Artikel

Ciri-ciri Sistem Politik Islam

oleh Helmi pada 25 Nov 2004

Sistem politik Islam terikat kepada prinsip undang-undang Islam yang mutlak dan faktor-faktor yang boleh berubah-ubah. Dalam masyarakat yang berkembang pesat, banyak isu-isu yang perlu ditangani dengan segera.
Sistem politik Islam dapat menyelesaikan isu-isu kontemporari dengan menggunakan konsensus pakar-pakar bagi mengatasi kekeliruan apabila menentukan dasar-dasar pentadbiran. Sistem politik Islam dapat berfungsi apabila pemerintahan itu berdasarkan sistem Islam. Ciri-ciri sistem politik Islam adalah seperti berikut:

1. Undang-undang negara dicipta Tuhan
Tuhan menetapkan cara hidup yang paling baik untuk manusia dan alam. Orang-orang Arab Mekah yang menyembah berhala mengakui kewujudan dan kuasa Tuhan tetapi mereka tidak mahu mematuhi undang-undang Tuhan. Orang Islam menerima prinsip bahawa tugas membuat undang-undang adalah hak Tuhan. 
Ayat 3 dalam bab al-A’raf mengatakan, “Patuhilah undang-undang yang Tuhan cipta untukmu, dan jangan kamu memilih mana-mana pemimpin selain daripada Tuhan….”
Orang Islam yakin undang-undang yang dicipta oleh Tuhan adalah undang-undang yang terbaik dan demi menjaga kepentingan manusia dan alam.
Sesiapa yang menolak undang-undang Tuhan, apatah lagi kalau dia menghina serta menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Tuhan, dan dia mengharamkan perkara-perkara yang dihalalkan oleh Tuhan, dia dikutuk oleh Tuhan, oleh para malaikat dan juga oleh manusia.

2. Keadilan dan kesamaan
Ketua negara wajib melaksanakan hukuman dengan adil tanpa mengira keturunan, bahasa dan pangkat. Dalam Islam, manusia adalah sama di sisi undang-undang. Tiada siapa yang dapat mengatasi undang-undang. Pakar-pakar menetapkan syarat menjadi ketua negara mestilah bersifat adil.
Razi menulis, “Pakar-pakar sependapat, sesiapa yang menjadi ketua negara wajib membuat keputusan dengan adil.”
Kata Nabi Muhammad, “Suatu hari dalam masa pemerintahan yang adil lebih baik daripada beribadat selama 60 tahun.” Ayat 42 dalam bab Ibrahim, mengatakan, “Jangan kamu sangka Tuhan lupa pada apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim.”
Ketua negara hendaklah adil dalam melaksanakan undang-undang, menagihkan kekayaan negara serta kuasa dan pangkat walaupun kepada orang-orang bukan Islam. Suatu contoh ialah kisah khalifah Ali yang kehilangan baju besi sewaktu Perang Safain dan didapati baju besi itu ada pada seorang Yahudi, lalu Ali membuat laporan kepada hakim Suraih bin Hani. Dalam perbicaraan itu Ali tidak dapat mengemukakan saksi, lalu mengikut prosedur mahkamah, orang Yahudi itu menang, walaupun Ali adalah ketua negara. Akhirnya orang Yahudi itu mengaku bersalah dan memeluk agama Islam, selepas beliau melihat sendiri keadilan undang-undang Islam dan keadilan sistem pemerintahan Islam.

3. Taat
Ketaatan rakyat kepada ketua negara adalah ciri penting dalam sistem politik Islam. Umar bin Khatab pernah berkata, “Tidak ada Islam tanpa jemaah, tidak ada jemaah tanpa ketua, dan tidak ada ketua tanpa pengikut yang taat.”
Quran mengatakan sikap taat kepada ketua adalah wajib, seseorang itu dilarang menolak suruhan ketuanya selagi tidak melanggar undang-undang Islam. Ayat 59 dalam bab al-Nisa’ mengatakan, “Wahai orang yang beriman, taati Tuhan dan taati Utusan Tuhan dan para pemerintah di kalangan kamu.”
Dalam Islam, rakyat wajib patuh kepada ketua negara dalam perkara-perkara yang ditetapkan oleh Tuhan. Antara syarat-syarat rakyat wajib patuh kepada ketua negara adalah:
1. Ketua negara itu melaksanakan undang-undang Islam.
2. Ketua negara itu menjalankan pentadbiran negara secara adil.
3. Ketua negara tidak menyuruh rakyat melakukan perkara-perkara yang tidak dibenarkan oleh Islam.

Kata Nabi Muhammad, “Sesiapa yang taat kepada saya, dia taat kepada Tuhan. Sesiapa yang tidak taat kepada saya,dia tidak taat kepada Tuhan, dan sesiapa yang taat kepada ketuanya, dia taat kepada saya. Dan sesiapa yang tidak taat kepada ketuanya, dia tidak taat kepada saya.”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024