Artikel

Cara Lelaki Menyatakan Cintanya

oleh Helmi pada 20 Jul 2004

KEBANYAKAN perempuan mahu supaya kekasih ataupun suami mereka selalu memperkatakan, mengucapkan, membincangkan, menyatakan dan mempamerkan emosi cinta mereka secara terbuka, jujur dan tepat kepadanya.

Perempuan yakin, seandainya lelaki mahu mempamerkan cinta dan kasih sayang mereka dengan cara melakukan perkara-perkara seperti itu, maka perempuan percaya barulah mereka berasa bahagia dan puas dengan hubungan percintaan ataupun perkahwinan mereka.

Ramai perempuan mengadu mereka berasa diri mereka seperti tidak dicintai dan tidak disanjung lagi oleh suami mereka. Ramai pula perempuan mengadu mereka menderita batin kerana kurang kasih sayang daripada suami. Sebenarnya kebanyakan perempuan bukan kurang diberi kasih sayang oleh lelaki. Sebenarnya mereka tidak menerima kasih sayang itu dalam bentuk sebagaimana yang mereka mahukan, disebabkan lelaki mempamerkan kasih sayang mereka dengan cara-cara mereka sendiri, tidak seperti cara-cara yang diidamkan oleh perempuan.

Perempuan mahu supaya kasih sayang lelaki disampaikan kepada mereka menggunakan kata-kata dan tingkah laku cinta yang jelas dan tepat. Perempuan mahu supaya sebutan kata “cinta”, “rindu”, “sayang” dan lain-lain bahasa cinta diucapkan dan dibisikkan oleh lelaki ke telinga mereka.

Di televisyen dan surat khabar sekarang, banyak pakar motivasi dan pakar kaunseling rumah tangga menyeru kaum suami supaya belajar mempamerkan kasih sayang mereka kepada perempuan dengan cara yang lebih jelas dan terang, bukan lagi dengan cara sipi-sipi dan tidak langsung, seperti biasanya dalam budaya Asia kita.

Pakar-pakar motivasi itu menyeru supaya lelaki belajar mengucapkan dan membisikkan kata-kata cinta ke telinga kekasih ataupun isteri mereka. Mereka juga menyeru supaya lelaki mempamerkan cinta mereka melalui tingkah laku cinta seperti menyentuh, mengusap, mengurut dan memeluk isteri.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan permintaan supaya lelaki mempamerkan kasih sayang seperti yang dikehendaki oleh perempuan sukar dipenuhi oleh kebanyakan lelaki. Ini bukan setakat masalah lelaki Melayu dan Asia sahaja. Menurut ahli-ahli psikologi, masalah ini adalah masalah biasa di Eropah dan di Amerika. Jangan percaya kepada apa yang dihidangkan di kaca televisyen, itu bukan gambaran sebenar kehidupan majoriti orang Barat. Itu adalah gambaran yang dijual oleh para pembikin filem kepada para penonton.

Mengapakah lelaki sukar hendak memenuhi saranan pakar-pakar motivasi dan kaunseling rumah tangga itu? Faktor pertama ialah perbezaan cara perempuan dan lelaki mengucapkan emosi cinta mereka. Perbezaan ini adalah fitrah psikologi semua manusia, bukan hanya di kalangan orang-orang Melayu.

Adalah fitrah bagi perempuan mengucapkan emosi mereka melalui aktiviti lisan atau mulut. Perempuan mengucapkan emosi mereka dengan cara bercakap-cakap mengenainya. Apabila perempuan berasa suka, mereka akan bercakap; apabila mereka benci, mereka akan bercakap juga. Itulah fitrah komunikasi perempuan. Itulah sebabnya, perempuan lebih banyak bercakap-cakap dan berbual-bual berbanding dengan lelaki. Melalui aktiviti lisan perempuan berpeluang menyatakan pelbagai emosi mereka. Dengan bercakap perempuan akan mendapat kepuasan.

Tetapi lelaki tidak suka mengucapkan emosi mereka dengan menggunakan kata-kata. Sebaliknya mereka mengucapkan cinta mereka melalui aktiviti fizikal. Lelaki mempamerkan rasa cinta dengan melakukan sesuatu untuk orang yang mereka cintai, walaupun mulut mereka membisu. Ini ada kena-mengena dengan asuhan yang diterima oleh lelaki dalam semua budaya. Lelaki diasuh supaya mendapatkan rasa kepuasan melalui aktiviti pencapaian, bukan melalui aktiviti lisan.

Faktor kedua ialah peraturan budaya. Boleh dikatakan, dalam semua budaya, lelaki tidak dibenarkan mendedahkan perasaan mereka secara terbuka. Mereka diasuh dengan cara begini sejak mereka masih kanak-kanak kecil lagi. Sebagai contoh, tidak seperti kanak-kanak perempuan, kanak-kanak lelaki tidak digalakkan menangis.

Lelaki diasuh supaya pandai mengawal emosi mereka daripada dapat dilihat dan diketahui oleh orang lain. Itu dianggap sebahagian daripada sifat-sifat kelelakian tulen. Jadi lelaki dibesarkan dengan asuhan supaya pandai menyembunyikan perasaan mereka. Hampir dalam semua budaya, lelaki yang tidak pandai menyembunyikan dan mengawal emosi diberi tanggapan-tanggapan negatif. Mereka dilabelkan sebagai lelaki yang tidak tulen. Mereka dikatakan pondan, lemah, tidak ada personaliti dan lain-lain lagi. Mereka juga dikatakan tidak matang daripada segi inteleknya.

Lelaki yang gagal mengawal dan menyembunyikan perasaannya di tempat kerja boleh dihukum secara yang keras, yang boleh menjejaskan kemajuan kerjaya mereka. Mereka dicap sebagai emosional, seperti perempuan. Mereka dikatakan lemah. Daripada sudut sosial, mereka tidak akan dilantik menjadi ketua. Mereka juga akan menjadi bahan ejekan dan gurauan.

Faktor yang ketiga ialah lelaki takut kepada risiko peribadi. Kebanyakan lelaki takut hendak mendedahkan emosi mereka kepada perempuan disebabkan perkara itu boleh mendatangkan risiko kepada diri mereka sendiri pada masa depan.

Lelaki tahu setiap kali mereka mendedahkan emosi mereka, sebenarnya mereka mendedahkan sebahagian daripada kelemahan yang ada pada diri mereka. Apabila seseorang lelaki mendedahkan emosinya kepada perempuannya, dia mendedahkan kelemahannya kepada perempuan itu. Lazimnya lelaki tidak mahu melakukan itu. Kebanyakan lelaki tidak mahu mengambil risiko tersebut disebabkan lelaki tahu sudah biasa terjadi di mana perempuan-perempuan menggunakan apa yang mereka tahu berkenaan kelemahan pasangan mereka untuk melukai hati dan mengalahkan pasangan mereka kemudian hari.

Bukanlah perkara yang asing apabila perempuan-perempuan begini mengancam suami mereka menggunakan ancaman-ancaman yang melibatkan risiko kepada emosi suami. Kata-kata begini amat menakutkan lelaki, “Kalau awak kahwin lagi, saya tidak beri anak-anak jumpa awak lagi.” ataupun “Saya akan ceritakan kepada anak-anak apa yang berlaku. Biar mereka benci awak. Biar mereka tahu siapa sebenarnya ayah mereka.”

Begitu juga kata-kata begini amat menakutkan lelaki, “Kalau awak tidak mahu putuskan hubungan awak dengan dia, saya beritahu ketua pejabat awak. Biar awak malu. Rasakan!” ataupun “Saya akan dedahkan skandal awak kepada wartawan.” ataupun “Saya akan pergi ke pejabat awak, biar semua orang tahu.”

Faktor keempat mengapa lelaki tidak mahu mempamerkan emosi mereka ialah mereka sudah diasuh sejak kecil supaya pandai menafikan emosi mereka sendiri. Dalam kebanyakan budaya, lelaki diajar dengan pelbagai cara menyelesaikan masalah peribadi. Secara tradisional, salah satu cara menyelesaikan masalah peribadi yang diajarkan kepada lelaki ialah dengan menafikan perasaan mereka sendiri. Sebagai contoh, katakanlah seorang suami berasa sakit hati kepada isterinya. Bagi menyelesaikan masalah emosi itu, dia menafikan dia sakit hati. Dia berkata kepada dirinya sendiri bahawa perasaan itu tidak ada, ataupun dia tidak patut berasa begitu, ataupun ia bukan suatu masalah, ataupun ia bukan masalah besar yang perlu diselesaikannya.

Lelaki diasuh sejak kecil supaya pandai melupakan sahaja apa sahaja perasaan yang mereka rasakan. Mereka juga diasuh supaya jangan suka melayan perasaan mereka. Caranya ialah dengan berpura-pura mereka tidak mengalami perasaan itu. Satu lagi cara lelaki menyelesaikan masalah peribadi ialah dengan tidak mahu bercakap langsung mengenainya. Lelaki begitu pandai menafikan dan melupakan perasaan mereka sendiri sehingga mereka tidak tahu lagi bagaimana hendak menyatakan perasaan mereka apabila diminta oleh perempuan.

Dalam keadaan begini, perempuan perlu memahami dan berempati kepada lelaki apabila kekasih mahupun suami mereka sukar hendak mengucapkan cinta dan kasih sayang mereka sebagaimana yang diingini oleh perempuan. Tidak pandai mengucapkan kata-kata cinta bukan bererti mereka tidak mencintai puan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024