Artikel

Memujuk Isteri yang Lari

oleh Helmi pada 25 Nov 2004

Pulanglah wahai….

Pinang ke tampuknya,
Sirih ke gagangnya.

Buah ke tangkainya,
Kelopak ke bunganya.

Pulanglah wahai….

Ikan ke lubuknya,
Belut ke lubangnya.

Teritip ke batunya,
Semut ke sarangnya.

Burung ke sangkarnya,
Kerbau ke kandangnya.

Cahaya ke apinya,
Tempa ke acuannya.
Mujarab ke ubatnya,
Makbul ke doanya.

Keris ke sarungnya,
Panah ke busurnya.

Taji ke kakinya,
Jala ke rawanya.

Cuban ke jaringnya,
Benang ke jarumnya.

Ranting ke dahannya,
Perdu ke pangkalnya.


Pulanglah wahai….

Mutiara ke cangkerangnya,
Wau ke terajunya.

Air ke geluknya,
Teluk ke tanjungnya.

Pulau ke selatnya,
Garam ke lautnya.

Emas ke nilainya,
Harum ke kuntumnya.

Arif ke bijaksananya,
Ilmu ke alimnya.

Bisa ke upasnya,
Taji ke kakinya.

Pulanglah wahai….

Kasih ke hatinya,
Asyik kepada masyuknya,
Dewi kepada dewanya,
Romeo kepada Julianya,
Dara kepada Udanya,
Sita kepada Ramanya,
Permaisuri kepada sultannya,
Laila kepada Majnunnya,
Hawa kepada Adamnya.

Pulanglah wahai….
Bulan kepada bintangnya,
Umat kepada nabinya,
Irama ke lagunya,
Cincin ke jarinya.

Pulanglah…..
Aduhai buah hatiku….

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024