Artikel

Mengenali Pembelajaran Orang Dewasa

oleh Helmi pada 24 Nov 2004

Mengenali Pembelajaran Orang Dewasa

Pendahuluan
Kertas kerja ini membincangkan suatu fenomena yang berlaku dalam sesebuah organisasi masyarakat iaitu pembelajaran dewasa. Sebelum membincangkan perkara ini dengan lebih jauh, kita perlu mengetahui apa yang dikatakan dengan dewasa dan pembelajaran.

Ramai juga yang masih keliru dalam membezakan antara makna pembelajaran dan pendidikan. Semua pendidikan adalah membabitkan proses pembelajaran tetapi tidak semua proses pembelajaran itu adalah berkaitan dengan pendidikan.

Orang dewasa sering kali ditakrifkan berdasarkan faktor umur mereka. Namun, umur bukanlah menjadi ukuran bagi seseorang itu untuk belajar. Oleh itu, kita tidak boleh membuat paradigma sendiri seseorang individu itu dewasa pada umur yang tertentu. Sesungguhnya selagi ilmu itu ada sesiapapun boleh mempelajarinya.

Menurut Knowles (1981), orang dewasa juga mempunyai keinginan untuk bertindak ke arah kendiri apabila mereka semakin matang walaupun ada kalanya mereka bergantung pada orang lain. Mereka juga berusaha untuk cuba menguasai sesuatu pengetahuan atau kemahiran untuk disesuaikan dengan kehidupannya.

Menurut Gordon G. Darkkenwald dan Sharan B. Merriam (1982) dalam bukunya Adult education foundations of practice, pembelajaran dewasa adalah suatu proses yang dilakukan oleh manusia yang mana dikelaskan dewasa ataupun mempunyai status dewasa secara sistematik ataupun sebaliknya yang seterusnya akan membawa perubahan dalam pengetahuan, sikap, nilai atau kemahiran.

Siapa itu Pelajar Dewasa?

Pelajar dewasa adalah individu yang mampu berfikir secara waras. Mereka juga mampu membezakan perkara yang baik mahupun buruk. Selain itu, corak pemikiran mereka adalah lebih matang berbanding dengan remaja sekali gus melahirkan idea-idea yang bernas dan memberi keuntungan pada mereka. Di samping itu, setiap keputusan yang dihasilkan memberi manfaat pada dirinya, masyarakat dan juga institusi. Ciri-ciri fizikal yang dapat dilihat pada pelajar dewasa ini adalah keperluan spiritual dan biologikal atau dalam erti kata lain struktur badan mereka lebih menonjolkan kematangan. Minat mereka juga bersifat tetap dan mempunyai corak pembelajaran yang berbeza-beza.

Antara ciri utama yang dapat dilihat tentang pelajar dewasa ini adalah mereka sering mempelajari sesuatu melalui pengalaman yang mereka lalui. Mereka juga sering mengaitkan pengajaran baru dengan pengalaman yang sedia ada pada mereka. Dengan cara ini mereka dapat meningkatkan status ilmu mereka. Sebagai contoh mereka turut mempelajari bidang informasi teknologi dan secara tidak langsung mereka akan cuba mengaitkan dengan pengalaman yang sedia ada. Mereka juga lebih gemar menonjolkan bakat serta inginkan penghormatan daripada masyarakat. Namun begitu tidak dinafikan mereka juga kadangkala bergantung kepada orang lain.

Teori-teori Pembelajaran Orang Dewasa

Pelbagai teori sudah dikemukakan oleh para sarjana berkaitan dengan pembelajaran orang dewasa. Teori-teori yang di-kemukakan ini membolehkan kita mengetahui keperluan dan motif sebenar pembelajaran yang dapat mengubah seseorang itu. Teori-teori yang dikemukakan terlalu banyak. Justeru teori-teori ini dibahagikan kepada beberapa teori pembelajaran orang dewasa yang utama.

Teori behaviouris

Antara para sarjana yang memberikan idea dalam teori ini adalah Thorndike, Pavlov, Watson, Guthrie, Hull, Tolman dan Skinner. Menurut teori yang berorientasikan tingkah laku ini, pembelajaran boleh membentuk tingkah laku yang boleh menyokong ke arah perubahan kendiri. Konsep teori ini adalah merangsang gerak balas, pengubahsuaian tingkah laku, kecekapan asas dan kemahiran penuh dalam sesuatu pembelajaran. Kaedah latihan dan pengukuhan dipraktikkan dalam pembelajaran tersebut. Teori ini sebenarnya lebih kepada perubahan tingkah laku seseorang itu dalam membentuk persekitaran pembelajaran.

Teori kognitif

Antara para sarjana yang telah memberikan idea dalam teori ini adalah Koffka, Kohler, Lewin, Piaget, Ausubel, Bruner, Gagne. Teori kognitif menyatakan manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun dan mengeluarkan semula pengalaman mereka. Konsep teori ini ialah menggunakan prinsip ulangan dan menggunakan perbandingan analogi dan aplikasi. Teori ini lebih kepada penggunaan pemikiran seseorang bertujuan membentuk struktur kognitif dalam ingatan dan menyusun segala pengalaman dan menyimpannya dalam ingatan. Ia adalah suatu proses mental dalaman.

Teori humanisis

Berlainan pula Maslow dan Rogers yang mengutarakan teori humanisis. Menurut mereka pembelajaran adalah menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan kendiri serta perkembangan dan penyempurnaan kendiri. Teori ini bersifat kemanusiaan yang mana pembelajaran mengalami kebebasan arah kendiri, terbuka, bekerjasama dan melibatkan perasaan. Kaedah seperti tugasan kumpulan atau perbincangan secara berpasukan bertujuan mengeratkan hubungan sesama ahli.

Teori pembelajaran sosial

Bandura dan Rotter pula mengemukakan idea mereka dalam teori pembelajaran sosial. Menurut Rotter, “Kebanyakan tingkah laku manusia adalah berkait rapat dengan persekitaran yang penting dan berinteraksi sosial dengan orang lain”. Menurut teori pembelajaran sosial, kaedah pembelajaran adalah secara berinteraksi dan pemantauan terhadap orang lain daripada segi sosial. Selain itu, pembelajaran adalah interaksi antara manusia, persekitaran dan tingkah laku.

Di atas hanyalah beberapa teori sahaja yang sering diperkatakan oleh para sarjana. Masih banyak lagi teori yang wujud seperti teori progresif dan liberal.

Kenapa Orang Dewasa Belajar?

Setiap individu mempunyai tujuan atau matlamat tertentu dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Matlamat utamanya adalah untuk mendapat sesuatu ganjaran seperti mana yang dikehendaki oleh diri masing-masing. Walaupun begitu, ia terpulanglah kepada diri individu masing-masing sama ada baik ataupun buruk niat hati mereka. Akan tetapi bagi orang dewasa, mereka meneruskan pelajarannya mungkin untuk kepentingan dirinya, keluarganya, masyarakat ataupun negaranya. Walaupun demikian, hakikatnya terdapat banyak sebab yang mendorong orang dewasa ingin belajar semula seperti yang dinyatakan di bawah.

Sebagai tuntutan

‘Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad’ adalah salah satu mutiara kata yang menuntut setiap insan yang hidup di dunia supaya mencari ilmu sebanyak mungkin. Ia menunjukkan ilmu pengetahuan itu sangat penting kepada setiap individu. Dalam erti kata lain, menuntut ilmu itu adalah satu proses berterusan yang dituntut oleh agama. Setiap orang perlu mencarinya sendiri kerana ilmu itu luas ibarat sebuah lautan.

Keperluan

Orang dewasa belajar kerana hendak memenuhi keperluan hidup masing-masing. Dengan adanya ilmu pengetahuan, ia dapat membantu seseorang itu mencapai matlamat sebagaimana yang mereka inginkan. Sebagai contoh, seseorang memerlukan ilmu bagi mendapatkan sesuatu pekerjaan.

Menonjolkan bakat

Pada umumnya, orang dewasa terdiri daripada individu yang sudah bekerja dan terlibat dengan aktiviti bermasyarakat. Ia memudahkan mereka menonjolkan bakat masing-masing dan memainkan peranan sosial dalam masyarakat sekali gus mendapat pengiktirafan dan penghormatan dari masyarakat sekeliling. Secara tidak langsung, mereka dapat menjadi contoh dalam keluarga mahupun komuniti.

Menguasai ilmu

Seseorang individu belajar untuk menguasai ilmu termasuklah orang dewasa. Ilmu yang dikuasai kemudiannya diamalkan dalam kehidupan seharian selaras dengan perkembangan teknologi yang pesat agar kehidupan menjadi lebih bermakna.

Untuk kualiti hidup

Seseorang akan berasa lebih yakin untuk menjalani kehidupan sekiranya mereka mempunyai ilmu pengetahuan atau pelajaran terutamanya apabila dikelilingi oleh orang ramai. Mereka juga tidak mudah berasa rendah diri apabila berinteraksi dengan orang ramai. Dengan sifat sebegini, hidup mereka sentiasa dalam kegembiraan tanpa sebarang masalah dan lebih berkualiti.

Menyelesaikan masalah

Seorang dewasa yang menuntut ilmu percaya bahawa penguasaan ilmu dapat membantu mereka menyelesaikan sebarang masalah dalam kehidupan seharian. Contohnya, masalah yang berkaitan dengan pekerjaan mereka seperti masalah untuk mengendalikan sesuatu mesin dapat diatasi dengan adanya ilmu pengetahuan tentang penggunaannya berserta dengan latihan praktikal yang telah dilaksanakan.

Kesukarelaan diri sendiri

Setiap individu termasuk orang dewasa mempunyai kesedaran akan kepentingan menuntut ilmu. Mereka belajar atas kehendak diri sendiri tanpa sebarang paksaan bagi memenuhi matlamat kehendak diri mereka masing-masing.

Mengubah pencapaian dan memotivasikan diri

Seseorang individu tidak akan mencapai kepuasan dengan tahap pendidikan yang rendah. Begitu juga dengan pelajar dewasa, mereka masih mempunyai banyak masa dan ruang untuk mencapai kemajuan atau kejayaan. Mereka juga ingin mendapatkan pendidikan di peringkat yang lebih tinggi supaya mereka dapat menjalankan pekerjaan dan kehidupan seharian dengan lebih yakin. Secara tidak langsung, ilmu yang diperoleh dapat menimbulkan semangat untuk berubah ke arah tingkah laku yang baik dan positif.

Memudahkan pekerjaan dan tanggungjawab

Ilmu yang diperoleh akan membantu melicinkan tugas dan tanggungjawab seseorang dalam apa jua perkara yang dilakukan tanpa mengira masa dan tempat.

Suatu persaingan yang sihat

Dalam menuntut ilmu, pelajar dewasa dapat membuktikan kebolehan diri masing-masing seterusnya dapat mewujudkan persaingan yang sihat. Contohnya, dalam bidang perniagaan, ahli perniagaan akan bersaing untuk mencapai kemajuan dengan menunjukkan kebolehan dan keupayaan masing-masing.

Bagaimana Orang Dewasa Belajar?

Setiap pembelajaran orang dewasa mestilah disesuaikan dengan keperluan orang dewasa. Sebagai pengajar, mereka juga perlu tahu peringkat pembelajaran dan perlu bertanggungjawab terhadap perkara-perkara tertentu seperti kemampuan, keperluan cara belajar yang terbaik dan seterusnya dapat menyesuaikannya dengan penggunaan bahan pengajaran kepada setiap pelajar. Di bawah ini ditunjukkan sembilan proses pembelajaran orang dewasa.

Motivasi

Pelajar dewasa memerlukan sokongan bagi meneruskan pelajaran dan mereka lebih bersemangat hendak meneruskan pelajaran apabila diberikan ganjaran dan sokongan yang dapat memotivasikan mereka terutama daripada ahli keluarganya.

Perhatian

Pelajar dewasa perlu mengambil perhatian dan tumpuan khusus terhadap penerangan atau demonstrasi daripada tenaga pengajar supaya mereka cepat memahami pelajarannya.

Jangkaan

Prestasi pelajar dewasa perlu diberitahu terlebih dahulu supaya mereka dapat memperbaiki kekurangan diri dan mungkin akan berasa lebih bersemangat dan bersedia menghadapi apa jua bentuk keadaan.

Perolehan ingatan kembali

Pelajar dewasa menggunakan pengetahuan sedia ada untuk membantu mereka memahami konsep yang baru dipelajari dengan mudah dan cepat tanpa sebarang masalah.

Pemilihan persepsi

Pelajar dewasa perlu membuat pilihan sesuatu perkara atau rangsangan. Ia lebih merujuk kepada tindakan seseorang untuk membezakan perkara atau rangsangan sama ada ia penting dan relevan ataupun kurang penting.

Mengekodkan dan penyimpanan jangka panjang

Pelajar dewasa seterusnya perlu membuat kod terhadap maklumat yang diterima untuk disimpan ke dalam sistem saraf pusat. Ini dilakukan bagi memastikan maklumat tersebut lebih mudah diingati dan dapat digunakan pada masa-masa akan datang.

Gerak balas atau prestasi

Pembelajaran orang dewasa berlaku apabila segala maklumat yang dikodkan dan disimpan dapat dilaksanakan oleh mereka dengan membuktikannya dengan tindakan dan perubahan tingkah laku berserta peningkatan prestasinya.

Maklum balas dan peneguhan

Ia mempunyai dua fungsi iaitu untuk memberitahu perkara yang seharusnya dibuat dan motivasi yang mendorong individu meningkatkan atau memperbaiki prestasi mereka.

Generalisasi atau pemindahan pembelajaran

Generalisasi merupakan pemindahan pembelajaran dari satu situasi kepada situasi yang lain. Kebolehan ini akan bertambah jika mempraktikkan kemahiran baru dalam pelbagai situasi.

Kaedah Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman

Salah satu kaedah pembelajaran orang dewasa yang utama adalah berdasarkan pengalaman. Kaedah pembelajaran ini merupakan satu proses secara berperingkat-peringkat. Sebenarnya proses ini bukan sahaja dilalui oleh orang dewasa, malah ia adalah satu proses umum yang mana setiap individu perlu melaluinya untuk menjadikan pembelajaran mereka lebih efektif serta mendapat kepuasan hati supaya lebih cemerlang. Begitu juga dengan orang dewasa, mereka perlu melalui proses tersebut untuk mendapat kepuasan pembelajaran. Namun begitu orang dewasa juga kadangkala mempunyai kaedah yang tersendiri yang bergantung pada individu itu sendiri.

Mereka lebih gemar belajar dalam suasana yang tidak dikongkong oleh mana-mana peraturan yang membuatkan mereka sukar untuk belajar sesuatu topik. Justeru seorang pengajar perlu memahami diri dan tahap pemikiran orang dewasa.

Tidak dapat dinafikan orang dewasa memang banyak belajar berdasarkan pengalaman. Di samping itu, pembelajaran yang hendak dipelajari perlu sesuai dengan minat dan kesukaan mereka. Bagi mereka, pembelajaran melalui pengalaman membolehkan mereka bertukar idea atau pendapat yang mana membuatkan mereka akan dapat melihat sesuatu yang bermakna daripada apa yang dipelajari. Mereka juga sering menghubungkan pelajaran baru dengan pengalaman mereka yang sedia ada. Selain itu, proses pembelajaran ini dapat membantu mereka untuk mengeratkan hubungan dan secara tidak langsung menjadikan pembelajaran lebih aktif.

Dalam satu situasi lain pula, mereka lebih gemar berdialog atau berada dalam satu kumpulan. Dengan cara ini, mereka dapat mengutarakan pendapat yang pelbagai dan dapat meluaskan pandangan serta pengetahuan. Mereka akan menunjukkan kebolehan dan kepimpinan mereka dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Keadaan ini membolehkan mereka bebas memberikan pendapat mereka. Dalam erti kata lain, mereka lebih suka berada dalam situasi yang tidak formal seperti tiada peperiksaan. Ini kerana, apa yang dipelajari lebih baik diamalkan daripada mengingat atau menghafal. Kemungkinan mereka merasakan ia satu beban bagi mereka. Nyatalah orang dewasa bukan seperti pelajar yang perlu diperintah supaya melakukan sesuatu perkara. Orang dewasa lebih gemar melakukan sesuatu mengikut kemahuan dan keinginan mereka supaya apa yang dipelajari memberi kesan kepada mereka untuk masa kini dan hari muka.

Kesimpulan

Dalam menuju era yang serba moden ini, penguasaan ilmu amatlah penting dalam kehidupan kita supaya kita tidak menjadi seorang yang boleh dilabelkan sebagai ‘katak di bawah tempurung’. Apabila dikaitkan dengan penguasaan ilmu pastinya terlintas di fikiran suatu perkara yang berkaitan dengannya iaitu ‘pembelajaran’. Penguasaan ilmu bukan hanya tertumpu kepada remaja tetapi juga kepada pelajar dewasa.

Namun begitu, pelajar dewasa ini belajar kerana beberapa sebab yang lebih menjurus ke arah penglibatan peranan sosial dan kepentingan masyarakat, institusi dan juga untuk kepentingan diri sendiri. Suatu perkara yang tidak dapat dinafikan adalah mereka lebih gemar belajar dalam keadaan yang tidak formal dan lebih banyak menggunakan pengalaman mereka. Mereka lebih suka bertukar pendapat serta berdialog dalam satu kumpulan secara tidak langsung boleh membuatkan pemikiran yang lebih meluas.

Proses pembelajaran pula melibatkan beberapa fasa. Menurut Gagne, proses pembelajaran terdiri daripada motivasi, perhatian, jangkaan, ingatan kembali, pemilihan persepsi, mengekodkan dan penyimpanan jangka panjang, gerak balas atau prestasi, maklum balas dan peneguhan serta generalisasi atau pemindahan pembelajaran. Pelajar dewasa akan memperoleh banyak faedah daripada penyertaan yang aktif dalam proses pembelajaran.

Kaedah Penyelidikan Psikologi Lebih Menekankan Pendekatan Kualitatif dan Kaedah Klinikal

Dengan berdasarkan kepada beberapa contoh penyelidikan maka pendekatan kualitatif dan kaedah klinikal dalam penyelidikan psikologi dapat dibincangkan.

Pendahuluan

Psikologi adalah satu bidang kajian yang mengkaji tingkah laku manusia secara saintifik dan sistematik. Oleh itu, kajian ini memerlukan proses atau prosedur yang bermula daripada per-nyataan atau definisi masalah, membina hipotesis, mengumpul data, menguji hipotesis dan akhir sekali membuat kesimpulan atau inferens.

Menurut Mohd Salleh Lebar (1994: ms. 6), psikologi ialah satu kajian yang berkaitan dengan tingkah laku manusia. Dalam sesuatu kajian, pengkaji perlulah bersifat terbuka bagi membolehkan penyelidik lain menguji kebenaran terhadap penyelidikan atau hipotesis yang dibuat. Sehingga kini walaupun pelbagai penyelidikan dibuat, namun terdapat lagi perkara-perkara yang masih belum difahami dengan mendalam terutama perkara-perkara yang berkaitan tingkah laku manusia. Oleh itu, bagi sesuatu kajian yang dibuat, penyelidik perlu mengambil kira pelbagai aspek yang berkaitan untuk menguji sesuatu kebenaran. Aspek yang dimaksudkan itu adalah seperti pengalaman, motivasi dan mental-emosi. Kebenaran sesuatu ujian membolehkan penyelidik lain membuat anggapan yang betul terhadap tingkah laku manusia. Bagaimanapun tidak semua penyelidikan yang dibuat oleh ahli psikologi semuanya betul dan boleh disesuaikan dalam situasi yang berbeza.

Mohmood Nazar (1992: ms. 13) pula mengatakan psikologi ialah satu kajian saintifik tentang jiwa dan tingkah laku manusia. Sebagai satu disiplin bersaintifik, psikologi berpegang teguh kepada objektif-objektif sains, iaitu membekalkan informasi yang terbaru dan berguna kepada masyarakat. Informasi yang dibekalkan ini haruslah diuji kesahihannya atau verifiable oleh pakar-pakar yang lain. Dengan cara ini, barulah ia boleh diterima sebagai satu kajian yang bersaintifik.

Mohamad Mahzan (1997: ms. 1) mengatakan psikologi adalah bidang yang mengkaji keseluruhan tingkah laku manusia dengan merujuk kepada perasaan, pemikiran serta tindakan manusia.

Crow and Crow (1980: ms. 8), mentakrifkan psikologi sebagai suatu kajian mengenai tingkah laku dan perhubungan manusia. Tingkah laku seseorang adalah merangkumi perlakuan yang dilihat dan semua tindak balas kepada pengaruh batin dan pengaruh alam sekitar.

Kaedah penyelidikan dalam psikologi

Dalam bidang psikologi, pelbagai kaedah penyelidikan boleh digunakan bagi menyelidik dan memahami jiwa serta tingkah laku manusia. Pada dasarnya, penyelidikan itu boleh dijalankan sama ada dalam bentuk kaedah klinikal, pendekatan kuantitatif ataupun pendekatan kualitatif (Slavin, R.E, 1997: ms. 14).

Pendekatan kualitatif dapat dibahagikan kepada kaedah deskriptif, etnografi, kajian kes dan pemerhatian atau tinjauan. Sementara pendekatan kuantitatif pula dapat dibahagikan kepada kaedah penilaian, kaedah eksperimen, kaedah expost-facto dan kaedah perangkaan atau korelasi.

Antara kaedah-kaedah penyelidikan psikologi di atas, pendekatan kualitatif dan kaedah klinikal adalah kaedah atau teknik yang lebih ditekankan dalam penyelidikan psikologi.

Pendekatan kualitatif

Menurut John McLeod (1999: ms. 74), penyelidikan kualitatif kerap didefinisikan sebagai kajian yang tidak melibatkan pengukuran atau teknik statistik. Sebagai contoh Miles dan Huberman (1984), menghuraikan data kualitatif sebagai perkataan dan bukannya nombor, manakala Strauss dan Corbin (1990), memandang pendekatan kualitatif sebagai sebarang penyelidikan yang menghasilkan penemuan yang tidak melalui prosedur statistik atau cara pengkuantitian yang lain.

Othman (1999) pula mengatakan penyelidikan kualitatif merujuk kepada suatu pendekatan penyelidikan yang memberi penekanan kepada deskriptif, induktif, grounded theory dan kajian ke atas bagaimana manusia memberi makna kepada kehidupan mereka.

Oleh itu, antara teknik dan kaedah untuk menjalankan pendekatan kualitatif dalam penyelidikan psikologi adalah seperti kaedah deskriptif, kaedah etnografi, kaedah kajian kes dan kaedah pemerhatian atau tinjauan.

Kaedah Deskriptif

Menurut Othman (1999), matlamat penyelidikan deskriptif ialah untuk menerangkan sesuatu fenomena yang sedang berlaku. Contohnya, faktor-faktor yang menentukan keberkesanan program KPLI. Penyelidik akan menerokai sesuatu bidang yang belum atau kurang dikaji. Oleh kerana faktor-faktor mempengaruhi keberkesanan program KPLI belum dikenal pasti, jadi kita cuba menerokai faktor-faktor tersebut dengan menggunakan kaedah deskriptif. Tambahan pula, penyelidik tidak terlebih dahulu menentukan faktor-faktor yang mendatangkan kesan ke atas sesuatu peristiwa. Oleh itu, kaedah ini tidak bertujuan untuk menguji kebenaran sesuatu hipotesis.

Slavin, R.E. (1997: ms. 14-15), seterusnya memberi contoh penyelidikan dalam psikologi pendidikan seperti berikut. Katakan anda berminat dalam mengkaji sikap pelajar anda terhadap pembekalan perkhidmatan kesihatan kepada pendatang-pendatang baru ataupun sikap guru-guru sekolah anda terhadap pelbagai jenis kecacatan. Tujuan kajian adalah untuk menerangkan apa yang manusia buat atau bagaimana pelajar-pelajar berfikir mengenai isu-isu tertentu di dalam kelas atau sekolah. Kaedah ini memberi tumpuan kepada pengkajian terhadap fenomena semasa dalam konteks kehidupan yang sebenar seperti mana mengikut Denzin (1978), “The case study is a naturalistic type of enquiry”.

Slavin, R.E. (1997: 15), seterusnya memberi contoh penyelidikan dalam psikologi pendidikan. Contohnya Tombari, Fitzpatrick dan Childress (1985) memprogramkan sebuah komputer untuk memberi ganjaran dalam bentuk permainan video dan menggunakannya sebagai sebahagian daripada pencelahan pengurusan kendiri bagi membantu kanak-kanak yang tidak boleh duduk diam. Kamps et al. (1992) mengkaji apa yang dilakukan oleh seorang guru untuk mengajar seorang kanak-kanak autistik untuk berinteraksi dengan rakan sebayanya. Trovato dan Bucher (1990) menerangkan bagaimana seorang rakan sebaya bertindak sebagai seorang guru mengajar kemahiran membaca kepada seorang rakan dalam kelas tahun empat.

Kaedah Pemerhatian
Menurut Tan Chee Yee (1993), terdapat dua jenis kaedah pemerhatian dalam penyelidikan psikologi iaitu:

1.Kaedah Pemerhatian Naturalistik
Siti Hawa (1990) menegaskan dalam kaedah ini, penyelidik atau pengkaji hanya memerhati sikap dan tingkah laku sesuatu objek itu tanpa disedari oleh responden atau subjek tersebut. Pemerhatian dijalankan semasa subjek berada dalam keadaan natural atau semula jadi. Penyelidik tidak akan bergaul atau berinteraksi dengan subjek. Dengan ini adalah sukar untuk sesuatu subjek itu menyedari bahawa beliau adalah objek atau responden yang sedang dikaji. Melalui cara inilah para penyelidik mendapat segala maklumat yang dikehendaki dengan betul dan tepat. Contoh penyelidikan yang dilakukan secara pemerhatian dibuat oleh Jan Goodal (1971) adalah kajian terhadap seekor cimpanzi di hutan Afrika.

Mengikut Mohd Salleh (1994) pula, dalam konteks psikologi pendidikan bilik darjah, pemerhati boleh menggunakan kaedah pemerhatian ini untuk melihat keberkesanan penggunaan alat pandang dengar dalam pengajaran bahasa Inggeris. Pendapat beliau ini pula diperkukuhkan lagi dengan contoh yang dikemukakan oleh Mohmood Nazar (1992). Contoh kajian beliau ialah sekumpulan penyelidik yang digelar etologi sering membuat kajian yang mendalam dan terperinci terhadap tingkah laku haiwan dalam keadaan semula jadinya. Namun begitu, kaedah ini turut mempunyai risiko yang tinggi kerana akan berlaku pemindahan atau penerapan unsur-unsur yang subjektif oleh penyelidik ke dalam kajian yang dilakukannya. Keadaan ini adalah bersamaan dengan teori-teori yang terpesong dari sesuatu kepercayaan dan kesahan serta interpretasi yang dibuat terhadap sesuatu kajian itu. Dalam hal ini, penyelidik perlulah memerihalkan pemerhatiannya dalam bentuk yang lebih objektif dan deskriptif.

2.Kaedah Pemerhatian Sistematik
Menurut Siti Hawa (1990), dalam kaedah pemerhatian sistematik ini penyelidik lebih menekankan dan berminat untuk mengkaji masalah-masalah yang lebih khusus dan tertentu. Contohnya, kekangan yang timbul apabila para penyelidik membuat kajian tentang pendapatnya dan faktor-faktor mempengaruhi pendapat tersebut. Contoh lain pula ialah analisis tentang pengiklanan terhadap pembelian oleh para pengguna dan hipotesis tentang kejayaan di institusi pengajian tinggi. Kaedah pemerhatian sistematik ini juga adalah kombinasi beberapa kaedah atau teknik yang melibatkan inventori, rekod, soal selidik dan pengujian.

Menurut Crow and Crow (1980) pula, ahli psikologi atau guru terlatih dan berpengalaman boleh mendapat maklumat yang terperinci tentang tingkah laku seseorang individu melalui pemerhatian. Laporan yang ditulis secara objektif dan mantap berhubung dengan pemerhatian ini akan membantu dalam mencari punca masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh seseorang individu pelajar.

Selain daripada itu, menurut Mohmood Nazar (1994), terdapat juga kajian penyelidikan yang sukar dilakukan melalui cara eksperimen ataupun pemerhatian. Oleh itu, kaedah tinjauan digunakan oleh para penyelidik bagi mengkaji masalah berhubung dengan pendapat masyarakat umum tentang masalah yang kritikal, contohnya masalah dadah dan hubungan seks pasangan yang sudah berkahwin. Kaedah tinjauan yang sering digunakan adalah cara temu duga atau soal selidik. Ini dapat dilihat dalam kajian yang dilakukan oleh Kinsey (1948, 1953). Beliau mengkaji tentang tingkah laku seks manusia. Melalui data-data kaedah tinjauan, beliau dapat memahami sifat dan kecenderungan manusia yang bersangkut paut dengan seks.

Contoh kajian tinjauan yang lain pula adalah kajian berkaitan persepsi guru pelatih semester empat terhadap faktor-faktor tekanan semasa Praktikum III yang dijalankan oleh Choong Lean Keow et.al. (Jurnal, ms. 43).

Kaedah Klinikal

Kaedah klinikal adalah suatu kaedah atau teknik penyelidikan yang biasanya dijalankan bagi mengkaji dan membuat hipotesis terhadap sesuatu bahan ataupun sampel. Kajian ini kerap dilakukan di dalam makmal. Dalam kajian ini, pesakit atau sampel kajian ditempatkan di dalam sebuah bilik khas. Kaedah ini bukan hanya popular kepada para saintis tetapi ia juga amat popular di kalangan para doktor perubatan, ahli-ahli psikiatri dan ahli-ahli kaunselor. Kajian ini juga ada kalanya melibatkan eksperimen ataupun uji kaji.

Menurut Mohd. Salleh (1994), kaedah klinikal ini lazimnya digunakan untuk mengkaji dan membuat hipotesis terhadap tingkah laku seseorang individu yang dikaji. Tingkah laku itu dikaji pula dengan kaedah eksperimen. Contoh kajian tingkah laku yang dimaksudkan adalah tingkah laku pesakit di wad, pelajar yang bermasalah, kanak-kanak hiperaktif dan sebagainya.

Dalam kajian ini, subjek atau sampel akan diminta pergi ke bilik yang dikhaskan untuk dikaji oleh psikiatri atau kaunselor. Dalam pertemuan itu, pengkaji akan meneroka untuk mengenal pasti masalah dan kesulitan yang dihadapi serta cuba mengatasinya dengan beberapa alternatif. Sehingga hari ini, segala pengetahuan kajian tentang motivasi atau teori-teori yang berkaitan dengan emosi dan personaliti dalam bidang psikologi adalah sumbangan daripada kaedah klinikal. Kelebihan dan kebaikan kaedah ini adalah ia dapat mengumpul maklumat yang lengkap tentang tingkah laku dan dapat memberi idea-idea terbaru yang lebih mantap dan relevan. Kajian ini juga dijalankan secara intensif.

Siti Hawa (1990) pula, menegaskan kaedah klinikal membolehkan para penyelidik mengkaji asal-usul penyakit yang biasanya terdiri daripada pesakit otak, penagih dadah, kanak-kanak yang terlalu agresif dan pesakit di wad psikiatri. Para pesakit diasingkan atau dipisahkan dengan alam sekitarnya yang natural dan dibawa ke alam buatan seperti wad khas untuk didiagnosis oleh seorang ahli psikiatri atau kaunselor. Contohnya dalam psikologi kaunseling, perkhidmatan kaunseling yang diberikan kepada mahasiswa yang bermasalah di universiti berhubung kemerosotan pelajaran mereka adalah menggunakan kaedah ini. Kaedah ini bertujuan mengenal pasti punca masalah dan memperbaiki prestasi pelajaran mereka.

Kaedah klinikal ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri kerana kajian intensif yang terperinci dijalankan terhadap subjek atau sampel. Namun begitu, terdapat juga kelemahan dalam menjalankan kaedah klinikal ini. Alam atau persekitaran yang tidak natural atau buatan akan mengurangkan keberkesanan kaedah yang menyesuaikan subjek dalam keadaan lazim atau normal. Contohnya ialah seorang bekas penagih dadah yang menjalani pemulihan di pusat serenti (keadaan buatan) akan menghadapi masalah untuk berinteraksi, mendampingi dan diterima oleh masyarakat umum (keadaan lazim). Kemungkinan juga beliau akan menjadi sasaran pengedar dadah apabila berada dalam persekitaran yang natural.

Kaedah klinikal juga banyak diaplikasikan dalam penyelidikan psikologi klinikal. Menurut Mohmood Nazar (1992), psikologi klinikal dapat merawat masalah sakit jiwa, kecelaruan mental serta tingkah laku bilazim. Oleh itu, pakar-pakar psikologi lazimnya menjalankan penyelidikan dengan mendiagnosis serta merawat klien-klien mereka dengan menggunakan kaedah klinikal ini. Penyelidikan ini juga dapat memberi manfaat kepada manusia. Sebagai contohnya mereka menjalankan penilaian tingkah laku dan personaliti manusia dengan menggunakan alat-alat tertentu seperti alat TAT (Thematic Apperception Test), Rorschach, Bender Gestalt, CPI dan lain-lain lagi. Murray ialah ahli psikologi yang menyiapkan ujian projektifnya yang terkenal iaitu TAT. Selain daripada itu, Yusof Zaki (1986) menyatakan ahli psikologi menggunakan beberapa istilah khas untuk menerangkan tentang tingkah laku penghidap bilazim. Antaranya ialah penyakit jiwa (neurosis), penyakit akal (psikosis) dan penyakit saraf (nervous diseases).

Di samping itu juga ahli psikologi klinikal juga menggunakan ujian psikometrik bagi membantunya memahami masalah yang dihadapi oleh klien. Contoh ujian psikometrik adalah seperti berikut:

1. Ujian kecerdasan
2. Ujian bakat
3. Ujian personaliti
4. Ujian penyesuaian
5. Ujian minat

Menurut Hassan Langgulung (1986), ujian-ujian yang dijalankan oleh ahli-ahli psikologi ini dapat menolong ahli psikologi klinikal membuat diagnosis tentang sesuatu masalah serta membuat tindakan bagi menghadapinya.

Sharifah Alwiah Alsagoff (1987) pula menyatakan kaedah klinikal ini juga sering digunakan oleh ahli psikologi untuk membuat hipotesis berkaitan tingkah laku manusia yang seterusnya akan dikaji pula dengan menggunakan kaedah eksperimen.

Keistimewaan kaedah klinikal adalah:
1. Ia dapat mengumpulkan banyak data tentang pengetahuan tingkah laku.
2. Ia juga dapat memberikan idea-idea baru untuk diuji seterusnya dengan kaedah yang lain (eksperimen).

Jelasnya lagi, kebanyakan daripada pengetahuan kita tentang personaliti, motivasi dan emosi berasal daripada penyelidikan yang menggunakan kaedah klinikal ini.

Ahli psikologi terkenal, Sigmind Freud (1856-1936) memajukan lagi satu teori personaliti yang lebih komprehensif dan mantap melalui pengalamannya merawat pesakit mental. Teori personaliti yang diterokainya ini menekankan betapa pentingnya usia beberapa tahun selepas dilahirkan untuk penyesuaian dalam menjalani kehidupan seharian. Beliau juga memberi penumpuan terhadap kepentingan mimpi konflik bawah sedar (tidak sedar). Tambahan beliau lagi, tahap bayi dan kanak-kanak adalah kritikal dalam pembentukan dan pengukuhan personaliti serta imej kanak-kanak.

Kesimpulan

Penyelidikan adalah suatu proses mencari dan meningkatkan ilmu pengetahuan atau kebenaran yang boleh diterokai melalui kaedah pemikiran saintifik yang berdisiplin. Penyelidikan juga dapat membantu manusia mencari makna dan kebenaran tentang fenomena dunia (Mohamad Najib Abdul Ghafar, 1999). Begitu juga dengan penyelidikan psikologi, di mana ahli psikologi boleh menggunakan satu pendekatan atau lebih dalam membuat sesuatu kajian. Setiap daripada kaedah penyelidikan ini mempunyai keistimewaan dan kelemahan yang tersendiri. Kaedah yang dipilih adalah berdasarkan jenis kajian dan kesesuaiannya dengan penggunaan kaedah tersebut. Setiap kaedah ini saling memerlukan antara satu sama lain. Misalnya data yang didapati melalui penggunaan satu kaedah atau pelbagai teknik mungkin perlu dianalisis dengan kaedah lain (perangkaan).

Penemuan-penemuan serta kesimpulan yang diperoleh daripada sesuatu penyelidikan psikologi tidak semestinya muktamad kerana terdapat perubahan secara teori, kaedah dan kecenderungan kajian lampau dalam jangka masa tertentu. Jelasnya di sini bahawa kajian dan penyelidikan psikologi perlu dijalankan secara berterusan dengan penggunaan teknik atau kaedah yang lebih baik yang dapat menghasilkan data serta formula-formula yang lebih objektif dan jitu. Tujuannya juga haruslah lebih unggul dan mantap untuk memperbaiki, menyesuaikan dan meningkatkan kecemerlangan serta kesempurnaan amalan dan fahaman.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024