Artikel

Crossover dan Spinoff dalam Komik-M?

oleh [email protected] pada 24 Jun 2021

Dalam penerbitan komik, istilah seperti crossover dan spinoff bukan sesuatu yang asing. Ia banyak diguna pakai oleh penerbit-penerbit besar seperti Marvel, DC, dan lain-lain. Malah, ia juga turut diaplikasikan dalam industri kreatif yang lain seperti filem, novel, dan banyak lagi.

Dalam bahasa mudahnya, crossover ataupun persilangan bermaksud memasukkan beberapa watak dan semesta fiksyen daripada siri berlainan ke dalam satu cerita yang sama. Antara contoh yang terkenal adalah komik Avengers terbitan Marvel yang menghimpunkan watak-watak daripada pelbagai siri seperti Captain America, Iron Man, Hulk, Spiderman, dan lain-lain ke dalam satu komik yang mempunyai jalan cerita tersendiri.

Di Komik-M, crossover yang pertama secara rasminya berlaku dalam KOMIK-M RAYA #3: MISI MENYELAMATKAN PUAN AINON yang diterbitkan pada Ogos 2011. Watak-watak Komik-M bergabung untuk menyelamatkan Puan Ainon, Pengerusi Kumpulan PTS yang telah diculik oleh pihak penjahat.

Kemudian, crossover seterusnya berlaku dalam trilogi siri ‘KRISTAL KUNCI DIMENSI’ yang diterbitkan pada Mac 2019 menerusi komik PORTAL PANIK #1, ULTRA QALIF x SMART STUDY #2, dan ULTRA QALIF x ADIWIRA #1. Kemunculan komik Portal Panik menjadi pintu kepada crossover yang lebih besar pula dalam ULTRA QALIF x ADIWIRA #2. Karya ini ditulis dan dilukis oleh Danial Haikal dan diterbitkan pada Mac 2020.

Disebabkan populariti ULTRA QALIF, maka kebanyakan crossover di Komik-M berlegar di sekeling watak ini. Maka muncul komik ULTRA QALIF x BABAB BOI #1 karya Froggypapa pada Februari 2020 dan juga ULTRA QALIF x SILAT BOY #1 pada Mac 2020. Adakah akan muncul crossover siri Komik-M yang lain bersama ULTRA QALIF lagi selepas ini?

Manakala komik yang baru diterbitkan oleh Komik-M, ULTRA QALIF: JEBAT pula bukan suatu crossover kerana Jebat sememangnya watak daripada siri Ultra Qalif. Buku ini mengambil konsep spinoff, iaitu karya baru yang dihasilkan berdasarkan watak, setting, ataupun topik daripada siri yang telah sedia ada. Antara contoh yang terkenal adalah Wolverine dan Han Solo. Kedua-duanya berdiri sendiri sebagai komik serta filem daripada siri asal masing-masing, iaitu X-MEN dan STAR WARS.

Sebagai spinoff pertama Ultra Qalif, komik ini mendapat sentuhan penulisan daripada pencipta asalnya, iaitu Tuan Bophairy. Beliau juga menyumbangkan lakaran papan cerita bagi memudahkan artis komik, Tuan Danial Haikal menyiapkan manuskrip komik yang kemudiannya diwarnakan oleh Tuan Emi Raimi.

Jadi, jangan ketinggalan untuk mendapatkan komik-komik ini di laman PTS Bookcafe ataupun di Shopee rasmi Komik-M (shopee.com.my/komikm).

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024