Artikel

Cinta Daripada Kaca Mata Lelaki

oleh Helmi pada 20 Jul 2004

RAMAI wanita tertanya-tanya, apakah lelaki merasakan emosi yang serupa dengan emosi yang dirasai oleh perempuan apabila mereka bercakap mengenai ‘cinta’? Perkara ini menjadi misteri kepada perempuan disebabkan lelaki tidak suka menerangkan secara terperinci bagaimana perasaan dan emosi mereka apabila mereka itu sedang mengalami rasa cinta.

Pakar psikologi mengatakan, bagi perempuan, cinta adalah sejenis emosi, tetapi ia adalah sebaliknya bagi lelaki. Kepada lelaki, cinta adalah suatu peristiwa, suatu kejadian, bukannya emosi. Setiap peristiwa mempunyai permulaan dan penghujung. Oleh itu, daripada sudut pandangan lelaki, cinta seperti juga apa-apa peristiwa lain, maka cinta juga tentulah mempunyai titik permulaannya dan mem-punyai titik penghujungnya.

Daripada kaca mata lelaki, disebabkan cinta adalah suatu peristiwa, maka sekali dia jatuh cinta kepada seorang perempuan, maka cintanya itu akan terus kekal berada pada tempatnya, iaitu kepada perempuan itu. Tempat cinta lelaki tidak berubah-ubah sampai bila-bila, melainkan apabila berlaku perkara-perkara yang boleh melenyapkan cintanya kepada perempuan itu.

Maka itulah sebabnya, bagi lelaki, apabila sekali dia sudah melafazkan komitmen cintanya kepada wanita, sama ada melalui ikatan janji, tali pertunangan, mahupun melalui pernikahan, maka baginya selepas itu perkataan ‘cinta’ tidak perlu disebut-sebut lagi. Bagi lelaki, sekali dia jatuh cinta, dia tahu cintanya akan terus berada pada tempatnya, iaitu kepada perempuan itu, dan tidak akan berubah-ubah lagi.

Kepada lelaki, sesudah bernikah, tidak ada gunanya dia mengulang-ulang kata-kata ‘cinta’ kalau semata-mata untuk dibisik-bisikkan ke telinga isterinya, seperti yang dulu mungkin pernah diucapkan semasa belum berkahwin. Inilah yang tidak dimengerti oleh kebanyakan perempuan. Berbeza halnya dengan perempuan. Sekali perempuan jatuh cinta, dia mahu terus bercakap-cakap mengenai cintanya dari masa ke masa.

Demikian pula, perempuan mahu terus mendengar kata-kata ‘cinta’ diulang-ulang dan dibisik-bisikkan ke telinganya oleh lelaki yang dicintainya. Kerana memang begitulah cara wanita memupuk cinta dan kasih sayang dengan lelaki. Tidak seperti lelaki, bagi wanita, walaupun dia sudah berkahwin dengan lelaki yang dicintainya itu, dia masih mahu supaya cinta terus dipupuk sepanjang masa, tidak kira siang ataupun malam, sama ada mereka sudah beranak ataupun belum.

Cara wanita memupuk cinta ialah dengan meng-gunakan kegiatan bercakap-cakap dan berbual-bual mengenai ‘cinta’ itu sendiri. Bagi wanita, pusat cinta dan kemesraan perhubungan antara lelaki dan perempuan ialah pada aktiviti bercakap-cakap dan berbincang mengenai cinta. Tanpa aktiviti bercakap-cakap mengenai cinta dan kasih sayang, wanita berasa tiada kemesraan dalam perhubungan mereka berdua. Semakin kerap dia dan pasangannya bercakap-cakap mengenai cinta mereka berdua, semakin dia berasa perhubungan mereka amat mesra.

Namun, bukan begitu halnya bagi lelaki, di mana apa yang berfungsi sebagai pusat cinta lelaki adalah aktiviti-aktiviti fizikal, bukannya aktiviti bercakap-cakap. Daripada sudut pandangan lelaki, pusat nikmat kemesraan hubungan dengan pasangannya pun serupa juga, iaitu aktiviti fizikal. Cara lelaki menjalin dan memupuk perhubungan cinta dengan perempuan adalah dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama perempuan itu, bukan dengan bercakap-cakap dan berbual-bual. Inilah yang tidak difahami oleh kebanyakan perempuan berkenaan cinta lelaki.

Yang membolehkan lelaki mencapai keseronokan, kepuasan dan kebahagiaan bercinta ialah apabila dia dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dengan pasangannya. Bagi lelaki, persahabatan dan percintaan adalah sambungan kepada pelbagai aktiviti yang mereka lakukan bersama-sama. Dalam erti kata yang lain, bagi lelaki, apabila dia dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dengan pasangannya, maka barulah dia dapat bersahabat mahupun bercinta dengan orang itu. Barulah dia dapat mencapai kepuasan mahupun nikmat bersama dengan rakan aktivitinya.

Perempuan perlu memahami cara lelaki mengecap nikmat kemesraan bercinta adalah melalui aktiviti bersama. Apabila lelaki dapat melakukan dengan pasangannya apa yang mereka sukai, maka barulah di situ lelaki beroleh nikmat kepuasan erti cinta. Lelaki tidak mendapat apa-apa nikmat dan kepuasan kalau hanya dengan hanya bercakap-cakap mengenai cinta dengan pasangannya disebabkan daripada kaca mata lelaki, bercakap-cakap bukan suatu aktiviti.

Berdasarkan hakikat ini, apabila perempuan berhasrat membuatkan pasangannya mengecap kepuasan dan nikmat bercinta dengan dirinya, maka dia perlu turut serta melakukan pelbagai aktiviti fizikal yang dilakukan oleh pasangannya itu. Sebagai contoh, ikut bersama-sama membuat kerja-kerja yang sedang dibuat olehnya ataupun ikut sama meminati hobinya.

Ramai lelaki yang meminati aktiviti seperti memancing, bola sepak, menonton gusti di televisyen, ataupun memikat burung tetapi tidak ramai di antara mereka yang mempunyai pasangan yang sama-sama meminati aktiviti tersebut. Keadaan ini mengurangkan rasa nikmat dan kepuasan lelaki itu dalam konteks perhubungan mereka berdua.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024