Artikel
Kemenangan di HSPM Bakar Semangat Kusyi Hirdan
oleh Roziyah pada 01 Dec 2010
Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) ke-19 yang berlangsung petang semalam menjadi pembakar semangat kepada Puan Kusyi Hirdan apabila beliau terpilih sebagai pemenang bagi kategori novel Kanak-kanak melalui buku Umairah dan Kuda Putih yang diterbitkan oleh PTS One Sdn Bhd.
Beliau yang terkejut apabila karya beliau diangkat dalam HSPM itu menganggap ia sebagai rezeki dan pengiktirafan yang bernilai kepada beliau sebagai penulis.
"Ini merupakan pengiktirafan yang penting kepada penulis yang menghasilkan karya," jelas beliau.
Selain novel Umairah dan Kuda Putih yang memenangi HSPM, novel beliau yang bertajuk Along Hilang juga turut tersenarai pendek sebelum penilaian pada peringkat akhir.
"Novel Umairah dan Kuda Putih ini terlalu rapat dengan saya. Sebenarnya ia novel berat yang boleh dibaca oleh orang dewasa juga. Walaupun ia mempunyai unsur fantasi namun ia membawa mesej yang berat dan mematuhi hukum syarak," jelas Puan Kusyi.
Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PTS dan editor yang terlibat sehingga terhasilnya novel Umairah dan Kuda Putih.
Selain itu, penulis PTS, Puan Nisah Haji Haron juga menjadi salah seorang penerima anugerah HSPM kategori cerpen melalui cerpen bertajuk "Lemang Nan Sebatang" yang disiarkan di Berita Harian pada 26 September 2009.
Majlis penyampaian HSPM yang berlangsung di Dewan Bankuet, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin yang sekaligus berbesar hati menyampaikan anugerah kepada semua pemenang.
HSPM yang dianjurkan bertujuan memberi pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada para penulis yang menghasilkan karya bermutu serta menggalakkan para penerbit menerbitkan karya sastera yang bermutu dalam bahasa Melayu.
Penilaian ini bukanlah hadiah kepada tokoh tetapi dinilai berdasarkan mutu karya. Karya yang dipilih sebagai pemenang mempunyai kekuatan dari segi persoalan dan keasliannya serta ditampilkan secara matang, pengungkapan estetika bahasa yang seimbang dengan kesan pemikiran, bermoral dan memancarkan inovasi dalam kreativiti.