Artikel

Teori Ketuanan

oleh Helmi pada 25 Nov 2004

Dalam undang-undang sivil istilah ‘ketuanan’ bermakna sumber yang mengeluarkan undang-undang yang wajib dipatuhi rakyat. Ia juga bermakna orang yang memiliki kuasa tertinggi dalam negara. 

Ahli-ahli sains politik kontemporari mengatakan ‘ketuanan’ adalah salah satu rukun bagi mendirikan negara. Daripadanya terbit semua perintah, undang-undang, sistem cukai, sistem pentadbiran dan hak kebebasan sehingga mencukupi perjalanan negara.

Ketuanan juga membawa erti kuasa tertinggi ke atas warga dan rakyat-rakyatnya yang tidak dibatasi oleh undang-undang.  Ada pelbagai makna ketuanan:
1. Ketuanan bermakna tidak tunduk kepada kuasa negara lain, iaitu negaranya bebas daripada belenggu penjajah, malah ia berkuasa sepenuhnya dalam negaranya.
2. Ketuanan bermakna berkuasa mengeluarkan perintah, sama ada dalam bentuk suruhan ataupun tegahan.
3. Ketuanan bermakna kuasa memberi ampun yang dimilikinya bagi mengampunkan kesalahan rakyat dalam negara itu.
Para pengkaji politik berselisih pendapat dalam menetapkan siapakah yang layak memegang kuasa membuat undang-undang, adakah Tuhan ataupun pemerintah ataupun rakyat.

Teori ketuanan dan kuasa berkembang di Perancis pada kurun ke-16 bagi mempertahankan kuasa raja dan membezakan kuasa raja daripada kuasa pembesar-pembesar istana dan daripada kuasa paderi-paderi Kristian zaman itu.

Dalam sains politik Islam, teori ketuanan adalah antara isu-isu yang tidak dijelaskan oleh pakar-pakar sains politik Islam klasik disebabkan teori ini baru timbul pada kurun ke-16 oleh para pengkaji politik Perancis. Mereka berada dalam iklim politik yang khusus pada masa itu dan mereka mempunyai agenda sendiri di sebalik teori yang mereka cipta itu. Apabila berlaku Revolusi Perancis mereka memasukkan teori ini dalam pemerintahan negara dengan menukarkan kuasa raja kepada kuasa rakyat.

Teori ketuanan adalah berdasarkan teori falsafah Barat yang timbul akibat suasana politik dan sosial di Eropah pada Zaman Pertengahan (Middle Ages). Selepas Revolusi Perancis, rakyat Perancis merampas kedaulatan daripada raja yang berjaya ditumbangkan. Kerana itu, negara Perancis menempatkan teori ketuanan dalam falsafah politik mereka. Dalam undang-undang negara itu, daulat kuasa dalam negara adalah pada rakyat.

Teori kedaulatan kuasa rakyat ini beransur-ansur menjalar ke seluruh dunia dan ia dijadikan dasar kuasa dalam negara. Dengan meletakkan kuasa dalam negara kepada tangan rakyat, dengan nama kedaulatan rakyat teori ini menghasilkan kekacauan-kekacauan dalam kehidupan politik, moral dan kebudayaan negara. Malah teori ini tidak membawa keuntungan hakiki kepada manusia.

Daripada kegagalan teori kedaulatan rakyat, lahir pula teori kedaulatan negara. Teori ini mengatakan negara mempunyai kuasa semula jadi untuk memerintah rakyat. Mengikut teori ini negaralah yang berdaulat. Walaupun begitu, para pengkaji mengatakan teori ini juga tidak relevan disebabkan kuasa itu bukanlah dilaksanakan oleh negara yang abstrak sifatnya itu, sebaliknya kuasa dilaksanakan oleh sekumpulan manusia yang memegang kuasa dalam negara itu. Begitu juga halnya dengan teori kedaulatan undang-undang yang kembali kepada teori kedaulatan rakyat kerana rakyatlah yang mencipta undang-undang itu dan undang-undang itu berjalan atas kehendak rakyat sendiri.

Teori kuasa dalam Islam hanya mengiktiraf kedaulatan Tuhan sebagai kedaulatan tertinggi dalam negara. Namun mesti diingat konsep ‘kedaulatan Tuhan’ dalam sistem politik Islam tidak sama dengan konsep ‘teokrasi’ yang dikenal di dunia Barat.

Menurut Islam, kedaulatan Tuhan tercermin dalam Quran dan perbuatan serta kata-kata Nabi Muhammad. Kedaulatan Tuhan dalam urusan negara secara formal disebut dalam Quran dan dalam kata-kata Nabi Muhammad. Ketua negara Islam wajib mengurus dan mengatur bumi ini berdasarkan undang-undang yang dicipta oleh Tuhan dan sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad.

Ketua negara Islam yang berfungsi sebagai wakil Tuhan mempunyai kuasa menerapkan kedaulatan Tuhan sebagaimana yang diterangkan dalam Quran dan dalam kata-kata Nabi Muhammad. Walaupun begitu, manusia juga berkuasa membuat undang-undang yang tidak bercanggah dengan undang-undang ciptaan Tuhan, iaitu undang-undang urusan dunia yang tidak disebut dalam Quran dan dalam kata-kata Nabi Muhammad.

Teori kuasa Islam tidak serupa dengan ‘teori kedaulatan undang-undang Tuhan’ yang diperkenalkan oleh Maududi mahupun oleh Syed Qutub. Mereka berdua mengatakan kuasa menentukan undang-undang adalah milik Tuhan oleh itu, tidak seorang pun dibolehkan mencipta undang-undang lain ataupun berkongsi kuasa dengan Tuhan dalam menentukan undang-undang.
Menurut perspektif Barat, ‘kedaulatan’ adalah kuasa yang tertinggi dan mutlak yang wujud pada negara. Mereka mendefinisikan kedaulatan sebagai kuasa tertinggi dan kuasa itu mengatasi undang-undang. Ini menunjukkan kuasa kedaulatan itu lebih tinggi daripada kuasa yang ada pada undang-undang.

Islam tidak membenarkan teori-teori yang memberi kuasa kepada Ketua Negara bagi mengeluarkan undang-undang secara diktator dan bertentangan dengan undang-undang Islam.
Ayat 21 dan 22 dalam bab al-Ghasyiah mengatakan, “Beri peringatan kepada mereka, kerana kamu hanyalah orang yang ditugaskan memberi peringatan, kamu bukanlah orang yang berkuasa ke atas mereka.”

Ayat 107 dalam bab al-Ana’am 107 mengatakan, “Dan Kami tidak jadikan kamu penjaga mereka.”

Ayat 45 dalam bab Qaaf mengatakan, “Kamu sekali-kali bukan pemaksa ke atas mereka.”

Dalam sains politik Islam teori ketuanan ini tidak pernah dikenal dan tidak pernah dibincangkan oleh pakar-pakar, walau bagaimanapun mereka membincangkan teori kuasa (sultah) atau pemimpin (sultan) atau al-Mulk (kuasa kerajaan). Dalam Quran ada istilah ‘sultan’ yang bermakna memperbaiki ataupun kuasa yang ada pada orang yang berhak memiliki kuasa.
Ayat 33 dalam bab al-Isra ayat 33 mengatakan, “Dan janganlah kamu membunuh dengan cara yang diharamkan Tuhan, melainkan sebagai pembalasan yang dibenarkan. Dan bagi sesiapa yang dibunuh secara zalim, Kami berikan kuasa kepada warisnya, tetapi janganlah waris itu melampaui batas apabila membalas bunuh.”

Qurtubi berpendapat, pemimpin ataupun ahli waris, berkuasa membunuh balas ataupun mengampunkan si pembunuh ataupun mengambil bayaran pampasan.

Pakar-pakar agama mengatakan tidak ada perbezaan antara kuasa dalam urusan agama dengan kuasa dalam urusan politik dan pentadbiran negara. Kedua-duanya adalah satu di bawah kuasa pemerintahan yang objektifnya adalah menjaga agama dan mentadbir urusan dunia dengan prinsip undang-undang Islam.
Lukman Thaib dalam bukunya Politik Menurut Perspektif Islam mengatakan konsep kedaulatan menurut Barat adalah milik manusia dan pandangan Barat itu berbeza dengan konsep kedaulatan dalam Islam. Dalam Islam, kedaulatan hanyalah milik Tuhan dan semua undang-undang dan sistem pemerintahan dalam negara datang daripada Quran serta perbuatan dan kata-kata Nabi Muhammad. Ketua negara yang mengiktiraf bahawa kedaulatan hanyalah milik Tuhan tidak melakukan kezaliman pada rakyat. Untuk menegakkan kedaulatan dalam negara Islam, penggubalan undang-undang tidak boleh dilakukan melainkan dalam lingkungan batas-batas yang ditetapkan oleh Tuhan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024