komik bagi menghasilkan dialog menarik dan lucu menggunakan BMT.
Menurut Pengurus Unit Komik-M, Tuan Wan Zuhairi Wan Zainuddin, setiap minggu dialog lucu yang dihasilkan semakin baik kualitinya.
"Apabila gambar pertama yang disiarkan, sambutannya memang tinggi namun kebanyakan dialog yang dihasilkan tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Namun, apabila kita memberi komen, dialog yang dihasilkan semakin meningkat baik dan menggunakan bahasa Melayu yang betul," jelas Tuan Wan Zuhairi.
Beliau berpendapat, BMT juga mampu membuatkan dialog yang dihasilkan menarik dan membuatkan pembaca ketawa.
"Komik boleh menjadi kelakar bukan hanya melalui bahasa yang digunakan tetapi melalui kreativiti dalam menghasilkan dialog. Contohnya, komik-M yang diterbitkan sebelum ini jelas boleh membuatkan pembaca terhibur dan ketawa walaupun menggunakan BMT.
Menurut Tuan Wan Zuhairi, Peraduan Komik-M yang bermatlamat bagi mempromosikan penggunaan BMT dikalangan pembaca komik semakin tercapai apabila peserta yang mengikuti peraduan ini menggunakan BMT dalam menghasilkan dialog menarik dan menghiburkan.
Tuan dan puan boleh klik di sini bagi mendapatkan maklumat lanjutr peraduan. Pelbagai hadiah menarik disediakan kepada pemenang.