Artikel

Menambat Hati Lelaki

oleh Helmi pada 20 Jul 2004

DI KALANGAN perempuan lazimnya mereka cuba menarik minat lelaki dengan cara memperbaiki penampilan rupa paras dan bentuk badan dengan menggunakan mekap serta fesyen.

Walaupun lelaki memang mudah tertarik dengan penampilan perempuan tetapi itu hanyalah pada waktu awal-awal perkenalan sahaja. Selepas perkenalan, lelaki mengutamakan personaliti perempuan itu. Jikalau personaliti perempuan itu tidak menarik lelaki, dia tidak akan jatuh cinta dan seterusnya tidak mahu menjalin hubungan yang berkekalan dengannya.

Bagi menambat hati lelaki supaya mahu jatuh cinta dan seterusnya menjalin hubungan yang kekal, salah satu strategi berkesan ialah dengan menjadikan diri mereka sebagai perempuan yang berpersonaliti menarik.

Salah satu sifat manusia ialah mereka hanya suka berkenalan, berbual-bual dan menjalin hubungan dengan orang-orang yang menarik hatinya, meskipun rupa paras orang itu tidak berapa tampan ataupun jelita. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila kita tidak suka berada dekat dengan orang-orang yang tidak menarik minat kita. Begitu juga, kita juga tidak suka bercakap-cakap dan berbual-bual dengan orang yang kita benci.

Bagi menarik minat orang supaya mereka mahu berkomunikasi dengan kita, terlebih dahulu kita perlu membuat mereka tertarik kepada diri kita. Berkenaan daya tarikan, kita tidak akan tertarik kepada semua orang, dan kita juga tidak membenci semua orang. Begitu juga sikap orang kepada kita. Tidak semua orang akan tertarik kepada kita, dan tidak semua orang membenci kita.

Pakar-pakar komunikasi banyak membuat kajian bagi mengetahui apakah faktor-faktor yang mendorong seseorang itu tertarik dengan orang lain. Dengan mengetahui faktor-faktor itu kita dapat meninggikan daya tarikan kita, supaya lelaki yang kita idamkan suka berkomunikasi dengan kita.

Pengetahuan ini sangat besar faedahnya kerana ia mempengaruhi kejayaan seseorang sama ada dalam kerjaya, perniagaan, persahabatan, percintaan dan perkahwinan. Seseorang itu tidak sengaja-sengaja tertarik ataupun benci kepada orang lain tanpa sebab dan begitu juga sebaliknya.

Mengikut pakar-pakar psikologi, ada dua faktor utama yang menyebabkan kita tertarik kepada orang lain. Faktor yang paling penting ialah apa yang disebut sebagai keelokan. Setiap orang mempunyai dua jenis keelokan, iaitu keelokan rupa paras dan keelokan peribadi. Kedua-dua jenis keelokan ini amat penting peranannya dalam semua jenis kejayaan, terutama kejayaan percintaan dan perkahwinan.

Bagi perempuan adalah mustahak supaya mereka menjaga rupa paras supaya kekasih ataupun suami mereka terus tertarik kepada mereka. Namun untuk menjadi orang yang menarik, kita tidak perlu memiliki wajah bintang filem. Kita hanya memerlukan wajah yang biasa-biasa sahaja.

Menurut pakar apabila kita tertarik kepada seseorang, nanti kita akan nampak sifat-sifat orang itu sebagai menarik juga. Inilah faktor yang menyebabkan gejala ‘cinta itu buta’. Apabila kita menyukai seseorang, kita nampak yang baik-baik sahaja pada orang itu. Kita macam tidak nampak sifat-sifatnya yang tidak baik. Walaupun rupa paras orang itu biasa-biasa sahaja, tetapi kita akan nampak dia lebih cantik ataupun lebih tampan daripada yang sebenarnya.

Disebabkan kita menyukai orang itu, maka cara kita berkomunikasi dengannya pun menunjukkan kita suka kepadanya. Kita suka berjumpa dengannya. Kita suka bercakap-cakap dengannya. Kita juga menggunakan gaya percakapan yang positif apabila bercakap dengannya. Kita suka mendampinginya. Kita banyak memujinya.

Seseorang suami yang masih tertarik kepada isterinya suka selalu didampingi oleh isterinya, dan apabila berbual-bual, dia banyak memuji isterinya. Yang sebaliknya juga berlaku. Apabila kita benci kepada orang itu, kita mula nampak semua sifat-sifatnya yang tidak kita sukai. Kita nampak yang buruk-buruk sahaja. Cara kita berkomunikasi dengannya pun mencerminkan keadaan di mana kita nampak yang buruk-buruk sahaja. Oleh sebab itu kita banyak menegur dan mengkritik sikap, fikiran, perbuatan dan peribadinya. Seseorang suami yang sudah tidak tertarik lagi kepada isterinya tidak suka didampingi oleh isterinya, dan apabila bercakap dia banyak mengkritik isterinya.

Menurut pakar-pakar psikologi, apabila kita anggap seseorang itu menarik, kita juga menganggap dia memiliki banyak bakat dan kebolehan. Oleh itu kita banyak memuji bakat dan kebolehannya. Suami yang menganggap isterinya menarik selalu memuji bakat dan kebolehan isterinya. Dia mengatakan isterinya pandai itu dan pandai ini.

Jika kita tidak suka seseorang itu, kita nampak dia seorang yang tidak mempunyai sebarang bakat dan kebolehan istimewa. Oleh itu kita tidak memujinya, malah kita terdorong mengkritik segala kelemahannya. Kajian juga mendapati kita menyukai orang yang pandai berkomunikasi. Disebabkan kita menyukainya, maka kita nampak yang baik-baik sahaja mengenai diri orang itu. Akibatnya kita banyak memujinya.

Semakin banyak kita memuji bakat dan kebolehannya semakin kita tertarik kepadanya. Inilah proses yang lama-lama mendorong kita jatuh cinta kepadanya. Menurut pakar, kita lebih cepat jatuh cinta kepada orang yang kita sukai apabila dia banyak memberi kerjasama kepada kita dalam kerja-kerja sosial dan fizikal. Kita jatuh cinta kepada orang seperti itu disebabkan kita anggap dia amat menarik. Dengan anggapan itu kita suka berdampingan dengannya. Hasilnya kita lebih mengerti dan memahami jiwanya, lalu jatuh cinta kepadanya.

Apabila kita berhasrat memikat hati orang yang menjadi idaman, dia mesti terlebih dahulu mempunyai anggapan bahawa kita seorang yang menarik di matanya. Pertama, belajarlah bercakap dan berbual-bual menggunakan teknik-teknik berkomunikasi yang betul. Apabila dia suka berkomunikasi dengan kita, persepsinya akan berubah dan dia akan anggap kita seorang orang yang menarik. Dengan persepsi yang begitu, dia suka berkomunikasi dan mendampingi kita.

Kedua, banyakkan memberi kerjasama kepada orang itu dalam kerja-kerja sosial dan fizikal. Dalam lain perkataan, sebaik-baiknya kita melakukan banyak aktiviti bersama-sama orang itu. Dengan cara itu kita akan kelihatan lebih menarik lagi di matanya. Pada tahap ini barulah kita mempunyai peluang menambat hatinya supaya jatuh cinta kepada kita.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024