Artikel

Kod Pemimpinan Perempuan : BUKU WAJIB ADA UNTUK SETIAP WANITA!

oleh Puan Waridah Lothpi pada 09 Sep 2021

“Perkara pertama yang puan perlu berlatih ialah cara bercakap hingga orang yakin yang puan ini seorang pakar. Kawal postur tubuh. Cara berpakaian mestilah mampu meningkatkan daya pengaruh puan. Jangan berpakaian seperti “mak cik- mak cik”, jangan bercakap seperti “mak cik- mak cik”. Saya sendiri akan melatih puan!” cerita Puan Suhaili.

Ramai yang saya tahu berguru dengan Puan Ainon Mohd, semuanya “menjadi” dan menginspirasi dengan izin Allah. Yang terdekat sudah tentulah guru saya sendiri, Puan Cahaya Norhaini Sulaiman.

Saya bersyukur kepada Tuhan kerana mengaturkan perkenalan saya dengan ketiga-tiga penulis buku “Kod Kepimpinan Perempuan”.

Puan Nurhidayah Jaafar, junior baik sekolej berbelas tahun dulu.

Puan Suhaili Ikhsan, saya pernah bertemu muka dengan beliau kalau tak silap 6 tahun lepas di Bangi. Tak ingat pula atas urusan apa.

Dan yang terkini, guru penulisan yang dihormati, Cik puan Azzah Abdul Rahman.

Semuanya beraura, menakutkan (in a good way) dan ya, karisma mereka adalah sama sebagaimana petua yang dikongsikan di dalam buku.

Buku ini semacam kecil-kecil cili padi. Nipis sahaja, sekitar 130 mukasurat lebih, tetapi penerangannya jelas. Sejenis manual 101 kaum hawa untuk memahami hakikat diri sebagai pemimpin, dan tatacara terbaik berperilaku agar dihormati semua.

“Seorang suami adalah pemimpin kepada anggota keluarganya, dan akan ditanya perihal keluarga yang dipimpin. Seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga serta anak-anaknya dan akan ditanya perihal tanggungjawabnya itu.”

Kenyataan yang menakutkan, dan menyebabkan kemurungan bagi ibu yang sesekali anxiety seperti saya.

Baca pula ini, dan bertambahlah ketakutan. “Perempuan bijak memiliki strategi untuk menjadi individu yang mampu menenangkan serta pandai pula menjadikan orang di sekeliling mereka pintar.” Aduh, jauhnya.

Tetapi seluruh buku memberikan panduan bermula. Insya-Allah masih ada harapan untuk betulkan.

Dalam bab awal, Puan Suhaili menyebut bahawa mentaliti juara harus dimulakan dan dilatih di rumah. Beliau kongsi empat strategi, salah satunya ialah; alu-alukan kesilapan yang dilakukan oleh anak sebagai ruang untuk mereka belajar. Anak yang biasa membuat silap, kemudian dibimbing oleh ibu bapa, akan membesar menjadi anak yang berani dan tidak takut pada kegagalan.

—-
Cikpuan Azzah selaku jurulatih penulisan, menunjuk ajar kaedah menggunakan bahasa dengan betul. Cara menyusun ayat yang lebih sesuai, tidak berleter atau mengguru-guru, dan menggunakan laras bahasa lelaki yang lebih diyakini. Apa salahnya dengan laras bahasa perempuan? Jika tidak dikawal, ia cenderung untuk mengungkit-ungkit, berulang-ulang, meleret dan lari topik. Laras bahasa lelaki mempunyai unsur tegas dan muktamad.

“Bahasa adalah alat memujuk dan mempengaruh. Ayat-ayat persuasif, sama ada secara sedar atau pun tidak, membina persepsi bahawa penuturnya seorang yang pintar dan wajar diikuti.”

—-
Puan Nurhidayah dengan kepakarannya mengendalikan teknik nabi bertahun-tahun, berkongsi kaedah nabi menguruskan orang bawahan baginda. Beliau bawakan kisah pemuda yangbertemu Rasulullah, mengadu kekesalan kerana telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan. Solusi baginda sangat rasional, dan memberi harapan, jalan keluar kepada pendosa. Baginda tidak menyiasat latar belakang masalah, hanya ditunjukkan cara mudah menghapuskan kesalahan.

Yang bagusnya, di hujung buku ada disertakan Pelan Strategi Kejayaan dan pelan transformasi dan latihan selama 31 hari.

Bimbingan penuh, terserahlah pada pembaca jika mahu melakukan perubahan.

Tiada paksaan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024