Artikel

Ciri-ciri Fasilitator

oleh Helmi pada 28 Aug 2004

Fasilitator yang mantap dan berwibawa mempunyai ciri-ciri yang membolehkannya diterima oleh kumpulan. Dengan itu dia dapat mengawal dan membimbing kumpulan yang ditanganinya. Dia menggunakan kemahiran mendengar secara aktif. Apabila dia menyoal dia akan tunggu jawapan dengan tekun.

Antara ciri yang terserlah adalah kemahirannya menganalisis secara tepat terhadap peserta kumpulannya. Seorang fasilitator bijak mencari peluang dan secara spontan dapat mengeluarkan pandangannya untuk difikirkan bersama di dalam kumpulan. Bukan itu sahaja, fasilitator tersebut akan membantu para peserta meningkatkan potensi dan keupayaan peserta dalam berfikir, berkomitmen dan bertindak.

Permainan-permainan Psikologi yang diperkenalkan kepada kumpulannya merupakan aktiviti-aktiviti yang berstruktur yang bertujuan memahirkan setiap ahli menyelesaikan masalah secara berkumpulan. Perkara yang lebih penting atau signifikan ialah fasilitator ingin melihat melalui permainan yang berstruktur ini bagaimana ahli-ahli kumpulan dapat mengupas apa yang tersirat di sebalik aktiviti yang dijalankan iaitu daripada aspek emosi, tingkah laku, minda dan apa sahaja perilaku setiap ahli kumpulan yang sedang diproses.

Fasilitator mempunyai pemerhatian yang tajam sebelum dapat mentafsir cara peserta bercakap, membuat soalan atau menjawab. Dia tahu bahawa ada makna yang tertentu bagi sesuatu respons yang bersahaja, apabila ahli-ahli kumpulan menjawab secara bertujuan ilmiah atau lawak jenaka. Kesemuanya itu sebagai suatu refleksi yang melambangkan jati diri dan keperibadian seseorang fasilitator.

Semasa proses LDK fasilitator akan prihatin pada cara dan gaya dia mendengar hujah orang lain (sama ada dia memberikan tumpuan endah tak endah atau memandang rendah apa yang diperkatakan oleh orang lain). Kesemuanya ini akan menjadi bahan untuk seorang fasilitator itu membuat ulasan. Dia menyusun dan merancang semua informasi yang disampaikan dengan bahasa yang mudah difahami. Apabila fasilitator memberikan ulasannya, kata-katanya mudah difahami dan kenyataannya diterima baik oleh setiap individu dalam kumpulannya.   

Apabila keadaan kumpulan mula terasa longgar dan meleret-leret, fasilitator akan cepat mencelah dan menegur. Penegasan semula diberikan dan matlamat diulang bagi memastikan hala tuju. Fasilitator yang mantap mampu meneguhkan matlamat tetapi fleksibel mengenai proses yang digunakan. Fikiran lateral yang diilhamkan oleh Edward De Bono digunakan sepenuhnya ketika mencari penyelesaian. Jawapan yang baik tidak hanya menjawab soalan tetapi apabila terjawab soalan akan terdapat juga faedah lain.

(Contoh diambil daripada kisah pedagang yang berhutang dengan seorang yang kikir dan penipu). Orang yang bakhil dan pendusta mengenakan syarat supaya anak pedagang mengambil batu daripada uncang yang sudah diisi dua biji batu hitam dan putih. Si penipu sudah meletakkan kedua-duanya batu hitam di dalam uncang, tetapi dia mahu anak gadis pedagang mengambil batu putih bagi melepaskan dirinya daripada berkahwin dengannya. Cerita ini mengisahkan mengenai kebijaksanaan anak pedagang menyelamatkan bapanya dan dirinya sendiri daripada dipaksa berkahwin dengan si kikir dan penipu itu. Dalam kisah ini anak gadis tadi bukan hanya dapat menyelesaikan masalah tetapi membuatkan si kikir dan penipu itu malu dan marah dengan perbuatannya sendiri. Si penipu pindah dan tidak mahu berjumpa dengan orang-orang yang tinggal di kawasan itu lagi.

Berdasarkan cerita ini fasilitator mengajak peserta melihat permasalahan daripada semua sudut. Kebanyakan persoalan yang pada mulanya terasa mustahil untuk diselesaikan sebenarnya mempunyai jawapan yang sangat mudah. Contohnya, meleraikan pasangan terikat dalam permainan tali atau menyusun 10 pasu bunga dalam 5 barisan dengan setiap barisan mempunyai 4 pasu bunga. Seorang fasilitator boleh menerima peserta kumpulannya tanpa syarat. Tidak mengira umur, kelulusan atau status pekerjaannya. Semua boleh diterima oleh fasilitator tanpa sangsi.

Seorang fasilitator mampu menguruskan kumpulan yang pelbagai apabila diperlukan untuk berbuat demikian. Seseorang fasilitator itu mampu memberikan kerjasama dan menjalin hubungan yang erat sehingga dirasai oleh setiap ahli kumpulannya bahawa fasilitator adalah seorang yang adil dan memuaskan.

Dalam bimbingannya, seorang fasilitator mampu membimbing serta berkongsi pendapat dan maklumat di sepanjang sesi LDK. Dia akan berkongsi tunjuk ajar dengan cara harmoni dan ceria. Tanda-tanda ini akan terlihat pada wajah setiap ahli kumpulan dan pada cara mereka berinteraksi dan memberikan respons antara satu sama lain. Suasana riang dan seronok dirasai oleh semua ahli termasuk fasilitator sendiri. Bimbingan dan ikatan yang unik ini diwujudkan tanpa rasa curiga dan sangsi antara ahli kumpulan dan fasilitatornya. Perasaan ini terus wujud walaupun ketika di luar sesi LDK, iaitu semasa mereka minum, makan dan melakukan aktiviti luar.

Satu perkara yang dianggap hebat pada seorang fasilitator adalah tabiatnya. Seorang fasilitator adalah manusia yang sangat dahagakan ilmu. Dia suka membaca, bertanya bagi mendapatkan maklumat dan suka berkongsi buah fikiran. Sikapnya yang suka berkongsi kemampuan dan haknya dengan orang lain menjadikan dia disenangi. Sebagai seorang yang banyak membaca dia mampu berbual dan berbincang dalam pelbagai tajuk dan perkara.

Dalam mencari dan berkongsi ilmu dia tidak lokek. Dalam dirinya memang sudah tertanam niat yang baik, (“kalau boleh dia mahu jadi penyampai maklumat yang banyak”). Mungkin kerana sikapnya yang beginilah dia mudah dihampiri dan mudah jadi mesra. Dia tidak malu memperkatakan, “Maafkan saya, saya tidak tahu perkara ini. Boleh tak saudara terangkan pada saya?” Ketika mendengar sebarang penjelasan seorang fasilitator akan mendengar dengan tekun. Sudah tentu orang yang menjelaskan juga akan berkelakuan bersungguh-sungguh apabila melihat fasilitator berbuat demikian.

Amalannya yang suka membantu orang lain menyelesaikan masalah memang sudah sebati dengan dirinya. Dalam perkara ini seseorang fasilitator itu akan sentiasa mencadangkan kaedah baru di samping bercerita berkenaan dengan kes yang serupa dan bagaimana permasalahan dalam kes tersebut diselesaikan. Dalam situasi mencari jawapan kepada persoalan yang sukar diselesaikan, seseorang fasilitator akan membenarkan pengutaraan pendapat dan pandangan yang berbeza. Perkara ini merupakan satu latihan minda sementara longgokan pendapat ini akan memperkaya daya fikir. Selepas itu butir-butir fikiran yang tidak berkaitan boleh diketepikan. Butir-butir fikiran yang berkaitan boleh dicantumkan dan akhirnya menjadi fikiran yang bersepadu untuk penyelesaian yang jelas.

Dalam proses LDK terdapat juga perkara yang tersirat berlaku. Sekali gus seorang fasilitator dapat menyampaikan pembelajaran tanpa memberitahu apa yang patut dibuat. Perkara ini akan berlaku apabila fasilitator tidak menguasai majlis dan berkecuali semasa kumpulan mencari jawapan dan kesimpulan. Kebolehan merancang dan mengatur yang terdapat pada seorang fasilitator akan sentiasa dilihat sebagai sifat keunggulannya. Dia mampu membuat kesimpulan daripada maklumat yang diberikan oleh kumpulan. Kecekapannya menganalisis dan mencerakin membolehkan dia memahami dan mentafsir maklumat dan menjelaskannya. Rumusan yang disusun dengan kata-kata yang kemas mudah difahami oleh pendengarnya.

Sebagai seorang yang proaktif, fasilitator mengajak pesertanya menjadi orang yang proaktif juga. Usahanya akan menjadikan pesertanya orang yang berinisiatif dan sentiasa mahu membuat kerja kebaikan. Dia akan memberikan galakan supaya setiap orang boleh menjadi pencetus idea, dan daripada idea itu dijadikan perbincangan. Keputusan daripada perbincangan itu akan dijadikan prinsip yang boleh dijadikan pegangan. Dengan cara begini seorang fasilitator membangun dan membangkitkan keinginan dan keazaman peserta untuk maju jaya. Itulah motivasi yang mahu ditanamkan oleh seorang fasilitator ke dalam diri setiap individu pesertanya.

Kebolehannya bermesra dan berhumor akan membuat pesertanya rasa selamat dan selesa. Kejernihan hatinya meningkatkan kepercayaan peserta terhadapnya. Biasanya seorang fasilitator dapat menyampaikan sesuatu melalui humor dan jenaka. Gurau senda yang tidak keterlaluan akan menambah erat hubungan. Fasilitator tidak bias (berat sebelah dan sebagainya) dan dia sentiasa berlaku adil terhadap semua peserta dalam kumpulannya.

Dalam sesi kumpulan seorang fasilitator sentiasa menunjukkan contoh kepimpinan yang baik walaupun dia sebenarnya bukan ketua kumpulan. Kebolehannya mendengar dan memerhati dengan teliti dan mampu menyampaikan sesuatu dengan jelas dan teratur adalah tapak terbinanya kepercayaan dan keyakinan peserta terhadapnya. Sebagai penggerak kumpulan, dia boleh menyesuaikan diri sehingga diterima baik sebagai salah seorang ahli kumpulan.

Fasilitator harus sentiasa sedia menerima idea orang lain, berfikiran terbuka dan bertolak ansur. Kebolehan yang meluas dan pelbagai serta pendekatannya yang fleksibel dirasakan sesuai dalam bermacam-macam keadaan. Seorang fasilitator harus pandai membawa pelbagai peranan dan watak seperti sedih, gembira, simpati, masam dan provokatif, ini membolehkan dia mendekati peserta daripada semua sudut. Dia juga seorang yang empati dan peserta merasa selamat dengannya.

Seorang fasilitator tidak menghukum apabila suatu pandangan yang didengarnya agak kontroversi. Dia tidak membuat keputusan tetapi mengajak kumpulan berkongsi dalam menimbang terima sesuatu isu itu dengan cara memberi dan menerima pandangan dan menggalakkan kumpulan mencari jalan tengah dan membuat keputusan secara konsensus.

Perangainya yang lemah-lembut yang dipamerkan akan disenangi oleh ahli kumpulan. Namun demikian seorang fasilitator memang diketahui tegas orangnya. Penglibatannya sebagai ahli kumpulan dijayakan dengan membawa peranan melalui suara, gaya dan mimik muka di ruang-ruang yang sesuai bagi menggalakkan interaksi yang seimbang di kalangan pesertanya. Ketika sesi soal jawab fasilitator mempunyai penuh kesabaran menunggu jawapan ahlinya dengan tekun dan dia sering menantikan saat-saat yang sesuai bagi menyampaikan sesuatu bagi memastikan ketepatan keperluan kumpulannya.

Seorang fasilitator sangat bertanggung jawab terhadap kumpulannya. Dia akan memastikan kerahsiaan kumpulan terjaga rapi. Sikap saling menghormati di kalangan peserta diutamakan setiap masa. Yang paling disenangi ialah, seorang fasilitator tidak menyimpan syak wasangka atau prejudis kepada mana-mana ahli kumpulan di bawah kelolaannya.

Fasilitator akan bersama kumpulannya sepanjang kursus. Ikatan yang harmoni ini dapat dirasai oleh setiap ahli kumpulan. Apabila penyertaan seorang ahli kumpulan menjadi semakin lemah misalnya seorang ahli terdiam kerana dikritik berkali-kali, fasilitator akan cepat memainkan peranannya melalui kepekaannya. Dengan segera dia memupuk dan memulihkan semangat peserta tersebut supaya aktif kembali. Kepandaian fasilitator menilai peserta yang selalu menguasai kumpulan atau yang selalu ketinggalan. Untuk diseimbangkan dalam proses fasilitasi supaya diterima dengan hati terbuka oleh ahli kumpulan.

Fasilitator merasionalkan ketegangan atau kelembapan secara manis dan berhemah. Dalam proses LDK akan terdapat pelbagai kerenah peserta, ada yang suka bercakap dan ada juga peserta yang lebih banyak mendiamkan diri. Dengan menggunakan kemahiran dan pengalamannya fasilitator mudah mengenal pasti sikap dan perilaku setiap ahli kumpulannya. Dia akan memberikan banyak peluang bagi yang suka bercakap di samping menggalakkan yang pendiam juga mengeluarkan pendapat.

Fasilitator tidak memperkecilkan pandangan peserta walaupun pandangan itu salah. Kesalahan dibetulkan dengan hikmah dan berhemah sehingga tidak seorang pun merasa terhina. Fasilitator sentiasa menjaga suasana LDK supaya ceria. Suasana LDK dihidupkan dengan menimbang isu-isu bersama di samping menimbulkan keriangan di kalangan ahli demi menentukan kejayaan pencapaian objektif kumpulan. Seorang fasilitator mempunyai daya ingatan yang kuat seperti mengingati nama peserta dan boleh mengingati kejadian dengan tepat. Dia berkebolehan mengasingkan dirinya supaya tidak beremosi terhadap peserta. Setiap gerak lakunya mempunyai objektif tertentu. Keikhlasan dan etika kerjanya yang membezakan dia daripada ahli kumpulan lain.

Menghormati masa adalah sesuatu yang penting dan utama baginya. Dia mengatur waktu dengan bijak dan memberitahu mengenai pembahagiannya dan dilaksanakan dengan persetujuan ahli kumpulan. Dia cepat memberitahu apabila masa jadi suntuk. Kerjanya mesti diselesaikan dengan keputusan dan penyelesaian kumpulan.
Persediaan Fasilitator

Seorang fasilitator akan menjalankan LDK dengan gayanya sendiri. Dia ikhlas dan tulen semasa menjalankan tugasnya. Objektif kerjanya juga jelas. Bagi mencapai matlamat seorang fasilitator akan bersedia juga dengan:

1. Memahami dan mengelola kecemasan. Apabila ketegangan emosi dan perasaan berlaku. Fasilitator bijak mengalih pandangan ahli kumpulan. Ini dilakukan dengan gurauan dan jenaka bersama ahli kumpulan hingga semua memahami dan memberi kerjasama bagi menstabilkan keadaan.

2. Menyediakan dan membantu proses perubahan tingkah laku. Di peringkat akhir LDK fasilitator akan mengarahkan pandangan ahli kepada sesuatu cetusan ke arah perubahan sikap dan tingkah laku ahli. Kumpulan semakin prihatin tentang perubahan sikap dan tingkah laku.

3. Membantu membuat keputusan. Dalam LDK, fasilitator hanya membantu ahli-ahli dalam membuat keputusan dengan memeriksa sama ada keputusan itu rasional atau tidak. Keputusan yang diambil menunjukkan sikap sebenar kumpulan apabila semua proses LDK dikendalikan dengan lancar.

4. Membentuk kemahiran daya bertindak. Di sini fasilitator membentuk peserta menjadi lebih peka terhadap persekitaran. Proses yang baik akan menghasilkan peserta yang proaktif dan bukan agresif.

5. Mencari jalan memperbaiki hubungan. Dalam LDK mungkin pertelagahan berlaku, atau ada yang peserta lebih dominan daripada yang lain. Biasanya terdapat peserta aktif dan peserta lembap dalam kumpulan. Peranan fasilitator ialah mewujudkan hubungan interpersonal yang erat, supaya tidak ketara antara yang aktif dengan yang lembap dalam suasana gembira bersama yang harus dirasai oleh setiap ahli kumpulan.

Fasilitator akan memberikan banyak nasihat dan teguran. Apabila berlaku keadaan tidak pasti dalam kumpulan fasilitator perlu mewujudkan keyakinan di kalangan ahli. Apabila wujud suasana tegang fasilitator berubah menjadi pendamai. Komunikasi dua hala adalah digalakkan dalam interaksi antara peserta dengan peserta dan antara peserta dengan fasilitator.

Apabila berlaku kebingungan dan kebuntuan, fasilitator bertindak sebagai penyelaras fikiran. Akhirnya fasilitator adalah tempat tumpuan rujukan peserta. Ini mungkin berlaku terutama apabila peserta ada masalah peribadi dan dia merasa dia boleh berkongsi dengan fasilitatornya. Semua fasilitator mahu menjadikan setiap ahli dalam kumpulan LDKnya sentiasa sensitif, proaktif, cepat bertindak, mampu mencadangkan alternatif, sanggup bersama, komited dan sentiasa bertenaga. Itulah motivasi yang mahu ditanamkan ke dalam diri setiap peserta kumpulannya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024