Artikel

Cinta Orang Islam vs. Cinta Orang Barat

oleh Helmi pada 24 Nov 2004

Apa itu Cinta

Imam Ghazali di dalam bukunya Kimia as-Sa’adah (Rahsia Kebahagiaan) mendefinisikan cinta sebagai suatu kecenderungan yang membawa kepada perasaan yang menyenangkan. Ia adalah tarikan pemikiran, kesudian dan kecenderungan kepada sesuatu yang disukai. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah pula menanggapi cinta sebagai sesuatu yang suci, tenang, utuh dan mengasyikkan. Beliau juga mendefinisikan cinta sebagai gelojak perasaan yang muncul apabila orang yang bercinta merasa amat rindu dan terkenang-kenangkan yang dicintainya. Selain itu, beliau turut menganggap cinta sebagai hawa, iaitu kecenderungan berserta nafsu terhadap seseorang yang dicintainya.

Menurut pandangan Imam Nawawi, setiap perkara yang lazat tentu disukai oleh orang yang merasa kelazatannya. Jadi, perkara yang dicintai itu adalah secara tabii memang memiliki kelazatan atau dapat memberikan kenikmatan yang menyebabkan seseorang cenderung kepadanya. Maka yang disebut hubb atau cinta itu adalah kecenderungan tabiat kepada sesuatu yang mempunyai kelazatan, kenikmatan dan menyenangkan.

Ibnu Hazm pula di dalam bukunya yang bertajuk The Ring of the Doves, sebuah epik percintaan yang tulen, menyatakan bahawa realiti percintaan hanya boleh difahami melalui pengalaman peribadi. Menurutnya lagi, cinta tidak pernah dinafikan dalam agama, mahupun dalam undang-undang. Kehadirannya diiktiraf oleh seluruh manusia dan Tuhan. Cuma yang menjadi perhitungan adalah pengamal cinta tersebut, adakah berlandaskan hukum Tuhan, atau semata-mata menurutkan nafsu sahaja. Betulnya cinta terletak pada cara dan perlaksanaannya. Beliau mendefinisikan cinta sebagai kesatuan di antara dua jiwa yang sebelum ini terpisah di alam dunia ini. Lebih jelas lagi, definisi yang telah beliau persembahkan, “Love as a conjunction between the scattered part of the souls that have been divided in this physical world, a union effected within the substance of their origin sublime” atau “Cinta adalah penyatuan kepada roh-roh yang terpisah di alam nyata. Ia adalah penyatuan yang dipengaruhi oleh unsur-unsur kewujudan yang agung”.

Professor Madya Ghulam pula dalam penulisannya yang bertajuk Psikologi Cinta di dalam Pendidikan Islam merakamkan bahawa Muhammad Iqbal, seorang penyajak dan ahli falsafah mendefinisikan cinta sebagai jiwa yang telah disemarakkan, yang mana seseorang meningkatkan dirinya melebihi tahap kebiasaan, menambah kuasa persepsi, mengubat perasaan, meluaskan perasaan simpati, menggambarkan imaginasinya dan yang terpenting menguatkan kebolehan dan kemampuan yang tersembunyi. Kuasa cinta adalah dinamik, sebagai satu desakan yang berterusan bagi seseorang yang mempunyai keyakinan semasa mendepani apa sahaja, juga dapat mengubah mereka supaya menjadi lebih baik daripada apa yang mereka miliki…Cinta adalah indah, mengagumkan dan menyempurnakan kemanusiaan”.

Definisi Cinta oleh Sarjana Barat

Robert J. Sternberg menggambarkan cinta sebagai perhubungan dalam Teori Tiga Segi Cinta atau The Theory of Triangular of Love yang melibatkan komponen keintiman (intimacy), nafsu (passion) dan komitmen  commitment). Menurutnya, cinta adalah hubungan dinamik yang mementingkan kebahagiaan dan persefahaman sepanjang perhubungan cinta tersebut. Komponen keintiman merujuk kepada keakraban, pertalian dan kesatuan perasaan dalam hubungan percintaan. Ia adalah perasaan yang mewujudkan kehangatan dalam percintaan. Sternberg dan Grajek (1984) mengenal pasti sepuluh tanda keintiman dalam pasangan kekasih:
1. Kesungguhan untuk menjaga kebajikan kekasih
2. Menikmati kegembiraan bersama kekasih
3. Mempunyai pandangan yang tinggi terhadap kekasih
4. Boleh bergantung kepada kekasih di saat memerlukan
5. Persefahaman yang mendalam di antara satu sama lain
6. Berkongsi masa dan harta bersama kekasih
7. Menerima sokongan emosi dari kekasih
8. Memberi sokongan emosi kepada kekasih
9. Mempunyai komunikasi intim bersama kekasih
10. Menghargai kehadiran kekasih di dalam hidupnya

Komponen nafsu melibatkan dorongan ke arah hubungan yang romantik, tarikan fizikal dan kemahuan seksual antara pasangan kekasih. Selain itu, ia turut melibatkan estim diri, menguasai diri kekasih atau taat kepada kemahuan pasangannya.

Komponen komitmen pula melibatkan kelangsungan cinta dalam jangka masa yang panjang. Kesungguhan untuk mengekalkan cinta berkait rapat dengan usaha daripada kedua-dua belah pihak untuk memberikan komitmen dalam perhubungan cinta tersebut.

Menurut Theodore Reik, cinta adalah perjuangan untuk menyempurnakan diri, memenuhi ego-ideal yang dicitacitakan. Mortimer Adler mempercayai cinta adalah keinginan yang baik, memikirkan perkara yang baik terhadap orang lain dan mengharapkan yang terbaik untuk mereka. Ia saling berkait-rapat dengan konsep memberi dan menerima. Orang yang tidak pandai memberi tidak akan selamanya mengenali cinta. Sigmund Freud pula mencemari definisi cinta dengan mengkhususkannya kepada impian untuk memenuhi keinginan seksual. Freud melihat cinta sebagai nafsu kebinatangan yang ada pada manusia dan keinginan yang melonjak untuk memenuhinya.

Hari ini kita dikelirukan oleh sarjana Barat yang kerap mengaitkan cinta dengan hubungan fizikal, sama ada cinta
romantik ataupun tarikan seksual. Buktinya adalah jenis-jenis cinta yang dipersembahkan dalam tayangan televisyen dan pawagam, drama dan lakonan terbitan Barat. Definisi cinta oleh sarjana Barat secara amnya melibatkan hubungan sesama manusia, dan jarang sekali menyentuh soal ketuhanan. Pada hakikatnya, konsep cinta yang dihidangkan oleh Barat adalah menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024