Artikel

Erti Cinta

oleh Helmi pada 24 Nov 2004

CINTA adalah pertalian kasih sayang merangkumi aspek
spiritual, emosi, fizikal, intelektual dan sosial antara individu yang terlibat, di mana mereka saling menghargai nilai-nilai peribadi yang dimiliki dan memuliakan perhubungan yang wujud antara satu sama lain. Cinta juga bererti kemahuan, keasyikan, tarikan, kerinduan dan keresahan yang wujud hasil daripada keterikatan perasaan kepada seseorang atau sesuatu.

Cinta adalah penggerak yang menjadikan kita orang yang
terbaik dalam banyak perkara dalam kehidupan. Tidak kurang
juga, cinta boleh merosakkan dan menjadikan seseorang itu
manusia yang sebaliknya.

Sebenarnya terdapat pelbagai definisi cinta. Pada hakikatnya, cinta bukannya satu tetapi beribu. Antaranya
ialah definisi cinta yang dipersembahkan di dalam Quran dan
Sunah yang maksudnya membawa manusia ke arah kepelbagaian cinta. Sarjana Islam dan sarjana barat turut menyajikan pelbagai definisi cinta sebagai wadah untuk mengenali dan memahami hakikat emosi yang penting dan relevan kepada kita.

Definisi Cinta di dalam Quran

Terdapat pelbagai definisi dan pengertian cinta di dalam
Quran. Salah satunya cinta diertikan sebagai kemahuan untuk
berpasangan dalam menikmati keindahan dan kelazatan hidup. Cinta antara lelaki dan perempuan, ibu bapa dan anak, guru dan murid, majikan dan pekerja, nabi dan umat, semuanya adalah cinta berpasangan yang mempunyai pakej khusus dengan bentuk dan jenis cinta yang berlainan. Cinta lelaki dan perempuan sebagai pasangan kekasih dilihat sebagai cinta romantik ataupun cinta berahi (syahwat).

Cinta ibu bapa kepada anak-anak pula adalah cinta tidak
bersyarat yang seharusnya ada sejak kewujudan anak tersebut
di dalam kandungan ibunya. Cinta guru kepada murid membawa kepada keberkatan ilmu dan kemanfaatan yang berpanjangan manakala cinta majikan kepada pekerja mewujudkan suasana harmoni dan kesepakatan dalam memajukan organisasi. Cinta nabi kepada umat membawa kesejahteraan dunia dan akhirat.

Pendek kata, segala jenis cinta ini menjurus kepada matlamat yang satu, iaitu menjadikan manusia mengingati dan
berfikir akan kebesaran Allah sebagaimana yang dinyatakan di
dalam Quran surah az-Zariyat ayat 49, “Dan segala sesuatu
Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati
kebesaran Allah”. Cinta adalah keasyikan, kemahuan dan
keinginan kepada perkara-perkara yang disenangi seperti
wanita, anak-anak, harta kekayaan dan kemegahan dunia.
Kesenangan di dunia yang menjadi impian kebanyakan
manusia adalah bentuk cinta yang banyak menguji kesabaran
dan ketakwaan manusia. Walau bagaimanapun, Allah mengingatkan apa yang di sisi-Nya adalah lebih baik daripada
cinta-cinta keduniaan ini. Allah menyatakan dalam surah Ali
Imran ayat 14, “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia
kepada kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga)”.

Cinta adalah perkongsian kegembiraan dan penderitaan,
yang menuntut kemuliaan hati, kasih sayang dan rasa hormat
kepada orang yang dicintai dengan sepenuh perasaan, jiwa dan
raga. Nabi Muhammad adalah contoh terbaik dalam menumpahkan cinta dan kasih sayangnya kepada umat manusia, seperti yang dinyatakan dalam surah at-Taubah ayat 128, “Sungguh, telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kalanganmu sendiri. Ia sedih dengan penderitaanmu, sangat menginginkan keimanan dan keselamatanmu. Ia sangat penyantun, sangat penyayang”.

Cinta adalah pengorbanan, perkongsian, kesabaran dan
ketaatan kepada yang dicintai. Dalam konteks ini, umat Islam
dituntut untuk melakukan ketaatan kepada segala suruhan
Allah, berkongsi kesenangan dengan orang lain dan sanggup
berkorban harta yang disayangi demi cinta kepada Pencipta.
Allah menyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 177, “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir dan orang yang meminta-minta; dan memerdekakan (hamba sahaya), mendirikan solat, menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang
bertakwa”.

Secara keseluruhannya, cinta yang unggul didefinisikan sebagai cinta yang tulen kepada pencipta segala cinta, iaitu Allah. Cinta yang tulen ini lahir daripada orang beriman yang mencintai Allah dengan sepenuh hati dan perasaan, bersikap lemah lembut dan saling kasih-mengasihi sesama manusia. Allah telah menyatakan di dalam Quran surah al-Maidah ayat 54, “Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai
mereka dan mereka pun mencintai-Nya, bersikap lemah lembut
terhadap orang mukmin dan bersikap keras terhadap orang-orang kafir, berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah
Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”.

Definisi Cinta dalam Sunah

Selain daripada pengertian yang terdapat di dalam Quran,
perlakuan yang membawa kepada kecintaan yang hakiki digambarkan dengan jelas dalam beberapa sunah Nabi
Muhammad. Cinta mengikut sunah Rasulullah adalah mengutamakan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi
manusia lain. Dalam riwayat Tirmidzi dari Ibnu Abbas, Nabi
Muhammad berkata, “Cintailah Allah kerana Dia yang
mencurahkan nikmat-nikmat-Nya kepadamu; dan cintailah
aku (Nabi Muhammad) kerana mencintai Allah dan cintailah
kaum keluargaku kerana mencintai aku”.

Dalam hadisnya yang lain riwayat Muslim daripada Abu
Hurairah dan Ibnu Abbas, Nabi Muhammad berkata: “Tidak
akan dikatakan beriman (dengan sempurna) seseorang di
antara kamu, sehingga aku lebih dicintai daripada anaknya,
orang tuanya, dan seluruh manusia pada umumnya”.

Cinta juga bermaksud saling menyebarkan salam kepada sesama
Islam. Salam adalah ucap selamat dan kebaikan kepada orang
yang kita temui dalam perjalanan atau di mana-mana sahaja.
Menyebarkan salam akan mengukuhkan silaturahim (tali persaudaraan), membina perkenalan dan persaudaraan baru.
Ucapan “ Assalamua’laikum warahmatullahi wabarakatuh”
adalah suatu bentuk doa dan sapaan yang dapat menyenangkan
hati pendengar dan memuliakan mereka yang ditemui. Nabi
Muhammad berkata dalam hadis riwayat Muslim, “Demi Allah yang diriku berada ditangan-Nya, tiadalah kamu masuk syurga
sehingga beriman, dan tiadalah kamu beriman sehingga kamu
saling cinta-menyintai. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu
sesuatu, jika kamu mengerjakannya, nescaya kamu akan saling
cinta-menyintai? Sebarkan salam di antara kamu”.

Cinta adalah saling berhubungan, kunjung-mengunjungi
dan ziarah-menziarahi. Dalam erti kata yang sebenar, cinta
memelihara hubungan silaturahim sesama manusia. Hubungan silaturahim penting kerana ia berkait rapat dengan
hubungan manusia kepada Allah. Imam Tirmidzi dan Abu
Daud meriwayatkan dari Abdur Rahman bin Auf, Rasulullah
berkata, Allah menyatakan dalam hadis Qudsi, “Akulah Allah!
Akulah Yang Maha Pengasih! Akulah yang menciptakan kasih
sayang. Salah satu asma’Ku adalah merupakan pecahan dari
kasih sayang itu ( ar-Rahim). Dan siapa yang menyambung
perhubungan dengan kasih sayang (bersilaturahim) maka Aku
akan menyambung hubungan dengannya. Siapa memutuskan
tali kasih sayang, maka Aku akan memutuskan hubungan
dengannya”.

Kecintaan yang sebenar adalah cinta yang lahir kerana
merasai kebesaran Allah yang menciptakan cinta tersebut.
Cinta yang disaluti dengan keimanan dan ketakwaan, iaitu
cinta sesama manusia yang membawa kepada keredaan dan
mendapat keberkatan dari Allah. Dinyatakan dalam hadis
yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Pada hari kiamat
Allah akan berfirman: Di manakah orang yang saling
mencintai kerana kebesaran-Ku, kini Aku naungi (mereka) di
bawah naungan-Ku pada saat di mana tiada naungan kecuali
naungan-Ku”.

Sehubungan dengan ini, Syeikh Ahmad Ridha’ Hasbullah di
dalam bukunya yang berjudul Taqarrub Ilallah atau
Mendekatkan diri kepada Allah menekankan bahawa cinta
atau mahabbah kepada Allah dan Rasul-Nya dan cinta sesama
manusia semata-mata kerana Allah akan melahirkan
kenikmatan spiritual ataupun kelazatan dalam iman, sesuai
dengan keterangan Rasulullah dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim, “Tiga perkara, siapa yang memilikinya akan
merasakan kelazatan iman, iaitu mencintai Allah dan Rasul-
Nya lebih daripada yang lain, mencintai sesama manusia
semata-mata kerana Allah, dan benci kembali kepada
kekafiran setelah diselamatkan Allah seperti bencinya
dimasukkan ke dalam api neraka”.

Apa yang telah dipaparkan di sini adalah sebilangan kecil
definisi cinta yang telah digarap daripada Quran dan sunah.
Sebenarnya terdapat ratusan lagi pengertian cinta yang belum
diterokai, dan menuntut penerokaan oleh mereka yang benar-benar ingin mengungkai hakikat cinta yang telah
dianugerahkan oleh Allah. Secara amnya, cinta di dalam
Quran dan sunah menjemput para Muslimin dan Muslimat
untuk mencintai Allah dan Rasulullah, di samping
memperkembangkan kehebatan cinta itu kepada manusia dan
ciptaan-Nya yang lain.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024